Selasa, 26 Mei 2015 | 12:38pm
Triton VGT Adventure Automatic

Mitsubishi perkenal Triton serba baharu generasi kelima

KUALA LUMPUR: Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia hari ini memperkenalkan trak pikap Mitsubishi Triton serba baharu generasi kelima.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Won-Chul Yang, berkata pihaknya menyasar jualan 900 unit sebulan Triton serba baharu itu sekali gus menguasai 20 peratus penguasaan pasaran segmen trak pikap di Malaysia.

Beliau berkata, sejak generasi pertama dikeluarkan pada 1978, lebih empat juta unit Triton sudah dijual di seluruh dunia.

"Triton adalah model paling laris bagi MMM yang mana sejak dilancarkan pada 2006, lebih 56,000 unit sudah terjual di seluruh negara," katanya pada majlis pelancaran model itu di sini hari ini.

Triton serba baharu itu dibangunkan sebagai 'Trak Utiliti Sukan Terhebat', menggabungkan keselesaan ruang dalaman kereta penumpang dengan fungsi dan keupayaan sebuah pikap.

Ia juga menampilkan ciri pertama dalam kelasnya yang antaranya seperti butang penghidup, operasi tanpa kunci dan lampu hadapan Xenon HID yang disepadukan dengan lampu pasang siang.

Triton serba baharu itu diimport sepenuhnya (CBU) dari hab pengeluaran global Mitsubishi Motors di Thailand.

Ia ditawarkan dalam lima varian iaitu Triton VGT Adventure Automatic, Triton VGT Automatic, Triton VGT Manual, Triton Manual dan Triton Quest Manual 4x2 dengan harga atas jalan tanpa insurans termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) masing-masing RM108,273.68, RM98,549.28, RM92,114.64, RM83,162.68 dan RM67,603.64 seunit.

123 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »