Rabu, 29 Julai 2015 | 12:13am
SABHI Saddi dan Nuriylia Jailani sewaktu persembahan di Mid Valley. - Foto Kamarulzaman Ariffin
SABHI Saddi pada majlis berbuka puasa Laugh Out Loud (LOL) Entertainment di Hotel Sunway Putra. - Foto Maya Sarina Mahat

Status suami bukan alasan Sabhi Saddi tidak tampil segak


KUALA LUMPUR: Memilih untuk memikul tanggung jawab sebagai suami dan bapa di saat namanya baharu sedang mekar di persada seni, Sabhi Saddi, 31, tidak melihat semua itu sebagai satu penyesalan terbesar.

Sebaliknya, penyanyi lagu Nadiku dan Cinta Sesungguhnya itu percaya suratan yang tertulis untuknya mendirikan rumah tangga sebagai ruang menjadi manusia yang lebih bertanggung jawab.

Berkahwin dengan Rosi Aswani Abdul Razak sejak hampir tiga tahun, tiada apa lagi yang diharapkan penyanyi kelahiran Sabah itu melainkan mendoakan kebahagiaan dan rezeki yang diterima terus dipanjangkan.

Kebahagiaan itu terus mekar dengan kehadiran dua anak perempuan masing-masing berusia dua tahun setengah dan sembilan bulan termasuk anak tirinya Muhammad Razi Aiman Dariwish dari perkahwinan pertama.

"Saya bukan bujang lagi pun. Berkahwin memang banyak mengajar saya mengenai perihal tanggung jawab dan tidak pentingkan diri sendiri. Sekarang kalau buat apa sekalipun, keluarga yang dalam ingatan dan jadi keutamaan. Saya rasa hal ini pastinya akan dirasai sesiapapun yang memikul tanggung jawab sama.


SABHI Saddi bernaung di bawah pengurusan Laugh Out Loud (LOL) Entertainment. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Benar kadang-kadang apabila sibuk dengan rutin seni, masa dengan keluarga itu jadi terbatas. Tapi saya tak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak menjadi bertanggung jawab. Anak saya pun masih kecil dan pastinya mereka mahukan perhatian dan kasih sayang setara antara saya dan isteri.

"Seronok ada anak kecil, gelagat mereka buat saya mahu pulang ke rumah secepat mungkin. Jika ada persembahan atau penggambaran di luar Kuala Lumpur, saya akan cuba balik hari itu juga. Memang tak sabar nak balik rumah melihat anak. Bila penat pun tapi melihat wajah anak di rumah sudah boleh membuatkan saya tersenyum hingga melupakan kepenatan itu," katanya yang kini diuruskan syarikat Laugh Out Loud (LOL) Entertainment.

Sabhi juga bertuah kerana isteri tersayang antara tulang belakang yang sangat memahami dan menyokong setiap langkah seninya.

"Saya takkan dapat menunaikan tanggungjawab sebagai bapa dan suami sebaik mungkin tanpa isteri di sisi. Kami saling melengkapi. Malah kami juga sebenarnya sudah menjalankan perniagaan produk kecantikan secara dalam talian.

"Masa yang ada bersama keluarga memang sangat berharga buat saya. Saya mahu membahagiakan anak dan isteri. Kehadiran anak memang menceriakan hidup saya," katanya.

Mengenai kerjaya seni, Sabhi sedar biarpun sudah lama menyanyi dan kini sudah mula kerap berlakon, namanya belum meledak. Tapi Sabhi percaya rezeki dan tuahnya belum sampai sekalipun setiap single yang dinyanyikan meletup dan dikenali.

Sabhi sebenarnya mula dikenali di persada seni dengan nama Boy ketika menyertai kumpulan EsdCo bersama Adam AF musim kedua dan Ejarn.

"Benar ada yang kenal lagu saya berbanding nama sendiri. Tak apalah. Saya okey sahaja. Sebagai penyanyi saya percaya soal rezeki itu akan datang sama ada lambat atau cepat sahaja. Mungkin sebelum ini silap saya juga kerana kurang ke depan dan tiada promosi hebat untuk menyerlahkan nama. Namun kini di bawah pengurusan LOL, saya optimis dengan strategi yang dirancang.

"Strategi itu memang perlu. Saya sendiri kena berusaha dan tak boleh berputus asa sekalipun tuah tak menyebelahi diri ini. Saya hanya ingin berkarya dan berkongsi bakat yang ada. Memang ada yang pernah cakap, lagu saya hits tapi diri sendiri belum hits," katanya.


(DARI kiri) Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, Aaisyah Dhia Rana, Zain Saidin, Rozita Che Wan, Gadaffi Ismail Sabri, Nuur Jihan Musa dan Sabhi Saddi ceria di bawah naungan Laugh Out Loud (LOL) Entertainment. - Foto Zunnur Al Shafiq

Mengenai dunia lakonan, Sabhi memberitahu semua itu terjadi atas galakan serta permintaan syarikat LOL sendiri.

"Keutamaan saya masih pada nyanyian. Tapi saya tak boleh membiarkan peluang yang ada di depan mata berlalu begitu sahaja. Mujur ada penerbit yang memberi peluang dan kepercayaan dan saya tak mahu mempersiakan. Saya kini muncul dengan drama Puteri Gunung Ledang untuk saluran Hypp TV di samping Ammar Alfian dan Atikah Suhaime," katanya yang mula menyanyi sejak 2009.

Daripada sisi lain, Sabhi juga tak ketinggalan menjadi badan. Baginya status bergelar bapa dan suami bukan alasan untuk tidak tampil segak dan sasa. Mengulas langkah bina badan yang dilakukannya, Sabhi berkata, dia memang sudah lama mengimpikan memiliki tubuh sasa itu. Cuma, dua tahun lalu keadaan kesihatannya tidak mengizinkan dan atas nasihat doktor dia tidak boleh aktif bersenam di gimnasium.

"Saya memang begitu teruja untuk menjaga badan. Sampai sekarang saya tak mahu sia-siakan tubuh badan idaman yang sudah diperoleh. Inilah hasilnya dan saya sangat berpuas hati. Bahkan, bagi menjaga tahap kesihatan diri saya mengamalkan diet seimbang. Sekalipun sibuk dengan kerjaya seni hingga tak sempat ke gym, saya akan cuba jaga pemakanan yang diambil," katanya.

Ditanya apakah dia bersedia menayang badan untuk tujuan komersial, Sabhi tak kisah berbuat demikian.

"Tengok juga bagaimana permintaan atau apa yang mereka cuba sampaikan dengan menayangkan badan. Selama ini pun saya tak kisah tayang badan di laman sosial. Bagi saya ia sekadar motivasi diri dan bukannya nak menunjuk-nunjuk,"katanya yang akan mempertaruhkan single berjudul Ternyata ciptaan Encik Mimpi tak lama lagi.


SABHI Saddi ketika pertunjukan fesyen Lord's Tailor Spring/Summer 2015 di Pavilion. - Foto Munira Abdul Ghani

Info Sabhi

  • popular dengan lagu Nadiku dan Cinta Sesungguhnya ini, dia perlu membina tubuh menjadi sasa untuk kesesuaian watak.
  • Setakat ini, antara drama yang pernah dibintangi Sabhi ialah Walau Air Mata Darah, Antara Laut China Selatan dan Aku Ada Wali selain telefilem 3 Ahmad.
  • Meskipun lebih cenderung menyanyi, dia yang sebelum ini pernah menjayakan beberapa drama dan telefilem, tidak menolak tawaran berlakon jika ada kelapangan.

232 dibaca
Berita Harian X