Isnin, 27 Julai 2015 | 12:23am

Pesakit jiwa selesa di Hospital Bahagia


BAGI kebanyakan orang kehidupan di hospital dalam jangka masa yang lama amat amat menjemukan, tetapi berlainan dengan pesakit mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak. Rata-rata pesakit yang ditemui lebih selesa tinggal di pusat rawatan itu apatah lagi mereka diberi peluang membuat kerja sampingan yang disukai. 

"Tak nak la balik rumah, nanti kacau," demikian pengakuan jujur Fahmi, 30-an, (bukan nama sebenar) seorang pesakit mental di pusat rawatan itu.

Fahmi, seperti kebanyakan penghuni lain, sudah seronok dengan kehidupan harian di pusat ini apatah lagi dikelilingi ramai rakan-rakan untuk berborak dan menjalani aktiviti seharian. Kebanyakan petugas pula melayan mereka seperti keluarga sendiri dan tidak pernah sesekali disisihkan.

Ditanya lagi apa yang membuatkan dia ingin tinggal lebih lama dan tidak mahu pulang ke rumah, Fahmi menjawab: "Makanan di sini pun sedap dan diberi enam kali sehari."

Bagaimanapun, hakikatnya Fahmi pada satu hari nanti perlu meninggalkan pusat mental ini dan menjalani kehidupan seperti orang lain. Oleh itu, Fahmi perlu mempersiapkan diri untuk pulang ke pangkuan masyarakat.


PENGARAH Urusan Creative Enterprise Sdn Bhd, Jaafar Taib. - Foto NSTP

Pesakit mental yang mula-mula dihantar ke pusat rawatan ini terlebih dahulu akan distabilkan emosi mereka. Selepas itu pihak pengurusan akan mengadakan program dan aktiviti di dalam wad seperti berkaraoke, membaca dan kelas agama selain turut dibawa berkelah dan mengadakan lawatan.

Sebagai persiapan supaya pesakit boleh berdikari apabila meninggalkan pusat rawatan ini, mereka diberi peluang membuat kerja mengikut minat masing-masing. Bagi Fahmi yang sudah sebati dengan kehidupan berkebun sebelum memasuki Hospital Bahagia ini, kerja-kerja di kebun banyak membantunya melupakan tekanan dan penyakit yang dihadapinya.

Seawal jam lapan pagi selepas bersarapan dan mengambil ubat, Fahmi dan rakan-rakan yang lain akan menuju ke kebun di dalam kawasan hospital ini dan memulakan kerja masing-masing di bawah pemantauan petugas.

Mereka ditugaskan membuat pelbagai kerja di kebun itu seperti menyiram tanaman, membuang rumput dan membajak. Antara tanaman di kebun itu ialah terung, kacang bendi, sawi, jagung dan lain-lain.

Menurut Fahmi, hasil tanaman ini kemudian akan dijual di pasar tani (juga dalam kawasan hospital) dan pembelinya pula terdiri daripada kakitangan di pusat rawatan itu sendiri. Insentif daripada hasil jualan akan diberi kepada pesakit.


PEMINAT YANG hadir pada majlis pelancaran penerbitan Edisi Khas Majalah Gila-Gila keluaran 777 di Galeri Petronas, KLCC. - Foto Nik Hariff Hassan

Selain berkebun, pesakit yang berminat menternak ikan diberi pendedahan penjagaan ikan air tawar di enam kolam dalam kawasan hospital ini. Mereka diberi tugas membersihkan kolam dan memberikan ikan makan, selain menjaga pokok buah-buahan seperti nangka, cempedak dan rambutan yang terdapat di kawasan berdekatan.

Menurut Pembantu Perawatan Kesihatan, Shairy Abdul Aziz yang bertanggungjawab memantau aktiviti pesakit di kolam dan dusun buah-buahan, pesakit tidak pernah menimbulkan masalah dan sering mengikut arahan.

Katanya, setiap hari pesakit akan terlebih dulu ditanya sama ada mereka boleh bekerja pada hari itu.

"Jika pesakit cakap mereka tidak boleh bekerja dan nampak seperti tiada 'mood', kita tidak akan beri tekanan kepada mereka. Kesungguhan dan kemajuan pesakit bergantung kepada kakitangan sendiri yang berminat untuk mengendalikan projek ini. Ia bertujuan supaya pesakit boleh berdikari apabila keluar daripada pusat rawatan ini," katanya.


MISHAR pada majlis pelancaran penerbitan Edisi Khas Majalah Gila-Gila keluaran 777 di Galeri Petronas, KLCC. - Foto Nik Hariff Hassan


KARTUNIS majalah Gila-Gila menurunkan tandatangan pada majalah Gila-Gila Edisi yang ke 777 pada majlis pelancaran di Galeri Petronas, KLCC. - Foto Nik Hariff Hassan

Bagi Ali (bukan nama sebenar) pula, dia lebih berminat untuk menternak ayam kampung di pusat rawatan itu. Setiap kali selesai makan, Ali dan rakan yang lain ditugaskan mengumpulkan sisa makanan ke dalam baldi untuk diberi kepada ayam yang diternak di situ. Kebanyakan ayam yang diternak di sini diberi makanan secukupnya dan kelihatan gemuk serta sihat. Semua ternakan ini sudah ada 'pembeli' tetap terdiri daripada kakitangan hospital sendiri.

Di bengkel pula, Kalidevi, 56, diajar bagaimana untuk melicinkan permukaan tempurung sebelum dipotong dan dijadikan pemegang kunci atau kraftangan lain. Beliau adalah antara pesakit yang tekun dan rajin melakukan kerja di bengkel itu. Seperti Fahmi, Kalidevi juga tidak mahu pulang ke pangkuan keluarga dan berazam untuk terus tinggal di pusat rawatan itu hingga ke akhir hayatnya.

Menceritakan sejarah hidupnya, Kalidevi berkata suaminya terbabit dengan dadah manakala ibunya sudah tua dan amat jarang sekali keluarganya datang melawatnya di wad.

"Buat apa mau pulang, duduk sini sajalah," katanya ketika ditanya sama ada mahu pulang ke pangkuan keluarga suatu hari nanti.


KARTUNIS terkenal, Ibrahim Anon atau lebih dikenali dengan nama Ujang. - Foto NSTP

Berbual dengan Kalidevi seolah-olah kita berhadapan dengan manusia normal lain, langsung tidak menunjukkan ciri-ciri dia adalah seorang pesakit mental. Dia tersenyum riang apabila diminta menyanyikan lagu yang diminatinya. Tanpa teragak-agak dia terus menyanyikan lagu yang diminatinya ketika zaman remaja dengan penuh penghayatan. "Ini lagu dari 'movie' zaman dahulu," katanya.

Juru Pulih Kerja, Rima Izwani Abdul Manap, berkata pesakit yang dihantar ke bengkel sudah stabil dan boleh menjalankan kerja-kerja ringan. Katanya, selepas dirujuk kepadanya oleh Jabatan Psikiatri, pesakit akan diberikan tugas mengikut minat masing-masing.

"Kita kena tanya dulu minat mereka ke arah mana...Ada yang diberi kerja membuat kraftangan tempurung, kerja jahitan dan ada juga pesakit memasang peralatan ringkas elektronik yang dibawa dari kilang.

"Disiplin pesakit di sini sangat baik...Lagipun mereka mendapat rawatan dan makan ubat. Hasil kraftangan pula biasanya akan dibeli pelajar sekolah dan pelawat yang datang ke pusat rawatan ini," katanya. 


ANTARA koleksi-koleksi terbaik lukisan komik Gila-Gila pada pameran Lagi-Lagi Gila-Gila di Galeri Petronas, KLCC. - Foto Nik Hariff Hassan

Berbeza dengan Fahmi dan Kalidevi, Zainal, seorang pesakit forensik di pusat rawatan ini, menyimpan hasrat untuk pulang ke pangkuan keluarganya secepat mungkin. 

"Saya bunuh orang, mental," kata Zainal ketika ditanya mengapa dia dibawa menjalani rawatan di sini. Zainal yang pernah bekerja sebagai 'doorman' di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, berkata ahli keluarganya datang melawat jika ada kelapangan. 

Ditanya mengenai pengalaman berhari raya di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Zainal yang sudah lima tahun menghuni pusat rawatan itu berkata: "Kami akan kumpul duit ramai-ramai dan beli lemang di luar dan makan sama-sama, itu saja."

Kes mahkamah membabitkan Zainal sudah selesai dan dia kini menunggu proses untuk pulang kepada keluarga dan masyarakat.

Di pusat rawatan ini, Zainal dan rakan-rakannya yang terdiri daripada pesakit forensik yang lain belajar bagaimana untuk mencuci kereta di pusat cuci kereta Fountain Care Wash.

Pusat cuci kereta yang dibuka sejak tahun 2003 itu bukan untuk meraih keuntungan, sebaliknya untuk memberi peluang kepada Zainal dan pesakit lain belajar supaya dapat mencari pekerjaan yang sesuai apabila keluar daripada pusat rawatan ini.

Ia dibina hasil inisiatif pengarah, pakar psikiatri dan kakitangan yang mencari jalan bagaimana untuk mewujudkan aktiviti pemulihan kepada pesakit forensik. 


PENGARAH Galeri Petronas, Rosli Abdul Rahim. - Foto Nik Hariff Hassan

Penolong Pegawai Perubatan, Zulkiflee Hussain, berkata matlamat penubuhan pusat cuci kereta itu adalah untuk membiasakan diri pesakit dengan alam pekerjaan dan mempersiapkan diri mereka sebelum dihantar pulang kepada masyarakat. Katanya, mereka juga diberi gaji dan menggunakannya untuk membeli barang-barang yang diperlukan.

"Cabaran dalam menguruskan mereka ialah pesakit ini langsung tidak tahu apa-apa. Kita kena ajar bagaimana untuk buat kerja. Ia memerlukan kesabaran kerana mereka serba kekurangan dan tidak boleh berfikir seperti kita.

"Kita juga sentiasa membuat pengawasan rapi kerana hendak menjaga kualiti untuk kepuasan pelanggan...Apabila sudah berpuas hati dengan hasil kerja mereka, kita ada unit lain yang mencari pekerjaan untuk pesakit ini di luar seperti di kilang dan menjadi pembantu kedai," katanya.

Zukiflee juga mempelawa orang ramai yang tinggal berdekatan untuk datang mencuci kereta di pusat rawatan itu. 

Ada juga pesakit yang menjalani program rehabilitasi yang dibayar antara RM500 dan RM600 untuk menjadi pembantu di kedai dobi, tukang cuci dan bekerja di restoran di luar pusat rawatan. Wang gaji mereka dimasukkan dalam akaun bank masing-masing.

Terdapat juga pesakit wanita yang ditempatkan di pangsapuri kakitangan yang tidak digunakan dan bekerja di luar hospital pada waktu pagi serta pulang pada waktu petang sebagai orang biasa tetapi di bawah pengawasan petugas. Golongan ini sepatutnya sudah boleh balik ke rumah tetapi apa yang amat menyedihkan tiada keluarga yang mahu menerima menyebabkan mereka terpaksa tinggal di hospital ini.

Pesakit di Hospital Bahagia Ulu Kinta terutama yang masih muda dan belum mencapai tahap kronik sentiasa diingatkan bahawa mereka mempunyai penyakit dan terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan.

Justeru, apabila tiba masa meninggalkan hospital ini, mereka perlu berdikari dan mempunyai wang bagi menaikkan keyakinan diri dan supaya mereka berfikir penyakit ini boleh baik.

44 dibaca
Berita Harian X