Selasa, 12 Mei 2015 | 12:07am
ZAIN dilantik menjadi model bagi pewangi keluaran sebuah syarikat. - Foto Shahrul M Zain
ROZITA Che Wan. - Foto NSTP

Kaitan Zain Saidin dengan kempen ceriakan isteri


KUALA LUMPUR: Selepas berkahwin dengan Rozita Che Wan dan mendapat cahaya mata, Zain Saidin kini menitik berat perihal kesihatan lelaki.

Bagi pelakon yang cukup terkenal dengan sitkom Oh My English! itu, kemampuan suami memenuhi keperluan isteri adalah resepi kebahagiaan rumah tangga.

"Kita bertanggungjawab memenuhi keperluan termasuk dalam hubungan kelamin. Sebagai suami juga saya berusaha menjadi suami yang terbaik.

"Toleransi itu penting dan mujur saya mendapat isteri yang sangat memahami. Saya manjakan dia dengan kasih sayang dan cinta yang diharap berpanjangan ke jannah. Insya-Allah," katanya.


ZAIN bersama anak dan isterinya. - Foto Instagram

Zain yang kini menjadi duta produk kesihatan lelaki berkata, ada pasangan suami isteri yang mempunyai masalah dalam mencapai nikmat perkahwinan tetapi tidak mengambil langkah untuk mengatasinya.

"Ada juga yang berdepan masalah tetapi memandang masalah itu sebagai perkara kecil.

"Malah lebih teruk ia juga memberi kecenderungan untuk berlakunya kecurangan hingga boleh mengundang perceraian," katanya ketika dihubungi.


PELAKON, Zain Saidin. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Hal berkenaan ditanya papa kesayangan kepada bayi comel popular, Aaisyah Dhia Rana itu selepas menerima tawaran untuk bergelar duta produk berkenaan.

Zain sempat ditanya mengenai keinginannya untuk melihat isteri tercinta mengandung lagi sedangkan Rozita sebaliknya kerana memikirkan dia sudah terlalu berusia untuk mendapatkan anak lagi.

Cuma dalam hal anak, Rozita tak menolak kalau diizinkan mengandung lagi cuma sejujurnya mengelak ke arah itu.

"Insya-Allah, hajat di hati memang saya nak seorang lagi anak. Tengoklah betapa teruja dan gembira Che Ta (merujuk kepada Rozita) yang cakap tak nak anak lagi tapi kalau di laman Instagram tak habis-habis muat naik gambar anak kami.

"Sampaikan gambar saya pun dia jarang muat naik. Che Ta cakap tak nak mengandung lagi tapi lihatlah keghairahan dia memiliki Aaisyah.

"Tapi saya sedar, Che Ta bukan makin muda lagi. Saya faham soal itu. Tapi kalau ditanya, memang saya nak anak seorang lagi. Kalau ada rezeki, saya nak anak tahun depan pula," katanya.


ZAIN dan Rozita. - Foto NSTP

Ditanya mengenai perubahan dirinya sekembali dari mengerjakan umrah bersama isteri tersayang beberapa bulan lalu, Zain memberitahu dia cuba menjadi manusia dan suami terbaik buat keluarganya.

Pemergiannya ke tanah suci itu menjadi hadiah ulang tahun ke 31 beliau yang dihadiahkan isteri tersayang.

"Saya cuba menjaga dan melengkapkan waktu solat sebaik mungkin. Kalau ada kelapangan memang saya akan cuba mengimarahkan masjid untuk bersolat. Cuma dengan kekangan waktu dan rutin kerja sebagai anak seni, kadang-kadang memang tak dapat nak ke masjid sepanjang masa," katanya.

Di akhir perbualan, Zain turut ditanya mengenai fasa perkahwinannya dengan Rozita yang baharu mencecah setahun lebih. Zain Saidin bernikah dengan Rozita pada 11 Disember 2013 di Shah Alam.

"Alhamdulillah semuanya berjalan seadanya. Saya mensyukuri setiap nikmat hidup ini. Rezeki juga kian murah," katanya.

Info

NAMA PENUH: Mohamad Zain Mohd Saidin

TARIKH LAHIR: 23 Februari 1984

TEMPAT LAHIR: Hospital Pantai, Bangsar

KELUARGA: Bongsu daripada tiga beradik

DRAMA: Suraya, Kiah Pekasam, Awan Dania 3, Duyung Aridinata, Oh My English!

KOMERSIAL: Hitachi, Vicks, KFC, Kodomo Lion, Kellog's Choco

136 dibaca
Berita Harian X