Isnin, 17 Ogos 2015 | 2:22pm

Affin Hwang ulangi saranan 'beli' ke atas Gamuda

KUALA LUMPUR: Affin Hwang Capital telah mencadangkan saranan 'beli' ke atas Gamuda Bhd berikutan penglibatannya dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM27 bilion.

Konsortium diketuai Gamuda dan SRS Consortium, dinamakan rakan kongsi pelaksana projek (PDP) untuk projek berkenaan.

Dalam satu nota hari ini, firma penyelidikan itu menyatakan pelantikan itu akan meningkatkan kontrak pembinaan diperoleh Gamuda dan memacu pertumbuhan pendapatan dalam jangka panjang.

Anggota lain konsortium itu ialah Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd (20 peratus) dan Ideal Property Development Sdn Bhd (20 peratus).

Menurut Gamuda, projek itu membabitkan pelaksanaan PTMP alternatif merangkumi komponen pengangkutan awam berasingan di pulau Pulai Pinang dan Seberang Perai serta penyediaan tapak penebusgunaan tanah baharu.

Menurut Affin Hwang, kerajaan negeri Pulau Pinang akan memberikan hak menebus guna tanah kepada PDP sebagai pembayaran bukan tunai untuk menanggung kos membina infrastruktur itu.

Dilaporkan PDP akan dibenar untuk menebus guna tanah seluas 607 hektar di kawasan Middle Banks berhampiran Gurney Drive atau 1,618 hektar tanah di selatan pulau itu untuk pembangunan hartanah.

"Kami mengulangi saranan 'beli' dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM5.77. Risiko utama kepada saranan kami ialah jualan hartanah lebih rendah dan kelewatan dalam pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar di Malaysia," katanya.

Pada jam 11.48 pagi, saham Gamuda jatuh 11 sen kepada RM4.19 dengan 3.17 juta diniagakan.

- BERNAMA

46 dibaca
Berita Harian X