Ahad, 19 Julai 2015 | 12:05am

Ziana, Anuar lepas rindu di Aidilfitri


SABAN tahun, nama dua artis yang punya pertalian darah ini pasti tersenarai untuk sesi fotografi sempena Aidilfitri. Selain mempunyai penggemar tersendiri, kedua-dua adik-beradik ini memiliki aura dan personaliti yang sentiasa memikat hati peminat masing-masing.

Kala sesi fotografi yang diadakan untuk mereka di Shah Alam, baru-baru ini, Ziana Zain lebih dulu tiba di lokasi, diikuti oleh Anuar tidak lama kemudian. Benar bagai dikata, dua beradik ini bagai saling melepas rindu antara mereka kerana sebaik susuk tubuh penyanyi lelaki terbabit menjengah masuk ke bilik bersiap, si kakak menjerit gembira memeluk erat adiknya.

Awalnya, ketika berbual dengan Ziana, beliau ada memberitahu sudah beberapa bulan tidak bertentang mata dengan adik kesayangannya itu.

"Lama juga tidak jumpa Anuar. Adik saya tinggal bersama ibu bapa kami. Saya juga sering ke rumah mereka, tetapi jarang bertembung. Kadangkala hanya bercakap di telefon. ," cerita Ziana yang memang mudah mesra.

Itulah hakikat kehidupan mereka, dua artis popular yang tidak pernah luntur populariti dalam gelanggang industri hiburan tanah air.

Tambah Ziana, mungkin kedengaran agak pelik, namun mereka masing-masing sibuk dengan rutin harian tersendiri.


PENYANYI, Anuar Zain dan Ziana Zain. - Foto Adi Safri

Lantaran, Aidilfitri menjadi ruang paling sesuai untuk dua beradik ini duduk sekali dan meluangkan masa bersama-sama apabila masing-masing bebas daripada jadual harian yang padat.

"Sebab itu kalau sebut hari raya, mengikut tradisi keluarga Pak Zain, kami wajib berkumpul di rumah abah di Shah Alam untuk sama-sama meraikan hari kebesaran umat Islam.

"Semua anak-anak abah mesti berkumpul dari malam raya sampailah sepanjang Syawal pertama," kata penyanyi yang terkenal dengan imej mengangkat kening ini.

Bercerita lanjut, Ziana dan adik perempuan yang lain akan mula berkampung di rumah ibu bapanya sejak tiga hari sebelum Aidilfitri bagi membantu menyediakan bahan untuk memasak selain mengemas rumah.

Tambahnya, setiap kali raya, semua adik-beradik memang mahu ibu mereka, Robiah Abdul, menyediakan juadah. Air tangan orang tua bagai ada azimat cukup berharga.

"Memang ketua chef ialah mak saya, tapi kami sebagai pembantu perlu menolong sediakan bahan untuk memasak.

"Mak pula memang sudah tahu perangai anak-anaknya, jadi beliau akan siap-siap masak, termasuk pakej untuk kami bawa balik," cerita Ziana tertawa.


ZAIN dan anaknya Aaisyah Dhia Rana.

Ujar penyanyi yang dilahirkan dengan nama Siti Roziana Zain, 47, ini, demikianlah rutin setiap kali menyambut lebaran.

Anuar yang berada di sisi pula berkata, beliau saban tahun sudah mengambil tanggungjawab sukarela iaitu tukang membeli kuih raya untuk hidangan buat tetamu di rumah ibu bapanya.

"Saya memang setiap tahun beli kuih raya. Ia bagai sudah termaktub dalam kontrak. Jadi, saya akan memastikan pilihan yang terbaik untuk dihidangkan kepada keluarga dan tetamu.

"Pastinya kuih paling wajib ialah tart nanas selain kuih berasaskan coklat yang digemari anak-anak buah," katanya yang digelar Pak Ngah dalam keluarga mereka.

Senada dengan Ziana, Aidilfitri menjadi medan paling sesuai untuk mereka semua berkumpul dan berkongsi cerita bersama keluarga.

Bukan tidak mesra pada hari biasa, ujar penyanyi Suasana Hari Raya bersama Elina ini, masa dan rutin kerja membataskan mereka adik-beradik untuk bertemu serta bersua muka.

Ditanya mengenai juadah wajib yang perlu terhidang di atas meja pada pagi Hari Raya, Ziana dan Anuar serentak menjawab kuah kacang daging dan kari hitam ayam pencen.

"Nampak tak jawapan serentak? Itu memang hidangan istimewa ibu kami," jawab Ziana disambut tawa Anuar.


ZIANA Zain menjelaskan menjadi lumrah bagi seorang anak seni untuk berdepan dengan pelbagai insiden. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 45, menambah, air tangan ibunya itu amat istimewa dan kini ia sedang diwarisi oleh Ziana dan adik mereka, Alin.

"Saya kata sedang diwarisi sebab ia belum 100 peratus sama macam mak, tetapi hampir sama," cerita Anuar sambil tertawa, mengusik kakaknya.

Masih bercerita mengenai sambutan lebaran, Ziana berkata, biasanya mereka tidak akan dapat keluar beraya pada hari pertama kerana rumah ibu bapa akan diziarahi sehingga ke lewat malam.

"Biasanya kalau hari raya pertama kami memang di rumah saja, memang tidak boleh jalan-jalan sebab ramai saudara-mara yang hadir. Raya kedua baharu ada perancangan sama ada akan pulang ke Melaka atau sebelah rumah suami," katanya.

Anuar menyambung, satu tradisi yang memang tidak pernah cicir ialah bermaafan pada pagi 1 Syawal antara adik-beradik dan keluarga.

Menurutnya, tidak kira yang sudah berkeluarga atau masih solo, semua wajib bersalaman dan memohon maaf.

"Semua dimestikan bermaafan, termasuk anak-anak buah saya yang memang diajar untuk meminta maaf bermula daripada yang tua sampailah yang muda," katanya.


KESIBUKAN kerja masing-masing menyebabkan dua beradik ini jarang bersua. - Foto Adi Safri

Baik Ziana mahupun Anuar, masing-masing memperuntukkan duit raya untuk diberikan kepada anak saudara dan kanak-kanak untuk memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, kala ditanya kepada Ziana mengenai persiapan lebaran untuk anak dan suami, penyanyi lagu Indah Di Hari Raya ini berkata, pakaian sedondon sudah menjadi tradisinya.

Biasanya, kata Ziana, ia bergantung kepada warna baju Melayu yang dimiliki oleh suaminya, Armin Zaharin.

"Saya akan rujuk warna baju Melayu suami sebab beliau banyak koleksi yang jarang dipakai, jadi dari situ saya akan tentukan warna untuk yang lain," katanya.

Ziana berkata, selebihnya adalah persiapan untuk empat anaknya iaitu Aiman, Amar dan pasangan kembar Ariel serta Kaseh, seperti pakaian dan kasut raya.

Mengenai perkembangan kerjaya seninya, Ziana yang baru pulang dari kota fesyen, Paris, beberapa minggu lalu bagi menjayakan fotografi koleksi Rizman Ruzaini berkata, beliau kini masih dalam proses mencari bahan untuk single terbaharu.

"Saya memang cerewet kali ini dan mahukan sesuatu yang segar, malah saya juga sedang mendengar beberapa lagu karya komposer baharu," katanya.

Ziana yang terkenal sebagai selebriti ikon fesyen tanah air, turut tidak menolak untuk tampil dengan label fesyen muslimahnya satu hari nanti.

Anuar juga kini dalam proses melengkapkan bahan untuk album terkini.

"Saya akui memang mengambil masa agak lama, tetapi itulah saya kerana saya mahukan kepuasan seperti album sebelum ini," kata lelaki pujaan Malaya ini.

2623 dibaca
Berita Harian X