Isnin, 19 Oktober 2015 | 10:37am

Lebih 80 peratus tiket MotoGP Malaysia sudah terjual


MOTOGP Sepang, Malaysia pada 23 hingga 25 Oktober ini. - Foto sumber sepangcircuit.com

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Jubli Perak minggu depan, jualan tiket untuk perlumbaan Shell Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) pada 23 hingga 25 Oktober ini sudah melepasi 80 peratus daripada sasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali berkata tiket untuk perlumbaan edisi ke-25 itu mencatatkan jualan lebihan 38 peratus berbanding tahun lalu.

"Semua kategori tiket habis dijual kecuali tempat duduk di Grandstand utama dan C2 Hillstand di mana penjualan tiket laris.

"SIC mansasarkan 120,000 penonton berkunjung ke Sepang sepanjang perlumbaan tiga hari itu," katanya dalam kenyataan di sini.

SIC berharap acara ini berjaya dengan edisi ke-25 MotoGP Malaysia mencatatkan kehadiran paling tinggi sejajar dengan aspirasi kami untuk sambutan jubli perak tahun ini, katanya.

Razlan berkata, pengunjung juga boleh menikmati pengalaman menarik dengan festival motosikal terbesar di Malaysia pada karnival mini GP Malaysia serta menaiki 'Ferris Wheel' untuk menikmati pemandangan aksi dalam litar dari udara.

SIC turut menawarkan sesi khas untuk peminat menikmati aktiviti 'jamuan malam di udara' sepanjang acara tiga hari itu.

Acara MotoGP Malaysia akan bermula Jumaat depan dengan sesi latihan bebas untuk kategori utama - MotoGP, Moto2 dan Moto3 serta acara sampingan Piala Bakat Asia Shell Advance, yang menampilkan pelumba Malaysia pada pusingan akhir musim ini.

Razlan percaya penyertaan pelumba tempatan seperti Hafizh Syahrin Abdullah dan Azlan Shah Kamaruzaman dalam kategori Moto2 serta pelumba 'wildcard' Ramdan Rosli dan Zulfahmi Khairuddin dalam Moto3 akan menjadi daya tarikan penonton.

- BERNAMA

158 dibaca
Berita Harian X