Khamis, 8 Oktober 2015 | 12:13am

Haram cerita masalah peribadi secara terbuka

SOALAN? Laman sosial sekarang ini menjadi medan untuk berkongsi maklumat dan tidak kurang yang memuatkan status berkenaan aktiviti harian mereka. Malah, ada yang mencurahkan perasaan peribadi di laman sosial. Bagaimana Islam melihat perkara ini.

JAWAPAN: Tidak dinafikan ada yang menyalahgunakan laman sosial dan menjadikan Facebook, Twitter, Instagram sebagai tempat meluahkan perasaan. Ada yang memburuk-burukkan suami, isteri, tunang, ibu bapa dan adik-beradik di laman sosial.

Rentetan daripada perbuatan itu, ramai rakan alam maya mengetahui masalah yang dialami. Ini satu perbuatan yang sangat memalukan dan tidak boleh dicontohi. Sepatutnya ia tidak berlaku dalam kehidupan umat Islam yang memahami agama dengan baik.

Imam al-Ghazali menegaskan, setiap masalah yang dihadapi oleh pasangan suami isteri atau sebagainya hanya boleh diluahkan kepada mereka yang layak untuk menyelesaikan masalah itu sahaja seperti kaunselor, ustaz atau ustazah, peguam, kawan rapat serta hakim ketika berada dalam kamar mahkamah.

Selain mereka, adalah tidak digalakkan (makruh) kita menceritakan masalah yang berlaku dalam rumah kecuali mereka yang boleh dipercayai sahaja. Larangan itu bertujuan untuk mengelak daripada penyebaran cerita yang tidak benar sehingga menimbulkan fitnah seterusnya mengeruhkan lagi keadaan.

Jika hal ini berlaku, maka hukum berbuat demikian adalah haram kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih besar.

Contoh yang kita boleh teladani ialah apa yang berlaku kepada Hindun, isteri Abu Sufian, yang berjumpa Nabi SAW dan mengadu beliau mengambil duit Abu Sufian tanpa pengetahuan suaminya itu untuk membeli keperluan diri dan anak.

Kata Hindun, beliau lakukan itu kerana Abu Sufian sangat kedekut. Lantas baginda bersabda: "Ambillah daripada duit sekadar memenuhi keperluan kamu dan anak-anak."

Hadis ini menjelaskan, meluahkan masalah rumah tangga dan sebagainya kepada orang yang layak adalah dibenarkan. Walau bagaimanapun, tujuan berbuat demikian mestilah untuk mencari jalan penyelesaian dan bukan menambahkan lagi masalah atau menyebarkan fitnah.

SOALAN? Kebebasan bersuara menjadikan sesiapa saja boleh membuat kenyataan atau membuat komen di laman sosial. Malah, ada yang menggunakan bahasa tidak sopan. Apakah hukum kita mencarut di laman sosial.

JAWAPAN: Hari ini kita didedahkan pelbagai kaedah untuk bersosial termasuklah Facebook, Twitter dan sebagainya. Islam tidak pernah sama sekali melarang umatnya daripada bersosial, bahkan ia digalakkan kerana mampu mengeratkan silaturahim sesama insan.

Walaupun begitu, cara kita bersosial mestilah menepati kehendak syariat Islam antaranya memelihara segala jenis penyampaian termasuklah tutur kata. Sehubungan itu, menggunakan kata-kata kesat dalam laman sosial seperti mencarut, menghina dan sebagainya adalah diharamkan oleh Islam.

Sesiapa sahaja yang berbuat demikian akan mendapat dua dosa. Pertama, dosanya dengan Allah SWT kerana mengingkari arahan Nabi SAW supaya memelihara kata-kata.

Sabda Nabi SAW: "Sesiapa sahaja yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap dengan kata-kata yang baik atau dia berdiam diri." (Riwayat Bukhari)

Dosa kedua ialah dosa sesama manusia. Dosa yang kedua ini tidak akan mendapat keampunan Allah SWT selagi orang yang kita cemuh atau kutuk tidak memaafkan perbuatan itu.

Perkara ini dapat dibuktikan menerusi sabda Baginda SAW: "Adakah kamu semua mengetahui akan golongan yang muflis? Jawab sahabat: Mereka adalah golongan yang tiada harta! Baginda SAW berkata lagi: Sesungguhnya mereka itu adalah golongan yang datang pada hari kiamat kelak dengan pahala solat, puasa dan zakat mereka. Namun, semua itu habis apabila orang yang teraniaya dengan (kata-kata kesat atau fitnah) datang mengambilnya daripada mereka." (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, memelihara tutur kata daripada perkataan nista dan kesat terhadap orang lain sama ada dalam bentuk bertulis atau percakapan adalah menjadi satu kewajipan kepada semua Muslim.

Justeru, marilah kita menggunakan segala nikmat teknologi yang ada hari ini sebagai medan untuk berdakwah dan menyampaikan nasihat kepada mereka yang memerlukan. Selain itu, jadikan twitter, Facebook sebagai tempat mengeratkan hubungan silaturahim.


PELBAGAI medium laman sosial.

SOALAN? Bagaimana pula tindakan menyindir seseorang di laman sosial.

JAWAPAN: Menyindir seseorang dalam laman sosial adalah haram kerana ia termasuk dalam perbuatan menghina dengan kata-kata atau perbuatan. Selain itu, kita juga akan turut tergolong dalam kategori mereka yang menyebarkan fitnah.

Lebih berat lagi, perbuatan menyindir di laman sosial akan mendatangkan kemudaratan lebih besar terhadap perpaduan manusia secara umum dan umat Islam secara khususnya. Atas dasar itu, ulama seperti al-Qurtubi menegaskan, larangan itu bersifat umum meliputi semua pihak sama ada Muslim atau kafir.

Orang Muslim diarah oleh Allah SWT supaya bersatu padu dan dilarang berpecah belah seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah." (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Bagi orang kafir pula, kesan daripada sindiran itu akan mengakibatkan mereka menjadi lebih agresif menghina serta memusuhi agama Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cerca benda yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah kami memperelokkan pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan." (Surah al-An'am, ayat 108)

Umat Islam dilarang menyindir atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada seseorang di laman sosial. Apabila hal ini dapat dipelihara, persaudaraan antara kita akan dapat dijaga dan diperkukuhkan. Bagi menyelesaikan ketidakpuasan hati antara manusia, kita disarankan supaya bersemuka untuk menyelesaikan masalah dan berbincang secara jujur.

Tidak perlulah kita mengambil jalan singkat dengan menghebahkan perbalahan yang berlaku di dalam laman sosial. Ia bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah, tetapi akan lebih mengeruhkan lagi keadaan.

173 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »