Isnin, 26 Oktober 2015 | 5:43pm

150,000 saksi GP Motosikal Malaysia


SEBAHAGIAN penonton yang hadir pada perlumbaan Motosikal Grand Prix Shell Malaysia 2015 di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Lebih 150,000 penonton membanjiri Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sepanjang tiga hari perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia pada hujung minggu, mengatasi rekod terdahulu iaitu 126,000 ketika perlumbaan Formula Satu.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali di sini, hari ini.

Katanya, antara faktor kepada peningkatan itu adalah disebabkan persaingan sengit dalam kelas MotoGP membabitkan pelumba Valentino Rossi, Marc Marquez dan Jorge Lorenzo selain kelibat pelumba tempatan.

"Jika mereka (pengulas MotoGP) mengatakan perlumbaan di GP Australia adalah perlumbaan seabad, perlumbaan di Malaysia tahun ini mungkin adalah perlumbaan sedekad.

"Beberapa hari sebelum ini, kita sedikit bimbang terutama masalah jerebu namun ia sedikit pulih ketika perlumbaan. Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati," katanya.

Dalam pada itu, Razlan berkata permukaan SIC berkemungkinan memperoleh turapan baharu seawal-awalnya tahun depan selepas didakwa tidak lagi mempunyai cengkaman yang diperlukan bagi perlumbaan bertaraf dunia.

Namun, katanya, ia masih berada dalam perancangan dan perlu mendapat perincian lebih mendalam daripada beberapa pihak sebelum dimuktamadkan.

"Kami baharu saja mendapat maklum balas daripada mereka (promoter MotoGP) yang mengatakan litar kita (turap) sudah pada tahap kita perlu ubahsuai atau buat baharu.

"Apapun kita dapat lihat, Pedrosa dapat lakukan rekod baharu dan saya bertanya kepada mereka jika tiada cengkaman, macam mana Pedrosa boleh pecah rekod.

"Jawapan yang mereka beri ialah cuaca tidak begitu panas, keadaan matahari dan sebagainya namun kita perlu tunggu laporan yang terperinci daripada mereka.

"Jika kita nak buat, mereka mahukan kita buat tahun depan namun saya juga perlu berbincang dengan pihak Formula Satu (F1) juga sebab jika kita letak permukaan yang baru ia mungkin akan beri kesan kepada data tayar untuk F1.

"Banyak yang kita nak rancangkan namun mereka tegaskan untuk buat tahun depan namun bagi saya, kita perlu buat pada tahun 2017."

Permukaan SIC tahun ini dikatakan tidak rata terutama di bahagian selekoh yang memberi kesukaran kepada beberapa pelumba.

Antara yang mengatakan permukaan SIC tahun ini tidak berada dalam keadaan baik termasuk dua penunggang negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin dan Hafizh Syahrin Abdullah.

133 dibaca
Berita Harian X