Rabu, 20 Mei 2015 | 12:03am

Menyingkap derita isteri HIV


KUALA LUMPUR: Shelly (bukan nama sebenar), sudah lebih sedekad disahkan positif HIV, namun mampu menjalani kehidupan normal, malah dikurniakan cahaya mata yang bebas daripada penyakit berbahaya itu.

Wanita berusia 30-an itu memberitahu, sejak disahkan dijangkiti penyakit itu pada tahun 2004, beliau mengikuti rawatan antiretroviral (ARV), yang diberikan secara percuma oleh kerajaan.

Walaupun terpaksa bergantung pada rawatan dan ubat-ubatan sepanjang hayatnya, Shelly mengakui kemudahan rawatan itu seolah-olah 'menghidupkannya semula', yang begitu tertekan ketika mendapat perkhabaran menakutkan 11 tahun lalu.

Ketika itu, akuinya, beliau berasa sangat tertekan dan terasa seperti hidupnya sudah musnah. Shelly disahkan dijangkiti HIV melalui suami yang juga penagih dadah.

"Sebelum ini, bagi saya HIV/AIDS bersamaan dengan kematian, suatu yang kotor dan sejenis penyakit menjijikkan. Saya tak sangka yang penyakit ini ada dalam tubuh saya," katanya mengimbau saat disahkan dijangkiti HIV, bersama-sama suami dan anaknya, yang ketika itu baru berusia enam bulan.

Shelly antara kes HIV positif yang dijangkiti melalui hubungan seks dengan pasangannya kerana beliau tidak mengambil dadah atau berkongsi jarum suntikan.


SHELLY (kiri) ketika ditemubual penulis di Sentul, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Wanita itu hanya mengetahui suaminya menggunakan dadah melalui jarum selepas pasangannya mengalami batuk tidak henti-henti selama berbulan-bulan sebelum disahkan mengidap tibi.

"Masa itu (hospital) rujuk ke klinik dada. Suami saya bagi sampel air ludah, darah dan keputusan menunjukkan dia menghidap tibi. Doktor kemudian syorkan semuanya, termasuk saya dan anak diperiksa. Ketika itu baru dapat tahu, ketiga-tiga kami dijangkiti HIV," katanya.

Bekas suaminya yang disahkan menghidap Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit (AIDS), meninggal dunia pada tahun sama.

Anaknya yang kini berusia 12 tahun juga menjalani rawatan ARV, malah Hospital Sungai Buloh ibarat rumah kedua buat mereka. Hampir setiap bulan, Shelly dan anaknya mendapatkan rawatan susulan di hospital berkenaan.

Ketika ditemubual, Shelly sedang sarat mengandung anak ketiga, yang juga anak kedua hasil perkahwinan keduanya. Shelly berkahwin semula pada tahun 2008. Lebih menggembirakan Shelly apabila anak pertama hasil perkahwinan keduanya itu disahkan bebas HIV. Harapannya, anak ketiga yang bakal lahir pada bila-bila masa itu juga bebas daripada penyakit berbahaya itu.

Jelas Shelly, beliau mengamalkan hubungan seks selamat melalui penggunaan kondom bagi mengelakkan risiko kepada suaminya selain makan ubat secara berdisiplin dan mengikut waktu.

"Pasangan juga kena faham risiko, kena sama-sama mengerti bukan hanya (mengutamakan) kenikmatan sampai lupa jaga keselamatan," katanya.

Suami Shelly yang hanya mahu dikenali sebagai Salim menjelaskan, apa yang penting, pasangan kepada individu yang dijangkiti HIV perlu mempunyai ilmu dan pemahaman mengenai penyakit itu.

Katanya, bagi pengidap HIV yang makan ubat, sel darah putih (CD4) mereka boleh meningkat daripada 200 kepada hampir 700 CD4.

"Kena faham juga viral load iaitu kandungan virus dalam badan. Orang sihat, viral load 40 ke bawah. Kalau tak sihat, ribu-ribu atau juta-juta kiraannya. Dengan makan ubat secara berterusan, viral load penghidap HIV ini bawah 20 macam orang biasa.

"Pada tahap begitu, hubungan suami isteri boleh berlangsung secara normal, tidak akan menjangkiti suami sebab kesihatan umpama orang tiada HIV," katanya.

Salim yang juga bekas pengguna dadah tegar tetapi negatif HIV bekerja dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan HIV/AIDS.

"Saya ambil isteri saya bukan sebab penyakit, bukan sebab kasihan. Saya `ambil' dia sebab saya jatuh cinta kepadanya," katanya yang jatuh hati kepada Shelly ketika wanita itu mengikuti program yang dianjurkan pihaknya.


SHELLY mengakui kehidupannya umpama musnah ketika diberitahu yang dijangkiti HIV. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

INFO

* Hubungan kelamin dengan pasangan dijangkiti HIV boleh berjalan dengan normal jika individu dijangkiti memakan ubat dan mengamalkan gaya hidup sihat.

* Melalui pengambilan ubat antiretroviral (ARV), individu dijangkiti boleh meningkatkan sel darah putihnya CD4 dan mengurangkan viral load (kandungan virus dalam darah) ke tahap manusia normal.

* Penghidap AIDS mempunyai CD4 kurang 200, bermakna sel darah putih bagi melawan penyakitnya kurang 200 kiraan per milimeter darah.

* Data terkini Kementerian Kesihatan menunjukkan 105,189 kes HIV positif dicatatkan di Malaysia sejak tahun 1986 dengan 11,653 kes adalah wanita.

* Majoriti wanita adalah suri rumah yang dijangkiti HIV melalui hubungan seks dengan suami dan selebihnya pekerja seks.

* Ibu mengandung HIV positif tidak boleh menjalani proses kelahiran normal dan tidak boleh menyusukan anak bagi mengelak risiko jangkitan HIV.

* Penularan jangkitan HIV di negara ini semakin membimbangkan apabila data terkini menunjukkan 78.2 peratus daripada jangkitan baharu HIV berpunca daripada hubungan seksual.

721 dibaca
Berita Harian X