Selasa, 4 Ogos 2015 | 1:12pm

Osman Ali kembali dengan genre seram, pertaruh Jwanita


MAYA Karin dan Datin Umie Aida.

KUALA LUMPUR: Pengarah Terbaik Filem Anugerah Skrin 2011 menerusi filem Cun kerap bekerjasama dengan Maya Karin menampilkan pelakon wanita berkenaan sebagai heroin karya arahannya. Selepas Anak Halal, Cun, Sejoli dan Ombak Rindu, pelakon bermata cantik itu sekali lagi diuji kredibiliti dan bakatnya oleh Osman membintangi filem seram terbaharu, Jwanita.

Jwanita ironinya mengembalikan Osman kepada genre seram menerusi filem pertama dihasilkannya pada tahun 2007 iaitu Puaka Tebing Biru yang dibintangi Datin Umie Aida, Nasha Aziz, Sharifah Amani dan Fahrin Ahmad. Sebelum itu Osman pernah juga mengarahkan filem pendek seperti Malaikat Di Jendela dan Bukak Api.

Maya sendiri bukan asing dalam filem seram kerana pernah membintangi filem yang cukup sinonim dengannya seperti Pontianak Harum Sundal Malam. Cuma selepas mengarahkan Puaka Tebing Biru, Osman lebih cenderung menghasilkan filem bergenre drama dan komedi romantik. Persoalan kenapa Osman kembali mengarahkan filem seram dan terus selesa memilih Maya diajukan kepadanya.

"Saya memang minat filem bergenre seram sejak zaman kanak-kanak lagi hinggalah kini. Saya juga ada banyak koleksi cerita seram yang disimpan dan berharap dapat diterbitkan suatu hari nanti. Lagi pun satu kepuasan apabila dapat bercerita dengan menampilkan perwatakan yang luar biasa dan menghidupkan suasana menyeramkan kepada penonton.

"Ketika ini, memang Jwanita menjadi karya terakhir saya bersama Maya. Ini kerana filem lain yang diarahkan saya seperti Pilot Cafe, Sinaran, Langit Cinta dan Kau Yang Satu dibintangi pelakon lain dan bukan dengan Maya. Maya seorang pelakon yang bagus dan saya suka mencabar beliau dengan watak yang unik serta berbeza untuk melihat sejauh mana kemampuan dirinya.

"..dan jika ada watak yang saya dapati ada persamaan dan tidak sesuai dengan Maya maka saya akan berikan watak berkenaan kepada pelakon lain. Insya-Allah jika ada skrip dan watak lain akan datang yang mencabar dan berbeza pasti akan ditawarkan kepada Maya lagi kerana saya selesa bekerja dengannya. Saya suka pelakon yang ikhlas melakonkan wataknya," katanya.

Selain Maya, Jwanita terbitan Nuansa Sdn Bhd dan Ehsan Production ini turut ditunjangi pelakon hebat lain seperti Bront Palarae, Umie Aida, Cristina Suzanne dan Marsha.

Filem itu mengisahkan mengenai Jwanita, wanita yang terpisah dengan adiknya Julaika di rumah anak yatim sejak kecil. Jwanita berusaha mencari adiknya tetapi terperangkap oleh wanita ilmu hitam yang menjadikan dia anak angkat.

Malah wanita berkenaan turut menggunakan Jwanita bagi membantu melaksanakan kerja pembunuhan kejam sejak kecil lagi. Selepas membunuh ibu angkatnya, Jwanita meneruskan pencarian mencari adiknya Julaika hinggalah menemuinya dan pada masa yang sama dia mengenali seorang lelaki bernama Doktor Farhan. Lantas dalam diam dia menyintai Farhan.

Tapi impiannya musnah apabila Farhan yang merawat jiwanya mengahwini Julaika hingga Jwanita terus menghilangkan diri bertahun lama. Kehadirannya semula Jwanita bersama satu dendam dan impian. Kematian demi kematian yang mengerikan berlaku setelah kehadiran Jwanita. Setiap mayat yang mati dibunuhnya akan dibangkitkan kembali oleh Jwanita menjadi abdi untuk membalas dendamnya.

"Saya juga cuba sampaikan mengenai nilai persaudaraan dan kasih sayang yang tidak dibelai dengan sempurna pasti akan mengundang kepada kehancuran. Jika kita hidup dengan dendam dan kebencian, syaitan akan bersarang dalam hati," katanya.

Dalam pada itu, penyanyi Alyah turut diberi mandat menyanyikan lagu tema filem ini berjudul Dendam Cinta.

"Saya perlukan seorang penyanyi yang lantang dan tegas intonasinya untuk menghidupkan lagu Dendam Cinta. Alyah akhirnya menjadi pilihan kerana dia hebat dalam melontarkan emosi dalam nyanyian.

"Lagu ini bercerita mengenai amaran seorang wanita terhadap kekasih atau pun suaminya supaya jangan sesekali cuba untuk merosakkan perhubungan dan cinta. Jika tidak semuanya akan hancur. Lagu ini amat sesuai dengan jalan cerita filem Jwanita," katanya.

Jwanita dengan tagline Ada Setan Di Kepalanya akan menemui penonton wayang bermula 24 September depan.

476 dibaca
Berita Harian X