Sabtu, 23 Mei 2015 | 2:33pm

Sedia putus hubungan dengan DAP


HADI ketika ditemuramah oleh wartawan selepas menyampaikan kuliah Jumaat, di Kampung Rusila, di sini semalam. - Foto Baharom Bakar

MARANG: Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam mengumumkan kesediaan memutuskan hubungan dengan DAP, selepas lebih dua bulan mendiamkan diri dengan kelantangan kepimpinan parti sekutu itu mahu memutuskan hubungan dengannya.

Presiden PAS itu juga menegaskan kelakuan dan keceluparan kepemimpinan DAP, terutama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diibaratkan tidak berpijak di bumi nyata.

Bumi masyarakat majmuk

"Jika dia nak putus... putuslah, tetapi kepemimpinan DAP perlu ingat bumi Malaysia ini adalah bumi masyarakat majmuk," katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menyampaikan kuliah Jumaat, di Kampung Rusila, di sini semalam.

Ditanya sama ada PAS bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) bersendirian, Abdul Hadi berkata, bukan semua rakyat, terutama yang bukan Islam menyokong DAP.

"PAS tidak perlu bergantung kepada DAP... kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang keahliannya terdiri daripada bukan Islam.

"PAS juga mendapat sokongan tanpa berbelah bahagi masyarakat bukan Islam daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO). DAP perlu sedar bahawa masyarakat bukan Islam juga tidak menyokong perjuangan mereka," katanya.

Mengulas mengenai barisan kabinet bayangan DAP, Abdul Hadi berkata, kepemimpinan tertinggi parti itu mungkin tidak sedar bahawa bumi Malaysia ini mempunyai masyarakat berbilang bangsa dan agama.

"DAP juga mungkin tidak sedar atau sengaja buat-buat lupa bahawa majoriti rakyat beragama Islam.

Kabinet syok sendiri

"Kabinet bayangan DAP adalah kabinet syok sendiri, kepemimpinan parti itu mungkin terlupa bahawa masyarakat Islam yang menguasai negara ini. Jadi calon Perdana Menteri dan timbalan mestilah pemimpin beragama Islam," katanya.

Hadi juga berkata, walaupun namanya dan pemimpin PAS disisihkan daripada menganggotai kabinet bayangan DAP, tetapi bertegas sebagai bumi yang didiami masyarakat majmuk, pemimpin negara mestilah terdiri daripada wakil masyarakat majmuk seperti amalan kerajaan Barisan Nasional (BN).

70 dibaca
Berita Harian X