Khamis, 30 Julai 2015 | 2:34pm

'Perang' Umie Aida, Erma Fatima dalam Mak Cun


ANTARA pelakon yang membintangi drama Mak Cun.

KUALA LUMPUR: Siapa sangka hubungan baik adik beradik antara sutradara Erma Fatima dan adiknya, Datin Umie Aida dalam diam-diam rupa-rupanya berantakan.

Memang diakui kedua-duanya berbakat besar dalam industri seni namun apa yang menjadi punca kepada keadaan berkenaan bukan iri hati dengan bakat masing-masing tetapi kerana persaingan dan usaha mereka dalam memasarkan produk kecantikan masing-masing.

Namun itu bukan realiti kerana perang mereka hanyalah di dalam drama rantaian terbaharu TV3 yang bermula sejak 29 Julai lalu menerusi Mak Cun.

Drama ini mengisahkan Mak Cun (Eirma Fatima) seorang wanita kampung yang mempunyai semangat keusahawanan yang tinggi dalam mengembangkan perniagaan bedak sejuknya.

Ternyata produk kebanggaannya itu mendapat permintaan yang tinggi bukan sahaja di Kodiang, Kedah malah serata Malaysia dan menjadi bualan hangat mengenai keberkesanannya.

Mak Cun dibantu anaknya Atul (Balkisyh Semundur Khan) dan dua orang pekerja selain sentiasa mendapat perhatian istimewa Pak Akob (Datuk Rahim Razali).

Namun perniagaan Mak Cun bakal disangkal Zeenat Manisa (Umie Aida) seorang janda kaya yang baru sahaja berpindah ke kampung itu dan mencemburui kejayaan dan populariti Mak Cun.


POSTER Mak Cun.

Bagi Zeenat Manisa, perniagaan bedak sejuk Mak Cun adalah persaingan terdekat kepada perniagaan suntikan kolagen miliknya.

Lebih membuatkannya sakit hati ialah perasaannya terhadap Pak Akob ditolak mentah-mentah kerana hanya berminat pada Mak Cun. Manisa yang memang gemar bersuamikan orang yang lebih tua, bakal merampas cinta Pak Akob dan memusnahkan reputasi Mak Cun.

Zeenat Manisa menyebarkan fitnah bahawa bedak sejuk Mak Cun merosakkan kulit dan perniagaan Mak Cun jatuh merudum.

Malah pegawai kementerian turut merampas produk Mak Cun kerana gagal mencapai piawaian yang dikehendaki. Lantas Mak Cun menjadi murung dan bersedih. Atul menelefon adiknya Halimatun (Nora Danish) untuk memujuk ibunya.

Halimatun pada mulanya turut memarahi ibunya kerana perniagaan ibunya tidak diusahakan secara sistematik.

Namun Halimatun cuba mengubat hati Mak Cun dengan membawanya ke Kuala Lumpur untuk menyertai kursus selok belok perniagaan. Mak Cun nekad untuk membawa perniagaannya untuk pergi jauh dan Mak Cun bakal tampil dengan imej baru.

Zeenat Manisa masih tidak puas dengan kejatuhan Mak Cun dan banyak lagi onar yang bakal diusahakan. Namun dalam mereka bermusuh, anak perempuan Mak Cun, Atul bakal bercinta dengan anak Zeenat Manisa, Kamarul (Azwan Kombos). Bolehkah Atul dan Kamarul disatukan?

Berjayakah Mak Cun mengembangkan produk bedak sejuknya dan membuktikan bahawa dia tidak bersalah kepada penduduk kampung?

Apa lagi yang bakal Manisa lakukan untuk terus menjatuhkan Mak Cun? Terleraikah nanti sengketa Zeenat Manisa dan Mak Cun?

Saksikan Mak Cun setiap hari Rabu dan Khamis pada jam 9 malam mulai 29 Julai ini hanya di TV3. Penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini.

445 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »