Rabu, 17 September 2014 | 4:42pm

Prof Azmi fail permohonan pindahkan kes hasutan ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Azmi Sharom hari ini memfailkan permohonan untuk memindahkan kes hasutan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Azmi, 45, memfailkan permohonan itu di pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen menerusi firma guaman Gobind Singh Deo & Co.

Beliau mengemukakan permohonan untuk mendapat perintah agar Mahkamah Sesyen merujuk kepada Mahkamah Tinggi bagi penentuan keperlembagaan Seksyen 49(1) Akta Hasutan 1948.

Sehubungan itu, Azmi juga memohon perintah agar pertuduhan yang dihadapinya digantung dan/atau dibatalkan.

Pada 2 September, Azmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung krisis Perak 2009.

Dia dituduh menyebut perkataan menghasut itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Jalan Hang Tuah di sini pada 12.30 tengah hari, 15 Ogos lalu.

Azmi, yang juga Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM, turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menerbitkan perkataan menghasut berhubung krisis sama, pada masa dan tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Sesyen menetapkan 3 Oktober depan bagi pengurusan kes.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo memberitahu pemberita alasan bagi menyokong permohonan itu adalah berdasarkan Akta Hasutan 1948 tidak digubal oleh Parlimen dan seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan bersuara.

Gobind berkata Mahkamah Sesyen mempunyai kuasa untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi bagi penentuan perkara itu yang dibangkitkan mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

"Kami telah memfailkan sijil perakuan segera untuk mempercepat pendengaran permohonan ini.

"Kami berharap Pejabat Peguam Negara menyokong permohonan ini dan akan mempertimbang untuk menggantung semua pendakwaan bagi kes-kes hasutan sehingga perkara ini diputuskan, memandangkan isu ini akan memberi kesan kepada semua kes pendakwaan di bawah seksyen, akta berkenaan," katanya. - BERNAMA

157 dibaca
Berita Harian X