Isnin, 1 Jun 2015 | 1:04pm

Fauzi Nawawi tak kisah dianggap jahat


PELAKON, Fauzi Nawawi.

KUALA LUMPUR : Sinonim membawakan watak antagonis di layar perak, pelakon Fauzi Nawawi tidak ralat dianggap ganas dan jahat seperti karakter yang selalu dijayakannya.

Fauzi atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi, 42, berpendapat rezeki lebih berpihak kepada dirinya untuk melakonkan watak jahat dan itu menyebabkan dia turut terkena tempias.

"Memang wajah saya sinonim dengan watak jahat malah jika nama saya tersenarai dalam drama atau filem pun orang akan anggap dan cop saya sebagai lelaki paling jahat.

"Saya anggap rezeki saya lebih ke arah itu dan tak kisah jika orang mempunyai persepsi mereka sendiri pada saya. Kiranya seperti watak yang saya lakonkan itu menjadi.

"Apa yang penting isteri dan keluarga mengenali diri saya sebenar. Ia seperti 'trademark' diri saya dan ada hikmah digandingkan dengan ratu tangisan," kata Fauzi sambil melirik kepada isterinya, Lisdawati.

Dalam perkembangan terkini, Chowrasta, filem lakonan terbaru Fauzi, bakal menjalankan promosi di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam pada 10 Jun ini. Filem itu turut membariskan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Wan Hanafi Su, Nora Danish dan ramai lagi.

"Filem Chowrasta menggandingkan saya dan Rosyam di layar perak setelah 10 tahun, di mana filem terakhir kami bersama adalah filem Anak Halal. Filem ini bakal menemui penonton tidak lama lagi tetapi pada 10 Jun ini, filem ini akan ditayangkan dahulu di UiTM Shah Alam," kata Fauzi.

Selain itu, Fauzi tampil sebagai jurucakap mesin kopi Media Koffee yang bukan saja menyediakan kopi tetapi juga menyediakan maklumat berguna kepada pembeli.

"Saya memang penggemar kopi dan apabila idea ini dibincangkan bersama membuatkan saya begitu teruja untuk menjadi jurucakap mesin kopi ini.

"Walaupun mesin ini berharga lebih kurang RM30,000 seunit, ia mempunyai kelainan berbanding mesin kopi lain," katanya.

274 dibaca
Berita Harian X