;
Isnin, 23 November 2015 | 10:28am

Edry komposer raih laba paling tinggi tahun ini


PENYANYI, Datuk M.Nasir (kiri) dan Datin Marlia Musa menyampaikan Anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak kepada Edry KRU (dua dari kanan) pada majlis Malam Mesra MACP yang diadakan di Hotel Royal Chulan Damansara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

PETALING JAYA: Pencipta lagu dan penyanyi, Edry Abdul Halim diangkat sebagai penerima anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak pada Malam Mesra Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2015 yang berlangsung di sini, malam tadi.

Ini adalah kemenangan kedua pemuzik berusia 39 tahun itu apabila tahun lalu buat kali pertama beliau memadamkan rekod sifu, Datuk M Nasir yang sebelum itu mengungguli kategori sama selama 13 tahun.

Anugerah MACP anjuran Persatuan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP) turut menyerahkan trofi Komposer Muda Berpotensi kepada Amir Jahari di atas hasil karyanya.

Majlis itu diadakan setiap tahun sebagai tanda penghargaan kepada penggiat seni yang banyak menyumbang hasil karya untuk perkembangan industri seni negara. Hasil royalti yang dikutip MACP diperoleh daripada persembahan muzik di stesen televisyen dan radio, konsert, majlis makan malam serta organisasi yang dilesenkan badan berkenaan.

Pada majlis sama, Pengerusi MACP, Habsah Hassan pula menerima anugerah Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak sekali gus mengekalkan reputasi yang dipegang sejak bertahun-tahun.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari yang menyempurnakan penyerahan Anugerah Nadi Cipta kepada komposer era 50-an, Sharuddin Amin, 81.

Majlis sama menyaksikan penyanyi yang kini berada di Amerika Syarikat, Yuna menerima anugerah Persembahan Lagu Inggeris Terbanyak menerusi Rescue.

Gadis Jolobu ciptaan DJ Fuzz pula terpilih memenangi kategori Persembahan Lagu Melayu Terbanyak yang juga didendangkan Waris dan Datuk Hattan.

Syarikat Luncai Emas Sdn Bhd masih mengekalkan kemenangan menerusi anugerah Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak.

Sebanyak 11 trofi diberikan kepada penerima termasuk Anugerah Nadi Cipta.

INFO:

Senarai penerima Anugerah MACP 2015

1. Persembahan Lagu Inggeris Terbanyak - Lagu: Rescue; Penyanyi: Yuna; Komposer & Penulis Lirik: Yuna/Chris Braide

2. Persembahan Lagu Cina Terbanyak - Lagu: Quan Shi Jie Dou Yi Wei Wo Men Zai Yi Qi; Artis: Fuying & Sam; Komposer & Penulis Lirik: Peng Xue Bin/Li Zhi Qing

3. Persembahan Lagu Melayu Terbanyak - Lagu: Gadis Jolobu; Artis: Waris & Datuk Hattan; Komposer & Penulis Lirik: DJ Fuzz/Waris/Datuk Hattan

4. Persembahan Lagu Luar Negara Terbanyak - Lagu: Masih Mencintainya; Artis: Papinka; Komposer & Penulis Lirik: Chevra & Berry

5. Persembahan Lagu Tempatan Di Luar Negara Terbanyak - Lagu: Tian Hou; Artis: Andrew Tan; Komposer & Penulis Lirik: Peng Xue Bin

6. Artis Muda Berpotensi: Amir Jahari

7. Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak: Luncai Emas Sdn Bhd

8. Penerbit Dengan Pendapatan Terbanyak: Universal Music Publishing Sdn Bhd

9. Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak: Habsah Hassan

10. Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak: Edry Abdul Halim

11. Anugerah Nadi Cipta: Sharuddin Amin

302 dibaca
Berita Harian X