Isnin, 8 Jun 2015 | 10:36pm

NSTP bolot 6 anugerah MPI termasuk Kajai


AHMAD Shabery (tiga dari kanan) bersama Chamil Wariya (kanan) menyampaikan Anugerah Kajai kepada wartawan New Straits Times, Farrah Naz Karim (tiga dari kiri), Haris Hussin (dua dari kanan) dan Aliza Shah Muhammad Shah (dua dari kiri) ketika Majlis Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2014 pada Malam Wartawan Malaysia 2015 di Hotel Istana. Turut kelihatan, Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia Petronas, Datuk Mohd Anuar Taib (kiri). - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) mengungguli Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2014 apabila menguasai enam kategori utama termasuk Anugerah Kajai.

Wartawan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim, Haris Hussin dan Aliza Shah Muhammad Shah merangkul anugerah Kajai.

Kemenangan itu hasil laporan mereka yang membongkar tindakan kerajaan negeri Selangor mengepam bekas air lombong ke Sungai Selangor dan kemudiannya dibekalkan kepada dua juta pengguna di Lembah Klang.

BH pula mengungguli anugerah bagi kategori Anugerah Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang dan Anugerah Laporan Berita Cemerlang melalui wartawan Azrul Affandi Sobry dan Wan Noor Hayati Wan Alias.

New Sunday Times pula merangkul anugerah bagi kategori Anugerah Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang, manakala dua jurugambar NSTP iaitu, Khairull Azry Bidin dan Osman Adnan memenangi anugerah bagi kategori Anugerah Kewartawanan Foto Cemerlang dan Anugerah Esei Foto Cemerlang.

Hadiah bagi kesemua anugerah terbabit disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya.

Pemenang bagi anugerah Kajai membawa pulang wang tunai RM30,000 dan 100 gram kepingan emas, manakala bagi pemenang kategori lain masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 serta sijil.

Sementara itu, Ahmad Shabery ketika berucap berkata, kewartawanan serius perlu dihargai dan mendapat pengiktirafan sewajarnya kerana mereka menyumbang kepada pembangunan negara.

Katanya, ledakan media baru mengakibatkan hasil usaha kewartawanan serius diciplak dengan mudah dan kemudiannya dimuatnaik di media sosial tanpa memikirkan kesukaran untuk menghasilkannya.

130 dibaca
Berita Harian X