;
Isnin, 21 September 2015 | 2:02pm

ETCM minta pemilik Nissan periksa beg udara


BEG udara penumpang Takata.

KUALA LUMPUR: Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) menasihatkan semua pemilik Nissan XTrail (yang dijual sejak 2002 hingga 2007), Teana (2004) dan Liberty (2003) yang terbabit dalam Kempen Servis beg udara penumpang Takata, supaya membawa kenderaan masing-masing untuk diperiksa di cawangan Tan Chong Express Auto Service Centre, terdekat.

Pada Jun 2015, ETCM mengaktifkan Kempen Servis selepas mengesahkan sejumlah 12,444 unit Nissan di Malaysia terbabit dalam kempen pengepam (inflator) beg udara penumpang hadapan.

"Semua kos buruh dan alat ganti dalam kempen servis itu adalah percuma.

"Kempen itu membabitkan tiga model yang dibeli daripada ETCM dan pengedar sah Nissan pada masa itu.

"Memandangkan pemilik kenderaan mungkin sudah berubah, pemilik sedia ada dinasihatkan supaya memeriksa sama ada kenderaan Nissan masing-masing terbabit dalam kempen itu," katanya dalam satu kenyataan.

ETCM meminta pelanggan menghubungi Hotline Khidmat Pelanggan atau melayari laman web www.nissan.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Ia berkata pemilik yang sebelum ini sudah pun memeriksa kenderaan mereka, juga digesa mengesahkan semula kenderaan masing-masing berikutan pengelasan semula sistem.

Nissan XTrail (T32) serba baharu dilancarkan di Malaysia pada Januari 2015.

Model-model Nissan yang dijual sekarang tidak terbabit dalam kempen berkenaan. - BERNAMA

143 dibaca
Berita Harian X