Ahad, 13 September 2015 | 12:03am

Ketepi agenda berpolitik, fokus perjuangan parti


KEMELUT yang melanda parti keramat orang Melayu sentiasa timbul dan hilang, begitu juga dengan pemimpin datang dan silih berganti.

Namun kadang-kala situasi itu dilihat sedikit merosakkan keyakinan dan menimbulkan pelbagai persepsi. Musuh politik meramalkan satu keputusan luar biasa akan diumumkan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Rabu lalu.

Jangkaannya, Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan dipecat kali kedua selepas digugurkan daripada barisan Kabinet, namun sebaliknya berlaku apabila kedua-dua kekal bersama barisan pucuk pimpinan parti bahkan bersedia membantu meneruskan perjuangan parti.

Wartawan BH Ahad, MOHD AZIS NGAH dan MOHD ANWAR PATHO ROHMAN mendapatkan komen pergerakan sayap parti, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengenai situasi ini yang kadang-kala dilihat agak kekok.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin


KETUA Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. - Foto Salhani Ibrahim

S:UMNO sedikit 'bergegar' berikutan pemecatan dua pemimpin utama parti daripada Kabinet. Adakah itu satu masalah besar?

J: Itu adalah proses kelangsungan parti. Pemimpin datang dan pergi tetapi parti tetap kekal. Sebab itu saya melihat bahawa itu sebagai proses kelangsungan, ada yang melihatnya sebagai cabaran. Apa yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak ini pernah berlaku pada era seawal UMNO ditubuhkan, di era Tun Musa Hitam, Allahyarham Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin lain. Seharusnya kita patut melihat sejarah kerana melalui sejarah, baru kita akan tahu kenapa perkara itu berlaku. Bagaimana kita boleh belajar daripada sejarah dan membuat pertimbangan. Boleh mengambil kira bagaimana nak membuat keputusan untuk mencapai yang terbaik.

S: Ramai yang meramalkan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Rabu lalu akan menjadi 'panas' tetapi berlaku sebaliknya.

J: Itulah keindahan dalam UMNO. Keindahannya ialah kita ada platform untuk bermusyawarah dan itulah tempat terbaik. Tidak salah kita berbeza pendapat tetapi pasti akan ada titik persamaan. Di bilik mesyuarat, mesti ada sikap saling menghormati kerana perjuangan kita tetap sama iaitu memartabatkan bangsa, agama dan negara. Dalam perjuangan UMNO, masih banyak yang boleh diperkukuhkan, contohnya memfokuskan kepada aspek ekonomi dan membantu masyarakat luar bandar. Jika ada perkara yang tidak dapat diselesaikan dengan baik melalui sistem di dalam parti, maka tidak mungkin orang lain akan menghormati UMNO itu sendiri. Proses kematangan itu tidak berlaku dalam tempoh setahun tetapi saya percaya sikap matang yang ditunjukkan pemimpin di bilik mesyuarat itu adalah hasil yang mereka raih sepanjang berada di dalam parti.

S: Maksudnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berlapang dada dengan mengutamakan perjuangan parti?

J: Saya kagum dengan hasil mesyuarat MT itu. Apa yang disuarakan Presiden, Timbalan dan Naib Presiden, ia menunjukkan satu suasana yang mana orang muda perlu belajar bagaimana boleh mengawal emosi dengan baik walaupun tiada jawatan dalam kerajaan. Ia bukan mudah tetapi mereka mampu lakukan. Bagaimana caranya?. Mereka berlapang dada, muhasabah diri dan saya fikir semua pihak mahu melakukan yang terbaik untuk parti, bukannya demi kepentingan diri. Jika mengenepikan kepentingan diri, di situlah kita akan mencapai kata putus. Jika tidak, ia akan gagal. Saya rasa bertuah kerana berada dalam lipatan sejarah apabila menyaksikan perkara itu berlaku di dalam UMNO. Kita kena kekal berdiri teguh, memberi ruang dan presiden sendiri menekankan cabaran dulu dan kini cukup berbeza. Sukar menjadi nahkoda kalau tidak wujud kepercayaan.

S: Bagaimana pula dengan peranan Puteri UMNO dalam membantu mengukuhkan kedudukan parti dan kerajaan?

J: Saya memohon kepada semua ahli untuk terus fokus kepada agenda utama khasnya mendekati pengundi muda yang bakal menjadi penentu masa depan. Keduanya, turun ke peringkat akar umbi dan ketiganya meningkatkan kempen tambah ahli serta daftar pemilih. Kena percaya dan yakin diri. Contohnya, ketika saya bertemu pelajar Malaysia di Medan, Indonesia ketika negara sedang diselubungi dengan isu 1MDB dan sebagainya. Saya terfikir mereka pasti terkesan dengan isu itu tetapi apabila bertemu, saya terkejut mereka sebenarnya tidak sabar untuk bersama Puteri dan menyokong kita. Maknanya, jangan terlalu awal membuat tanggapan sebelum melihat keadaan sebenar. Jangan menyerah kalah sebelum bertarung. Di situ saya belajar banyak perkara. Mungkin ramai di luar sana yang ingin bersama UMNO tetapi tidak didekati atau tidak diberi peluang.

S: Apa kaedah terbaik dalam memastikan penjelasan sesuatu isu itu sampai kepada peringkat akar umbi terutama di era perang siber ini?.

J: Perlu ada maklum balas, bukan setakat suka-suka di peringkat atasan saja tetapi mesti dirasai di peringkat akar umbi. Apa saja yang dilakukan mesti sampai ke bawah. Dari pusat mesti sampai ke peringkat perhubungan negeri, bahagian dan cawangan. Jika semua pihak memainkan peranan dengan baik, saya yakin proses itu akan berjalan lancar tanpa masalah. Jika tiada sokongan atau tidak faham, mereka akan ingkar arahan dan buat endah tak endah. Contohnya, sepanjang bulan puasa lalu, Puteri buat program Kembara Ilmu tetapi masih ramai yang tidak tahu mengenai program itu kerana kurang maklumat atau sebaran media. Perkara yang baik ini perlu disebarkan. Mereka bukannya tidak buat program tetapi hebahan agak kurang. Sayap muda dalam UMNO ini memegang tanggungjawab dan harapan kepada parti. Kita tidak mahu menjadi punca UMNO semakin lemah. Kita mahu segala sumbangan Puteri akan membantu menguatkan parti. Itu perlu dibuktikan dan diterjemahkan melalui gerak kerja bersama Wanita, Pemuda dan UMNO sendiri. Kita tak boleh bergerak sendirian dan mesti selari dengan pergerakan lain.

S: Tentunya Presiden inginkan acuan tersendiri untuk membentuk Puteri UMNO?

J: Saya berbual dengan presiden, beliau mahukan kestabilan politik. Apabila tidak stabil, ia akan menimbulkan banyak masalah lain dan kadang-kala perkara tidak dijangka pun boleh berlaku. Sebab itu perlu jaga kestabilan politik supaya Malaysia terpelihara, rakyat makmur dan kepentingan negara terjaga termasuk kepentingan bangsa, agama dan Raja-Raja Melayu.

S: Perkembangan mengenai pertambahan ahli baru?.

J: Setakat ini keahlian Puteri ialah 384,123 orang. Saya memang optimis dengan sasaran 500,000 ahli tetapi kerja merekrut ahli baru ini tidak boleh bermusim. Kita hilang ahli setiap hari kerana akan ada ahli melebihi had umur 36 tahun. Kadang-kala mereka merungut kerana penat mencari ahli baru. Bayangkan baru dapat 100 orang, hilang lagi 50 ahli lama sebab lebih had umur. Itulah cabarannya dan kita perlu berbincang dengan jawatankuasa usul untuk melihat keperluan yang boleh menambah baik pergerakan Puteri. Suara wanita muda hari ini yang mana 70 peratus berada di Institut Pengajian Tinggi (IPT) tidak boleh dipandang ringan. Malahan, wanita atau wanita muda terbukti tidak membawa banyak masalah dan setia kepada parti itu sendiri. Jadi, tidak salah kita buat sesuatu yang membawa manfaat kepada parti.

S: Maksudnya golongan mahasiswa itu adalah antara sasaran utama Puteri untuk menambah sokongan?.

J: Sebab itulah kita ada sekretariat nasional. Saya sentiasa bertemu pelajar dan apabila berkongsi maklumat, mereka terima dan mahu bersama kita. Selama ini, mereka terpedaya dan terbukti apa maklumat yang mereka terima melalui media sosial contohnya facebook tidak sama dengan maklumat yang kita bagi secara bersemuka. Banyak kali berdepan situasi ini disebabkan mereka hanya mendapat info melalui sebaran media sosial. Memang kena kerja lebih, tetapi itu bukan masalah kerana kita mahu menang Pilihan Raya Umum (PRU). Kami percaya mampu memenangi hati anak muda.

S: Jadi, mesti cepat bertindak menjelaskan mana yang fakta dan 'auta'?

J: Ya. Kita tak boleh menunggu lama untuk menjawab sesuatu isu. Masa itu sangat penting untuk menjawab isu berbangkit. Contohnya, isu pembelian tanah oleh Tabung Haji. Kes itu selesai kerana tindakan pantas menjawab persoalan. Jika tunggu sehingga seminggu, isu itu akan menjadi parah.

S: Bagaimana dengan persiapan Perhimpunan Agung UMNO pada 8 Disember ini?

J: Kita akan fokus kepada penyediaan usul supaya Puteri boleh menjadi suara kepada wanita muda. Seterusnya fokus kepada aspek gerak kerja di semua peringkat untuk mendapatkan maklum balas mengenai usul yang akan dibentangkan. Kita juga akan menyediakan bengkel supaya penyediaan usul pada kali ini lebih menyeluruh dan membabitkan NGO, persatuan belia, mahasiswa dan pihak berkepentingan di luar UMNO. Saya percaya ramai yang ternanti-nanti perkembangan isu yang berlaku pada hari ini. Puteri melihat pergerakan ini juga sebahagian daripada sejarah dan inilah masanya membawa wadah dan suara wanita muda. Kita sudah mempunyai senarai calon untuk berucap dan masih membuka ruang kepada calon lain. Saya percaya pentas perhimpunan adalah tempat mencungkil bakat dan potensi wanita muda. Seharusnya peluang itu diagihkan secara adil. Sesiapa yang sudah diberikan peluang pada tahun lalu perlu membuka laluan kepada calon lain, sama juga dengan jurucakap negeri. Kita juga adakan bengkel input sebelum perhimpunan untuk menyediakan inti pati terbaik kepada calon menyediakan ucapan.

S: Adakah input untuk usul kali ini lebih kepada maklum balas dan keperluan rakyat?.

J: Ya. Contohnya pada tahun lalu, kita bangkitkan masalah pengangguran. Selepas beberapa perbincangan, sebenarnya masih banyak pihak yang tidak begitu membantu mendapatkan pekerjaan termasuk GLC (Syarikat berkaitan kerajaan). Banyak pihak mendapat kerja dengan kerajaan tetapi tidak membantu memberikan ruang pekerjaan kepada anak muda, sedangkan, mereka inilah yang sepatutnya mendapat manfaat hasil perjuangan BN dan UMNO khasnya. Sekurang-kurangnya bagilah pendedahan kepada siswazah menganggur. Apabila tiada pendedahan, mereka kurang yakin dan sebab itulah mereka gagal mendapat pekerjaan. Perkara seperti itulah yang akan diketengahkan dalam perhimpunan agung nanti. Setakat ini kita sudah menerima 292 usul di peringkat pusat dan jawatankuasa usul akan berbincang untuk menilai dan mengkategorikan isu yang patut diutamakan dan perlu dijawab.

S: Persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-14). Adakah Puteri cukup bersedia menempuh gelombang yang bakal melanda?.

J: Melalui susunan rancangan dan strategi, kami mahu memastikan aspirasi meremajakan parti itu dapat diterjemahkan. Tahun ini adalah tahun ke-14 penubuhan Puteri dan makin mencabar. Cabarannya ialah bersama-sama mengukuhkan parti dan meraih kepercayaan masyarakat. Keduanya, mengenal pasti potensi wanita muda untuk digilap bakat supaya mereka boleh diketengahkan. Kita melihat keperluan ke arah itu supaya wanita muda terbabit sama dalam membuat keputusan dasar negara. Kita tidak mahu ketinggalan dan mahu membantu memberi sumbangan. Saya katakan kepada Exco Puteri supaya platform ini perlu digunakan sebaiknya untuk belajar, perbaiki diri dan timba pengalaman.

Khairul Azwan Harun


NAIB Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun. - Foto Munira Apdul Ghani

S: Apa pandangan Pemuda UMNO mengenai pendirian Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan sekali lagi komitmen beliau untuk menyelesaikan isu berkaitan 1MDB selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), Rabu lalu?

J: Pemuda UMNO amat mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri yang menyatakan seikhlas hati kepada ahli MT UMNO yang beliau akan menyelesaikan isu 1MDB dalam tempoh enam bulan. Saya fikir ini satu kenyataan ikhlas daripada seorang pemimpin bertanggungjawab. Pemuda UMNO meletakkan harapan agar kemelut yang sedang parti lalui ini dapat segera diselesaikan dan akhirnya diharap dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti dan kerajaan BN. Apa yang penting, kita semua sama ada ahli UMNO dan juga seluruh rakyat perlu bersabar dan menunggu laporan yang akan dibentangkan apabila tiba masa sesuai Perdana Menteri akan umumkan.

S: Berdasarkan kepada komitmen Perdana Menteri ini, apakah maklum balas yang sepatutnya ditunjukkan oleh ahli UMNO dan rakyat. Masih perlukah terpengaruh dengan khabar angin yang tidak bertanggungjawab?

J: Sepatutnya apabila seorang pemimpin sudah memberi komitmen begitu tinggi ini, ia sekali gus menyatakan yang beliau akan bertanggungjawab menangani kemelut 1MDB. Rakyat dan ahli UMNO khasnya sepatutnya menerima komitmen ini dengan baik dan terbuka. Di sini, beliau ikhlas mengakui wujud kemelut dalam isu berkenaan dan akan memberi komitmen untuk menyelesaikannya dalam tempoh ditetapkan. Saya fikir ahli UMNO dan rakyat patut beri peluang kepada Perdana Menteri untuk selesaikan kemelut itu mengikut tempoh yang beliau tetapkan.

>S: Namun tidak dinafikan, masih ada dalam kalangan rakyat dan ahli UMNO yang bersikap pesimis terhadap usaha kerajaan menangani isu 1MDB?

J: Saya fikir rakyat ada pilihan sama ada mahu percaya atau tidak dakwaan atau spekulasi yang tersebar selama ini. Itu sebabnya saya syor dan minta semua pihak tunggu laporan siasatan itu seperti yang dijanjikan, jangan membuat atau menyebar spekulasi atau khabar angin.

S: Timbul dakwaan mengatakan salah faham masyarakat berhubung isu 1MDB ini disebabkan kelemahan jentera penerangan kerajaan dan UMNO?

J: Pemuda bersikap rasional dalam hal ini. Kita tidak tidak menyalahkan jentera penerangan sama ada di peringkat kerajaan atau parti kerana ia membabitkan proses transaksi dan pengurusan kewangan 1MDB yang rumit. Ia melalui proses urus niaga tersendiri. Jika mahu serahkan kepada jentera penerangan parti atau kerajaan, mungkin mereka juga tidak begitu memahami transaksi atau proses pengurusan kewangan yang wujud. Kita juga perlu akui masyarakat mempersoalkan isu ini kerana mereka sudah terpengaruh dengan fitnah atau khabar angin yang disebarkan pembangkang. Oleh sebab itu, Pemuda UMNO berpendirian yang program penerangan mengenai pelaburan 1MDB hanya layak dilakukan oleh pihak pengurusan 1MDB. Kita berharap, kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu akan membuka lembaran baharu dalam konteks penerangan. CEO 1MDB yang baharu bukan saja bertanggungjawab memberi penerangan, bahkan perlu juga menangani soal persepsi rakyat.

S: Sukar untuk menafikan isu seperti ini menjadi penyebab timbulnya konflik dalaman kepemimpinan UMNO sehingga Perdana Menteri melakukan rombakan Kabinet. Akibatnya, ia memberi imej tidak baik kepada pucuk kepemimpinan dan parti. Bagaimana pendirian Pemuda UMNO dalam hal ini?

J: Saya tidak fikir rombakan Kabinet baru-baru ini sebagai satu isu yang harus diperbesar-besarkan lagi kerana ia diterima dengan hati terbuka khasnya tokoh yang digugurkan. Apa yang Pemuda UMNO ingin tekankan ialah bagaimana perbezaan pendapat dalam kalangan pucuk pimpinan berhubung isu 1MDB atau apa juga isu berkaitan dapat diurus serta ditangani dengan sebaik mungkin. Apabila berlaku perbezaan pendapat, mungkin ada yang diluahkan itu bersifat kritis dan dianggap tidak selari dengan pendirian kepemimpinan parti. Dalam hal ini, pucuk kepemimpinan parti harus bersifat terbuka dengan perbezaan pendapat. Namun biarlah ia diluahkan di platform yang sesuai, bukan di khalayak ramai. Kita tahu, Perdana Menteri pernah berkata beliau terbuka dengan kritikan dan perbezaan pendapat, tetapi biarlah diluahkan dalam saluran yang betul selaras dengan kehendak parti.

S: Justeru, apa perkara yang perlu dilakukan pucuk kepemimpinan yang difikirkan wajar oleh Pemuda UMNO untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN dan UMNO berterusan walaupun berlaku krisis?

J: Saya fikir mudah, apabila disebut parti, ia merujuk kepada pucuk kepemimpinan. Ia tidak merujuk kepada satu individu atau pemimpin tertentu saja. Ia kepemimpinan kolektif. Kita ada Kabinet, MT dan banyak saluran untuk berbincang. Penyelesaian dicari oleh pucuk kepemimpinan. Jika ada penyelesaian, ia perlu kongsi dengan rakyat. Pemuda UMNO berpandangan pada masa ini, seluruh ahli parti perlu memberi komitmen sepenuhnya kepada parti dan pucuk kepemimpinan. Jangan dilayan cerita karut atau khabar angin yang menyentuh soal parti dan pemimpinnya. Jika ada perbezaan pendapat, uruskan dengan berhemah kerana ia mungkin satu cadangan untuk mengatasi masalah yang timbul.

S: Pemimpin datang dan pergi, tetapi hari ini, ahli seperti terlalu taksub kepada pemimpin. Apa pendirian Pemuda UMNO?

J: Ahli UMNO perlu sedar yang parti mesti kuat, barulah kepemimpinan mampu menjadi kuat. Jika parti kuat, semua lapisan kepemimpinan parti dari akar umbi hingga ke pucuk kepemimpinan akan membawa prinsip serta nilai yang sama. Ini akan jadi resipi perpaduan dan keutuhan parti. Pada masa sama, ahli atau mana-mana pemimpin tidak sepatutnya melakukan tindakan mensabotaj parti. Namun, kita jangan salah faham kalau ada dalam kalangan kita yang mempunyai pendapat berbeza, tidak bermakna mereka hendak sabotaj parti. Tidak semestinya kalau ahli berfikiran dan berpandangan kritis kepada kepemimpinan, mereka tidak sayang parti. Kita sepatutnya berpegang kepada prinsip yang kepelbagaian pendapat adalah untuk perpaduan. Hari ini, ahli UMNO dianggotai mereka yang cerdik pandai. Golongan muda mempunyai akses mendapat maklumat dengan pantas. Mereka adalah generasi yang memperoleh ilmu pengetahuan melalui sistem pendidikan yang baik. Maka kita tidak boleh menghalang pemikiran dan ilmu pengetahuan mereka yang mungkin berbeza dengan pucuk kepemimpinan. Justeru, Pemuda UMNO mengajak agar kita meraikan kepelbagaian pendapat terutama yang hadir dari pemikiran anak muda untuk kebaikan bersama. Kita bertanggungjawab memenangi jiwa, hati dan aspirasi mereka agar sokongan terhadap parti dan pucuk kepemimpinan seimbang serta berdasarkan rasional.

S: Dalam mesyuarat MT baru-baru ini, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal menyatakan mereka akan terus setia kepada parti. Apa pendapat Pemuda UMNO dalam perkembangan ini?

J; Saya berpegang kepada prinsip, setia kepada parti tidak bermakna kita lebih banyak berdiam diri. Setia kepada parti tidak bermakna kita tidak boleh suarakan pandangan. Jangan salah faham. Hari ini kalau ada perbezaan pendapat yang mana ia bermatlamat untuk penambahbaikan bagi memulihkan imej parti yang tercalar sejak kebelakangan ini, tidak bermakna mereka yang menyuarakan pandangan berbeza itu dia tidak menyokong kepemimpinan sedia ada asalkan pandangan itu diluahkan menerusi melalui saluran yang betul.

S: Apa harapan Pemuda UMNO terhadap beberapa isu yang mencalar imej UMNO kebelakangan ini?

J: Saya berharap jangan kita sekat atau tekan mana-mana individu atau pemimpin yang berbeza pendapat dengan kita termasuk yang datang dari generasi muda. Jika mahu memastikan UMNO terus kekal dan relevan, jangan nafikan pemikiran berbeza terutama yang datangnya dari anak muda. Jika ada ketikanya kepemimpinan Pemuda UMNO mungkin dilihat tidak menyokong 100 peratus pendirian pucuk kepemimpinan parti, tidak bermakna mereka tidak menyokong kepemimpinan parti. Apa yang Pemuda lakukan adalah mereka memahami dan mewakili pandangan generasi muda hari ini. Itu sahaja. Pemuda UMNO adalah jambatan penghubung di antara suara generasi muda dengan parti. Maka, parti juga harus mendengar suara orang muda.

S: Persepsi buruk yang menimpa UMNO hari ini banyak dipengaruhi serangan media sosial musuh UMNO. Bagaimana masalah ini hendak diatasi?

J: Hari ini, kita tidak boleh lari daripada hakikat yang media sosial menjadi gelanggang utama pertarungan politik. Media sosial menjadi medan melempar tohmah dan fitnah terhadap UMNO. Maka, kita perlu memperkasakan pasukan siber untuk menjawab tohmahan dan fitnah di media sosial. Kita perlu ada pemimpin dan pasukan yang berkeupayaan tinggi untuk bertarung dalam media sosial. Ini yang perlu UMNO beri keutamaan jika mahu memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang. UMNO tidak boleh berasa selesa lagi. Dalam PRU yang lalu, kita sukar menyaingi pertarungan fitnah dalam media sosial. Oleh itu, Pemuda UMNO mencadangkan agar calon yang dipilih dalam PRU akan datang bukan saja mempunyai ciri boleh menang dan disukai, tetapi aktif media sosial mempertahankan parti atau kerajaan. Aktif dalam media sosial ini bukan dalam tempoh setahun dua sahaja, tetapi mereka yang aktif sepanjang masa menjawab isu dan memberi kefahaman kepada rakyat.

S: Apa pendirian Pemuda UMNO terhadap gerakan pihak tertentu mahu menggulingkan kerajaan menerusi cara atau menyalahi undang-undang?

J: Saya menggesa pihak berkuasa tahan atau berkas mana-mana individu yang terbabit dalam gerakan seumpama itu. Walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah tidak ada lagi, kita ada banyak lagi akta lain yang boleh dikuatkuasakan untuk mengekang gerakan ini. Kita berharap agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berpilih dalam mengambil tindakan. Ini penting untuk memelihara kestabilan politik dan keselamatan negara.

84 dibaca
Berita Harian X