Jumaat, 19 September 2014 | 6:00pm

SPNB lancar 306 unit Rumah Aspirasi Rakyat di Gurun

GURUN: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melancarkan 306 unit rumah mampu milik di Taman Permai Utama, di sini, yang akan dibangunkan anak syarikat milik penuhnya, SPNB Aspirasi Sdn Bhd (SPNB Aspirasi) hujung tahun ini.

Projek itu dalam Fasa 2 Taman Permai Utama akan menawarkan 123 unit rumah teres dua tingkat, selain 183 unit rumah setingkat yang akan dijual pada harga bermula dari RM151,980 seunit.

Pengerusi SPNB, Datuk Abd Latiff Ahmad, berkata pembinaan dijangka mengambil masa 24 bulan dan ia adalah sebahagian projek Rumah Aspirasi Rakyat (RAR) kendalian SPNB di tiga lokasi di Kedah iaitu di Kuala Muda, Kulim dan Gurun dengan kos keseluruhan RM208 juta.

"Sebelum ini kita sudah bangunkan 678 unit kediaman merangkumi teres kos rendah, kos sederhana dan rumah berkembar melalui Fasa 1 Taman Permai Utama.

"Baru-baru ini SPNB Aspirasi menyiapkan 319 unit teres setingkat kos rendah dengan harga jualan bermula dari RM68,000," katanya ditemui selepas pra-pelancaran projek Fasa 2 Taman Permai Utama, di sini, yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Yang turut hadir Presiden SPNB, Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh; Pengerusi SPNB Aspirasi, Ahri Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Aspirasi, Datuk Ahmad Azizi Ali.

Taman Permai Utama adalah antara 37 projek RAR dibangunkan SPNB membabitkan penyediaan 18,815 unit rumah kediaman pelbagai jenis dengan kos keseluruhan RM2 bilion di seluruh negara.

Lapan lagi projek membabitkan penyediaan 2,654 unit rumah RAR dengan kos RM254 juta masih dalam pembinaan.

Sementara itu, Abd Latiff berkata menerusi Belanjawan 2014, SPNB Aspirasi merancang membina 12,576 unit rumah yang mana sebahagian besarnya adalah dalam kategori RAR.

"Masih ada banyak lagi projek perumahan yang bakal dijalankan pada masa hadapan bagi memenuhi keperluan satu juta unit rumah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini," katanya.

395 dibaca
Berita Harian X