;
Isnin, 20 Julai 2015 | 5:42pm
PASUKAN perubatan tiba selepas nahas yang melibatkan dua pelumba Sepanyol pada perlumbaan sokongan bagi Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Laguna Seca. - Foto montereycountyweekly

WSBK: Dua pelumba maut di Laguna Seca

CALIFORNIA, Amerika Syarikat: Dua pelumba motosikal Sepanyol maut selepas terbabit kemalangan pada perlumbaan sokongan bagi Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Laguna Seca.

Bernat Martinez, 35 dan Daniel Rivas Fernandez, 27 meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami di hospital selepas berdepan kemalangan pada perlumbaan kedua MotoAmerica Superbike/Superstock 1000, semalam.

"Saya benar-benar tiada sebarang ayat untuk menggambarkan perasaan saya," kata bekas juara tiga kali Kejuaraan Dunia dalam kelas 500cc, Wayne Rainey yang juga Presiden MotoAmerica dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, awal pagi ini.

"Pertama dan paling penting, ia adalah kehilangan kepada keluarga dan orang tersayang. Takziah sepenuh hati kami kepada setiap dan semua orang yang terbabit selain keluarga MotoAmerica."

Kemalangan itu berlaku pada pusingan pertama perlumbaan yang mencetus tindak balas rantaian membabitkan beberapa pelumba lain.

Martinez dibawa ke Hospital Community di Monterey Peninsula oleh ambulans manakala Rivas diterbangkan ke Pusat Perubatan Natividad di Salinas. - Reuters

232 dibaca
Berita Harian X