Selasa, 7 Julai 2015 | 11:55am

Lelaki tertua di dunia dari Jepun meninggal dunia


SAKARI Momoi (kanan) menerima sijil pengiktirafan daripada Guinness World Records sebagai lelaki tertua di dunia pada 20 Ogos 2014. - Foto Reuters

TOKYO: Sakari Momoi, yang diiktiraf sebagai lelaki tertua di dunia yang mengamalkan diet pemakanan sihat dan tidur mencukupi, meninggal dunia pada usia 112 tahun, hari ini.

Media Jepun melaporkan, Momoi dilahirkan pada Februari 1903 di Fukushimam, iaitu kawasan yang teruk ditimpa bencana tsunami dan kebocoran nuklear empat tahun lalu.

Februari 1903 juga adalah tahun patung beruang diperkenalkan dan Orville Wright menerbangkan pesawat pertama dunia.

Guinness World Records menamakannya sebagai lelaki tertua di dunia pada Ogos 2014, kepada Momoi, yang juga bekas guru dengan banyak menghabiskan usianya melukis karya kaligrafi serta menyertai kegiatan rekreasi di kawasan hospital di mana beliau tinggal.

"Saya mahu hidup dua tahun lagi," katanya ketika menerima plak pengiktirafan itu.

Berikutan kematian Momoi, lelaki tertua di dunia kemungkinan dipegang oleh seorang lagi penduduk Jepun, Japanese Yasutaro Koide.

Koide lahir pada Mac 1903, kira-kira sebulan selepas Momoi.

Warga Amerika Syarikat, Susannah Mushatt Jones, 116, adalah wanita tertua di dunia. - Reuters

157 dibaca
Berita Harian X