Selasa, 17 November 2015 | 2:18pm

Agong kurnia darjah kebesaran, bintang, pingat Persekutuan


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2015 kepada 88 penerima.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat pengurniaan itu yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara di sini bersempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka yang disambut pada 6 Jun lalu

Turut berangkat pada istiadat pengurniaan itu ialah Tunku Panglima Besar Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Mendahului senarai penerima darjah pada istiadat pengurniaan kali ini ialah bekas Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Annies Md Ariff yang menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN).

Turut menerima darjah PJN yang membawa gelaran Datuk ialah Pengerusi Eksekutif KK Land Sdn Bhd, Kota Kinabalu Sabah, Datuk Kong Hoi Chieng.

Seri Paduka turut mengurniakan Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) kepada lima penerima iaitu Pengarah Urusan Gaji Angkatan Tentera, Kementerian Pertahanan Brig Jeneral Datuk Abdul Halim Salleh; bekas Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan Datin Maziah Adnan dan Pengarah Kanan, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri, Adanan Sukri Musa.

Turut menerima JSM ialah Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan & Perancangan Jabatan Perkhidmatan Awam Ooi Goan Lee dan Setiausaha Eksekutif Parti Liberal Demokratik Sabah, Lo Chen Fui.

Tuanku Abdul Halim mengurniakan Darjah Kesatria Mangku Negara (KMN) kepada 23 penerima selain seorang individu dikurniakan Darjah Kesatria Setia Diraja (KSD).

Selain itu, 30 individu menerima Darjah Ahli Mangku Negara (AMN) manakala 27 yang lain menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN).

-- BERNAMA

347 dibaca
Berita Harian X