;
Jumaat, 14 Ogos 2015 | 5:12pm
NURUL Izzati Zaini patah bahu dan tangan kiri ketika menjalani latihan hari ini.

Kecederaan Izzati halang Malaysia beraksi di ACC MTB 2015

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal bukit kebangsaan terpaksa menarik diri daripada acara rentas desa berganti-ganti berpasukan pada Kejohanan Lumba Basikal Bukit Asia 2015 (ACC MTB 2015) yang bermula di Bukit Beruang, Ayer Keroh, Melaka, esok.

Penolong pengurus skuad negara, Mohd Asri Abdul Mubin berkata keputusan itu terpaksa diambil selepas salah seorang pelumba, Nurul Izzati Zaini patah bahu dan tangan kiri ketika menjalani latihan rasmi pasukan hari ini.

"Malang sekali nasib yang menimpa Nurul Izzati. Ketiadaannya bermakna kita terpaksa tarik diri daripada acara rentas desa berganti-ganti berpasukan esok," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) hari ini.

Bagi Nurul Izzati, insiden tersebut cukup mengecewakannya kerana tidak dapat bersaing pada penyertaan sulungnya di kejohanan itu.

"Saya berazam hadiahkan pingat kepada keluarga saya tapi nasib tidak menyebelahi saya. Pastinya, saya kecewa kerana impian itu tak kesampaian," katanya.

Dalam pada itu, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berharap pelumba negara terutamanya dua pelumba elit iaitu Mohd Fauzan Ahmad Lufti dan Masziyaton Mohd Radzi dapat menebus kekecewaan pasukan dengan memastikan pingat dalam cara individu nanti.

"Memang kecewa apabila dapat berita seperti ini menjelang perlumbaan hari pertama di ACC MTB 2015, namun Mohd Fauzan dan Masziyaton adalah pelumba yang sangat berpengalaman dan kami harapkan mereka dapat melakukan sesuatu dalam acara masing-masing nanti," katanya. - Bernama

192 dibaca
Berita Harian X