;
Khamis, 15 Oktober 2015 | 12:01am

Wajarkah Marikh diterokai?


SATU daripada imej permukaan Marikh yang dikeluarkan NASA menggunakan kamera Eksperimen Pengimejan Resolusi Tinggi (HiRISE) dari kapal angkasa pada 17 Mei lalu. - Foto REUTERS

PLANET Marikh menjadi pilihan untuk dikaji manusia berbanding lapan planet lain yang wujud dalam sistem suria di alam semesta ini.

Ini disebabkan kemungkinan pengkaji mempercayai planet berwarna merah itu mampu dijadikan 'alternatif' tempat tinggal atau berpotensi untuk dihuni satu masa nanti apabila bumi tidak lagi relevan untuk didiami.

Sejak tahun 1960-an lagi, dua negara kuasa besar dunia, Russia dan Amerika Syarikat (AS), giat meneroka angkasa lepas untuk melakukan kajian mengenai potensi planet lain yang sesuai didiami manusia.

Kajian demi kajian sehingga ke hari ini belum menemui noktahnya, namun pengumuman Agensi Angkasa Lepas AS (NASA), baru-baru ini, mengenai penemuan sumber air di Marikh, mengandaikan planet itu mempunyai hidupan yang membolehkan manusia tinggal di sana.

Marikh dikatakan berbeza dengan planet lain seperti Utarid, Zuhrah, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptune dan Pluto, yang memiliki daya graviti rendah dan ruang atmosfera terlalu nipis.

Andaikan manusia merancang untuk tinggal di Marikh, penyelidik perlu mencari penyelesaian bagaimana "meneutralkan" sebahagian planet berkenaan untuk menyamai bumi.

Tambahan pula, usaha mewujudkan satu ekosistem dengan bekalan oksigen di planet merah itu akan mengambil masa berjuta tahun dan ia perlu dilakukan generasi akan datang membabitkan perbelanjaan berbilion ringgit.


ROBOT peninjau, Curiosity. - Foto REUTERS

Terbaharu, dalam penerokaan dilakukan robot peninjau, Curiosity menemui kewujudan hidrogen, karbon dan oksigen serta bukti planet itu pernah menampung organisma.

Sekumpulan saintis NASA mendapati Marikh sejak bilion tahun lampau memiliki sistem tasik dan aliran air berpanjangan, sekali gus membuktikan planet merah pernah memiliki persekitaran lebih baik berbanding jangkaan penyelidik sebelumnya.

Satu kajian baharu dijalankan pasukan Curiosity dan Makmal Sains Marikh NASA mendapati beberapa tasik air tawar selebar 154 kilometer mungkin pernah wujud di Kawah Gale selama puluhan ribu tahun atau lebih.

Menurut Makmal Tujahan Jet NASA (JPL), kajian itu adalah berdasarkan data baharu daripada perayau Curiosity yang dihantar ke Marikh tiga tahun lalu dan mendarat di Gale Crater, yang satu ketika dulu dipercayai memiliki sistem tasik.

Selain perayau Curiosity, NASA juga menggunakan Opportunity untuk menghantar data berkaitan Marikh ke bumi.

Saintis projek JPL di Pasadena, California, Ashwin Vasavada, berkata pemantauan daripada perayau itu menunjukkan satu siri aliran sungai jangka panjang dan tasik wujud pada satu tempoh antara 3.8 bilion dan 3.3 bilion tahun lalu.

"Ia menghantar mendapan yang secara perlahan membentuk lapisan rendah di Gunung Sharp," katanya yang juga penulis bersama kajian baharu diterbitkan dalam jurnal Science.

Menggunakan data daripada perayau, pasukan mendapati mendapan yang menutupi bahagian bawah Kawah Gale serta membentuk asas Gunung Sharp, terletak di tengah kawah, dibawa ke tapak itu oleh aliran air.

Sebelum perayau itu mendarat di Marikh pada tahun 2012, penyelidik percaya Kawah Gale dipenuhi lapisan mendapan terbentuk daripada habuk dan pasir yang diterbangkan ke dalamnya oleh angin.


KAWASAN dinamakan 'Kimberley' di planet Marikh, dikatakan pernah mempunyai air berdasarkan kedudukan rendah di tepi gunung dan pembentukan rekahan batu. - Foto Agensi

Kenyataan akhbar JPL bagaimanapun menyatakan analisis terbaharu lapisan bawah Gunung Sharp menunjukkan ia ditinggalkan oleh aliran anak sungai dan sungai ke dalam tasik lama itu ketika tempoh kurang 500 juta tahun lalu.

"Ketika perjalanan mendatar Kawah Gale, kami mengesan corak dalam geologi, yang mana kami melihat bukti aliran deras lampau dengan batu kelikir kasar serta tempat di mana anak sungai jelas kosong ke dalam kawasan air menegak," kata Vasavada.

Bekas saintis projek Makmal Sains Marikh di Institut Teknologi California di Pasadena, John Grotzinger, berkata secara paradoks, di mana wujudnya pergunungan di Marikh pada hari ini, satu ketika dulu adalah kawasan tadahan dan dipenuhi air.

"Kami melihat bukti kira-kira 75 meter timbunan mendapan dan berdasarkan data pemetaan daripada Pengorbit Peninjau Marikh NASA serta imej kamera Curiosity, mendapan diangkut air mungkin dilanjutkan kepada sekurang-kurangnya 150 meter hingga 200 meter di atas lantai kawah," katanya yang juga bekas anggota pasukan Curiosity dan ketua penulis kajian baharu.

Robot beroda enam milik NASA yang menemui bukti kewujudan air itu menguatkan lagi kepercayaan bahawa makhluk asing pernah tinggal di planet ini, tetapi saintis masih ragu-ragu dengan penemuan itu.

Tambahan pula, tahap radiasi yang tinggi berserta udara yang sangat sejuk boleh mengakibatkan pembuluh darah beku. Kemungkinan untuk makhluk hidup dapat bertahan di Marikh adalah sangat kecil tetapi ini tidak menutup kemungkinan wujud kehidupan lain di planet berkenaan.

Planet Marikh berada pada kedudukan keempat dari matahari dengan jarak 227.9 juta kilometer dan jarak 54.6 juta kilometer dengan Bumi.

Ia mempunyai separuh diameter bumi dan luas kawasan permukaannya kurang sedikit berbanding jumlah keseluruhan kawasan tanah kering di bumi. Marikh juga kurang tumpat berbanding bumi, iaitu memiliki kira-kira 15 peratus isi padu bumi serta 11 peratus jisim bumi.

Marikh adalah planet daratan yang terdiri daripada mineral mengandungi silikon dan oksigen, logam serta elemen lain, yang pada akhirnya membentuk batuan.

Keluasannya adalah 25 peratus keluasan Bumi dengan permukaan seakan-akan gurun berbatu, ngarai, gunung berapi, dasar seperti sungai kering dan kawah di sekelilingnya.

Sebab ia digelar planet berwarna merah adalah disebabkan besi oksida yang tersebar luas di permukaannya memberikan penampilan yang kemerahan. Suhunya pula tersangat sejuk dan anggarannya ialah -62 darjah Celsius.

Sehingga hari ini, dilaporkan tiga kapal angkasa NASA sedang mengorbit planet Marikh. Kapal itu menggunakan peralatan spesifik lagi canggih untuk mengutip maklumat berkaitan cuaca, topografi serta jenis mineral.


GAMBAR bukit pasir di planet Marikh diterbitkan NASA pada 7 Oktober lalu membolehkan saintis menentukan keadaan jenis tanah dan proses bagaimana ia terbentuk. - Foto AFP

Pada masa depan, NASA merancang untuk menghantar lebih banyak perayau ke Marikh, seterusnya bersedia menghantar angkasawan ke sana.

Pentadbir NASA, Charles Bolden, dalam satu kenyataan, berkata agensi angkasa lepas AS itu "semakin hampir menghantar angkasawan AS ke Marikh berbanding mana-mana tempat dalam sejarah".

Marikh amat popular sehinggakan beberapa filem berkaitannya dihasilkan, antaranya Mars Attack (1996), Stranded (2001), Escape from Mars (1999), The Last Days on Mars (2013), dan terbaharu, The Martian (2015).

Tidak ketinggalan karya popular mengenai Marikh iaitu The War of the Worlds (H.G. Wells), Total Recall (Piers Anthony) dan The Martian Chronicles (Ray Bradbury).

Dalam filem Hollywood, The Martian, seorang angkasawan AS terselamat dalam persekitaran Marikh, namun realitinya NASA mengakui halangan besar masih kekal sebelum manusia dapat sampai ke planet merah itu.

Menurut dokumen bertajuk "NASA's Journey to Mars: Pioneering Next Steps in Space Exploration", angkasawan yang melakukan perjalanan ke Marikh mungkin menghabiskan masa tiga tahun di ruang angkasa dalam yang mana tahap radiasi amat tinggi, begitu juga risiko mendapat kanser, kehilangan tulang serta masalah imun tubuh.

Yang pasti, misi akan datang NASA untuk meneroka Marikh berdepan cabaran sukar, dikaitkan dengan masalah pengangkutan, bekerja di angkasa lepas serta kekal sihat.

INFO

Planet Marikh

*Planet keempat dari matahari dalam sistem suria

*Dinamakan sempena nama dewa Peperangan Tamadun Rom

*Mempunyai dua bulan iaitu Phobos dan Deimos mirip asteroid

*Jarak 54.6 juta kilometer dengan bumi

*Mempunyai permukaan seperti gurun, berbatu, kawah, dasar seperti sungai dan gunung berapi

*Bentuk fizikal hampir menyamai Bumi

*Terdapat gunung tertinggi dikenali sebagai Olympus Mons

*Kekuatan graviti 62.5 peratus berbanding Bumi

*Kandungan unsur karbon dioksida, argon, nitrogen

*Mempunyai 687 hari dalam setahun

1632 dibaca
Berita Harian X