Rabu, 30 September 2015 | 4:27pm

Kerajaan komited perkasa bidang pertanian: Ahmad Shabery


MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama dengan ahli PASFA ketika hadir untuk merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Kali ke-42 Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) di Hotel MS Garden. - Foto Muhd Saufi Amin

KUANTAN: Kerajaan akan terus memperkasakan bidang pertanian di negara ini untuk mengelakkan kebergantungan terhadap bekalan makanan import menerusi bantuan agensinya di peringkat akar umbi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, agensi seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) adalah aset dan penggerak kepada nadi bidang pertanian di negara ini.

"Kerajaan yang baik akan pastikan lebih ramai rakyatnya terbabit dalam sektor pertanian dan tidak tinggalkan bidang itu walaupun dalam keadaan negara pada masa kini sedang berusaha untuk mencapai taraf negara maju

"Namun sejauh manakah rakyat mahu terus berada dalam sektor itu jika ia tidak memberi pendapatan yang baik...

"Sehubungan itu menjadi tanggungjawab kerajaan untuk pastikan kos input pertanian diberikan dengan harga yang murah untuk menggalakkan rakyat menyertai bidang ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) di sini yang turut dihadiri Pengerusinya Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid.

Hadir sama Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Seri Saipolbahari Shuib.

Ahmad Shabery berkata, segala kemudahan pertanian yang diperlukan akan disalurkan menerusi peruntukan yang telah disediakan menerusi agensi-agensi yang berkenaan bagi menghasilkan lebih banyak sumber makanan untuk negara.

"Ini bukan soal wang ringgit dan bukan juga soal basmi kemiskinan semata-mata, tetapi turut melibatkan ideologi politik yang pertanian mesti dipertahankan demi mengelakkan kebergantungan kepada bekalan makanan import," katanya.- BERNAMA

195 dibaca
Berita Harian X