;
Isnin, 6 Julai 2015 | 12:05am

Umpan gadis, samun lelaki kaya

 


KEBANYAKAN pusat hiburan dan kelab malam menjadi pusat modus operandi kegiatan jenayah. - Gambar hiasan

SATU sindiket menggunakan modus operandi mengumpan remaja perempuan belasan tahun untuk menyamun lelaki bergaya dan mewah.

 

Sindiket itu dipercayai menggunakan remaja itu untuk memikat lelaki mewah atau mereka yang pulang dari pusat hiburan.

Remaja berkenaan bertindak menggoda lelaki berkenaan dan mengajak mereka ke hotel berhampiran. Selepas tiba di hotel, remaja itu akan menghubungi rakannya atau anggota sindiket menyatakan lokasi hotel.

Berdasarkan maklumat berkenaan, suspek dan beberapa individu lain akan ke hotel itu. Sampai di hotel, suspek mendakwa wanita berkenaan adiknya dan menuduh mangsa cuba meniduri adiknya.

Suspek kemudian menggugut dengan meminta wang dan barangan berharga, selain melarikan kereta mangsa.

Aktiviti sindiket itu terbongkar selepas sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menahan empat individu berusia 17 tahun hingga 30 tahun di dua lokasi berasingan di ibu negara, beberapa bulan lalu.

Penahanan mereka susulan kes samun ke atas seorang lelaki jurujual yang dipukul anggota kumpulan terbabit dalam kejadian di sebuah hotel di Kepong Baru.

 

Terdahulu, suspek dipercayai menggunakan remaja perempuan berusia 17 tahun untuk memikat mangsa di sebuah kelab hiburan di Jalan Ipoh, di sini, sebelum mengajaknya ke hotel.

Tidak lama kemudian, dua lelaki turut ke hotel berkenaan dan pada masa sama, gadis itu menuduh mangsa mencabulnya.

Kumpulan terbabit kemudian memukul jurujual itu menggunakan 'buku lima' dan meminta RM2,000 daripada mangsa, kononnya sebagai bayaran ganti rugi.

Mereka turut merampas kereta BMW milik jurujual berkenaan sebelum melarikan diri. Anggota kumpulan itu dikatakan turut menyamar sebagai anggota polis untuk menakutkan mangsa.

Untuk mengelak menjadi mangsa, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, menasihati orang ramai jangan mudah terpedaya dengan individu yang baru dikenali.

"Orang ramai yang pernah menjadi mangsa kes seperti ini diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis. Ini berikutan, kes ini banyak terjadi, namun tiada laporan polis dilakukan," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini polis melancarkan gerakan memburu suspek dan menahan dua lelaki bersama seorang wanita di sebuah rumah di Jinjang 3 Mac lalu, berhubung kes berkenaan.

435 dibaca
Berita Harian X