Ahad, 22 November 2015 | 11:14am

Usaha hapuskan IS ambil masa - Perancis


PRESIDEN Perancis, Francois Hollande. - Foto AFP

PARIS: Perancis melihat kemenangan dalam memerangi kumpulan IS tidak mungkin diraih dalam masa terdekat ketika Paris meningkatkan serangan ke atas sasaran di susulan serangan di ibu negara Perancis itu.

Presiden Francois Hollande menggesa pakatan lebih besar termasuk membabitkan Amerika Syarikat dan Russia, bagi menghapuskan IS di Syria dan akan menemui Barack Obama dan Vladimir Putin minggu depan.

Kumpulan IS yang turut dikenali dengan panggilan Daesh, mendakwa bertanggungjawab terhadap keganasan paling buruk di Perancis sejak Perang Dunia Kedua yang mana 130 terbunuh dalam serangan bom dan tembakan.

Kumpulan militan itu menyatakan serangan itu sebagai balasan terhadap pembabitan Paris dalam serangan udara yang diketuai AS di Iraq dan Syria.

"Tidak akan ada kemenangan ketenteraan terhadap Daesh dalam masa terdekat," kata Ketua Angkatan Tentera Perancis, Pierre de Villiers, kepada akhbar Perancis, Le Journal du Dimanche dalam temubual yang disiarkan hari ini.

"Dalam aspek ketenteraan, kita sudah biasa dengan tempoh yang panjang tetapi orang ramai mahukan hasil segera. Di Syria and Iraq, kita di tengah-tengah paradoks ini. Semua orang tahu penyelesaian konflik itu akan diperoleh menerusi saluran diplomatik dan politik."

Hollande akan ke Washington untuk bertemu Obama pada Selasa ini sebelum ke Moscow untuk bertemu Putin bagi membincangkan kerja sama tentera antara negara berkenaan.

Russia dan negara Barat bercanggah pendapat berhubung Syria. Moscow menyokong Presiden Bashar al-Assad manakala Barat menegaskan beliau perlu melepaskan jawatan bagi menamatkan perang saudara di Syria. - Reuters

67 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »