Ahad, 24 Mei 2015 | 12:03am
MUZIUM Sejarah Semulajadi, Kuching. - Foto Mas Adib Saie
DERETAN kedai lama yang terdapat di Lebuh India, Kuching. - Foto Jeakqleyn Yacho

Ronda-ronda sekitar Tebingan Kuching


BANGUNAN Dewan Undangan Negeri Sarawak. - Foto Nadim Bokhari

BERKUNJUNG ke Kuching tidak lengkap sekiranya tidak singgah serta menikmati panorama indah Sungai Sarawak sambil berjalan kaki di Tebingan Kuching yang lebih dikenali dengan nama Kuching Waterfront.

Tebing yang mengunjur sejauh satu kilometer ini dirasmikan pada September 1993, tidak pernah sunyi daripada kedatangan pelancong.

Sesuai dengan kedudukannya di tengah pusat bandar raya ini, Tebingan Kuching, mudah dikunjungi, kerana kebanyakan hotel terletak tidak jauh dari situ.

Keindahan seni taman dan keunikan reka bentuk Tebingan Kuching yang di kelilingi beberapa bangunan bersejarah dapat dilihat dari tingkap hotel bertaraf antarabangsa yang menghadap Sungai Sarawak.


PEMANDANGAN tebing sungai di Kuching. - Foto Nadim Bokhari

Bagi mereka yang lebih gemar tinggal di hotel bajet, terdapat banyak penginapan seumpama itu di kawasan berhampiran, namun tempahan perlu dibuat lebih awal ekoran kerap sesak dengan pengunjung pada hujung minggu atau musim percutian.

Mereka yang mahu menginap di inap desa boleh mendapatkannya di seberang Tebingan Kuching kerana di situ terdapat 12 kampung Melayu, bermula Kampung Boyan, Gersik, Sourabaya Ulu, Sourabaya Hilir, Semarang, Pulo Ulu, Pulo Hilir, Bintawa Ulu, Bintawa Hilir, Bintawa Tengah, Panglima Seman Ulu dan Panglima Seman Hilir.

Di seberang Tebingan Kuching, dapat dilihat dengan jelas Astana Negeri dan Kubu atau Fort Magherita, bangunan yang dibina oleh Charles Brooke pada tahun 1870.

Nama Margherita adalah bersempena nama isteri Charles Brooke, Ranee Margaret. Kubu itu kini dijadikan Muzium Polis. Sangat menarik untuk dikunjungi bagi melihat sejarah kepolisan di Sarawak, senjata, meriam tua, pedang serta bilik khas untuk banduan dan bilik hukuman.


KUBU Magherita. - Foto Nadim Bokhari

Oleh kerana kubu itu adalah bangunan warisan sejarah maka struktur asal dikekalkan dan pengubahsuaian hanya dilakukan di bahagian dalam.

Kerajaan negeri kini sedang giat mengumpul dokumen bersejarah serta barangan peribadi milik keluarga Brooke. Difahamkan, cicit Rajah Putih itu, Jason Brooke bersetuju memberi atau meminjamkan dokumen serta barangan peribadi keluarga Brooke yang dimilikinya bagi tujuan berkenaan.

Pada masa sama kerajaan Sarawak juga sedang menjalinkan kerjasama dengan British Museum dan The National Archives di United Kingdom (UK) untuk mengumpul khasnya dokumen bersejarah pada era pemerintahan Brooke.

Dokumen atau fakta sejarah era Brooke banyak disimpan di British Museum dan Arkib British (The National Archives di UK) dan salah satu daripadanya ialah fakta mengenai perbicaraan Rosli Dhoby


PENGUNJUNG membeli-belah di Lebuh India, Kuching. - Foto Jeakqleyn Yacho

Pelancong lebih suka berjalan

Bangunan baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bersebelahan dengan Kubu Margherita, menjadikan pemandangan di kawasan terbabit semakin menarik.

Pemandangan di Tebingan Kuching menjadi lebih indah apabila sebuah jambatan khas untuk pejalan kaki yang akan menghubungkan tebingan itu dengan kampung di seberang Sungai Sarawak, siap tidak lama lagi.

Pengunjung Tebingan Kuching yang ingin pergi ke tempat menarik seperti Muzium Sarawak, Muzium Islam atau membeli-belah di Lebuh India dan Jalan Gambier tidak perlu mencari pengangkutan awam kerana mereka boleh berjalan kaki.

Jarak kawasan terbabit dengan Tebingan Kuching hanya sekitar satu kilometer dan ramai pelancong terutama dari luar negara lebih suka berjalan untuk berkunjung ke Muzium Sarawak dan Muzium Islam di Jalan P Ramlee.


BANGUNAN ini dikenali The Square Tower (Detention Camp) dibina pada tahun 1879. - Foto Nadim Bokhari

Selain Kubu Magherita, bangunan bersejarah di dalam kawasan Tebingan Kuching ialah Square Tower, yang dulunya digunakan untuk meninjau pergerakan musuh. Square Tower dibina pada 1879, juga dikenali sebagai Rumah Pasung di kalangan penduduk tempatan, kerana dikatakan pernah dijadikan sebagai pusat tahanan pada zaman pemerintahan Brooke.

Square Tower dibina pada tahun 1879 sebagai kem tahanan untuk banduan dan kemudiannya digunakan sebagai tugu pertahanan.

Di tengah Tebingan Kuching, ada galeri khusus menyimpan khazanah kaum Cina iaitu Muzium Sejarah Cina.

Untuk memudahkan perjalanan ke destinasi lain sekitar Kuching, stesen pengangkutan awam seperti teksi dan bas disediakan berhampiran taman pejalan kaki di situ.


SEORANG pengunjung melihat pelbagai jenis tudung dijual di Lebuh India, Kuching. - Foto Jeakqleyn Yacho

Bagi pelancong yang ingin mendapatkan ole-ole, tidak perlu pergi jauh, kerana gerai cenderahati yang menjual pelbagai hasil kraftangan penduduk tempatan terdapat di tebingan itu.

Pengunjung juga boleh membeli hasil kraftangan dari beberapa kedai cenderamata di seberang jalan tebingan itu.

Sebagai tempat tumpuan utama di Kuching, Tebingan Kuching juga sering menjadi pilihan untuk mengadakan pelbagai acara seperti pameran, mahupun pentas hiburan, selain menjadi lokasi tetap Pesta Sukan Air atau Regatta Sungai Sarawak.

Ringkasnya kepada pengunjung, Tebingan Kuching menjanjikan 1,001 kenangan.

384 dibaca
Berita Harian X