Khamis, 1 Oktober 2015 | 12:04am

Ulama beza pendapat guna warna hitam


HUKUM mewarnakan rambut dengan warna inai kerana daun dan serbuk inai adalah dibenarkan untuk semua lapisan masyarakat. - Foto hiasan

SAYA telah berusia, bolehkah saya mewarnakan rambut dengan warna tertentu.

Jawapan: Terdapat tiga perkara penting yang perlu diketahui oleh umat Islam berhubung isu mewarnakan rambut. Pertama, hukum mewarnakan rambut dengan warna inai kerana mewarnakan rambut menggunakan daun dan serbuk inai adalah dibenarkan untuk semua lapisan masyarakat.

Perkara ini berdasarkan sabda Nabi SAW: "Warnakanlah rambut kamu semua dengan inai kerana ia menambahkan kemudaan kamu semua khususnya ketika hendak bernikah." (Riwayat al-Bukhari) Hadis itu jelas menunjukkan Nabi SAW menggalakkan umat Islam mewarnakan rambut dengan inai supaya sentiasa kelihatan muda dan kuat.

Lebih jelas lagi apabila terdapat riwayat daripada Anas bin Malik mengatakan, "Seorang lelaki telah masuk kepada Nabi SAW dengan keadaan rambutnya dan janggutnya putih (kerana faktor usia), Nabi SAW bertanya kepada lelaki itu: Adakah kamu seorang Islam? Lantas lelaki itu menjawab: Ya. Nabi SAW bersabda lagi: Warnakanlah rambutmu itu dengan inai." (Riwayat al-Bukhari)

Sebagai menyahut saranan Nabi SAW ini, ramai dalam kalangan sahabat yang telah mewarnakan rambut mereka dengan inai antaranya Abu Bakar dan cucu Baginda SAW, Hasan serta Hussein.

Kedua, hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam, ulama terbahagi kepada dua pandangan. Mazhab Syafie mengharamkan umat Islam menghitamkan rambutnya dengan bahan tertentu.

Dalil mereka ialah Abdullah bin Umar berkata: "Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Kuning adalah warna orang mukmin, merah juga termasuk dalam warna orang Mukmin manakala warna hitam pula adalah untuk orang kafir." (Riwayat Ahmad ibn Hanbal)

Dalam riwayat lain, Ibnu Abbas berkata, "Nabi SAW bersabda: Akan tiba suatu masa pada akhir zaman satu kaum yang mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam, sesungguhnya Allah SWT tidak akan melihat kepada mereka." (Riwayat al-Nasa'i)

Menurut al-Zuhayli dan Soleh Fawzan, warna hitam yang dilarang oleh Nabi SAW dalam hadis itu adalah untuk mereka yang mewarnakan rambut dengan tujuan menipu, sombong dan riak. Mereka yang mewarnakan rambut hitam untuk tujuan peperangan dan menampakkan orang Islam itu kuat serta gagah tidak termasuk dalam larangan hadis berkenaan.

Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali tidak mengharamkan perbuatan mewarnakan rambut dengan warna hitam. Menurut Ibn Hajar, mewarnakan rambut dengan warna hitam haram jika ia bertujuan untuk menipu, menggoda dan sebagainya.

Ini kerana terdapat riwayat yang banyak menunjukkan sahabat telah mewarnakan rambut dengan warna hitam untuk tujuan kebaikan. Jika perbuatan itu difahami sebagai haram oleh sahabat Nabi, nescaya mereka akan meninggalkannya.

Antara riwayatnya, Umar ibn Khattab pernah berkata, "Warnakan rambut kamu semua dengan warna hitam kerana ia mampu membuatkan isteri sayang kepada kamu dan menakutkan musuh." (Riwayat al-Tirmizi)

Ibn Abi Mulaykah pernah meriwayatkan, Uthman ibn Affan pernah menghitamkan rambutnya dengan warna hitam.

Ali ibn Abi Talib pernah berkata: "Hendaklah ke atas kamu semua mewarnakan rambut dengan warna hitam ini kerana ia mampu menakutkan musuh di samping menyebabkan isteri menyayangi kamu." (Riwayat Ibn al-Jawziy)

Kesimpulannya, bagi menghormati kedua-dua pandangan di atas, saya berpendapat adalah lebih sesuai jika hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam ditentukan sebagai makruh. Ini memberi erti perbuatan itu mestilah bergantung kepada niat dan maksud individu yang melakukannya.

Jika dia mewarnakan rambut dengan warna hitam untuk menipu dan sebagainya, maka hukumnya adalah haram. Namun, jika dia berbuat demikian untuk kelihatan gagah di hadapan musuh, orang kafir atau memikat hati isteri, maka hukumnya adalah makruh dan perbuatan itu juga tidak dikira berdosa.

Ketiga, hukum mewarnakan rambut dengan bahan yang menghalang rambut dari terkena air adalah haram kerana perbuatan itu akan menyebabkan wuduk atau mandi wajib seseorang tidak sah. Rentetan daripada keadaan itu, maka tidak dinafikan lagi solat yang mereka lakukan juga tidak sah.

Justeru, saya nasihatkan supaya semua umat Islam di Malaysia berhatihati ketika memilih produk pewarna rambut sebelum menggunanya. Adalah lebih selamat jika kita boleh meninggalkan segala jenis produk kepenggunaan yang tidak mempunyai logo halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Negeri (JAIN). Lebih selamat lagi, gunalah bahan pewarna rambut daripada daun inai.


MERAWAT rambut yang gugur dengan pelbagai kaedah rawatan moden adalah dibenarkan selagi ia menepati syaratnya. - Foto hiasan

Suami saya seorang yang botak sejak remaja lagi. Baru-baru ini dia berhasrat untuk membuat rawatan penanaman rambut. Apakah hukumnya ustaz.

Jawapan: Terima kasih kepada puan yang sudi bertanya bagi pihak suami. Untuk pengetahuan puan, rambut adalah ciptaan Allah SWT untuk manusia supaya kelihatan cantik dan bergaya. Namun, tidak dinafikan ada segelintir yang mempunyai masalah keguguran rambut sehingga menyebabkan kepalanya botak.

Antara punca berlaku sedemikian ialah faktor genetik keluarga yang diwarisi dan faktor penjagaan rambut yang salah sehingga mengakibatkan rambut gugur. Walau apa pun punca keguguran rambut, semua itu termasuk dalam kategori penyakit yang perlu mendapatkan rawatan dan penawar daripada pakarnya.

Sehubungan itu, pakar bidang berkenaan telah menjumpai beberapa rawatan bagi menyelesaikan masalah rambut gugur atau kepala menjadi botak termasuk kaedah pembedahan kulit kepala bagi penanaman rambut palsu.

Berhubung isu itu, ulama kontemporari seperti Prof Dr Yusof al-Qardawi, Dr Soleh Fawzan dan ramai lagi telah menegaskan, merawat rambut yang gugur dengan pelbagai kaedah rawatan moden adalah dibenarkan selagi ia menepati syaratnya.

Antara syarat itu, rawatan berkenaan bertujuan untuk merawat ketidaksempurnaan rambut yang terdapat di kepala, bukan untuk tujuan kosmetik atau sengaja mengubah ciptaan Allah SWT yang sememangnya sudah sempurna dan cantik.

Material rambut palsu yang hendak digunakan mestilah bukan berasal daripada bulu haiwan yang haram dimakan seperti khinzir dan anjing, disahkan selamat oleh pakar perubatan dalam bidang berkenaan serta tidak memudaratkan pada masa akan datang.

Justeru, saya menasihatkan suami puan mendapatkan rawatan susulan daripada pakar yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan sebelum melakukan proses penanaman rambut di kepala.

1660 dibaca
Berita Harian X