Khamis, 19 November 2015 | 12:30am

Polis Filipina temui mayat dipercayai Bernard - KPN

KUALA LUMPUR: Polis Filipina sudah memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai penemuan mayat dipercayai tawanan rakyat Malaysia yang dibunuh, Bernard Then Ted Fen, di Pulau Indanan, Jolo.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pengesahan DNA akan dibuat terhadap mayat berkenaan.

"@PDRMsia sudah dimaklumkan oleh polis Filipina satu mayat dipercayai Bernard telah ditemui di Pulau Indanan, Jolo. Kita akan sahkan dengan DNA," katanya menerusi entri Facebook beliau sebentar tadi.

Bernard, 39, yang berasal dari Sarawak, diculik kumpulan militan Abu Sayyaf bersama pengurus restoran Thien Nyuk Fun, 50, dari restoran Ocean King Seafood di Sandakan pada 15 Mei lalu.

Beliau dilaporkan dipenggal kumpulan militan berkenaan kira-kira jam 4 petang semalam di Kepulauan Jolo.

Sementara itu, Thien dibebaskan pada 8 November lalu.

102 dibaca
Berita Harian X