Jumaat, 1 Mei 2015 | 12:09am
SEJUJURNYA Rozita Che Wan menyatakan dirinya sudah terlalu berusia untuk melahirkan anak lagi.

Che Ta serik mengandung lagi?


KUALA LUMPUR: Selepas melahirkan puteri sulungnya, Aaisyah Dhia Rana yang comel, ramai peminat Rozita Che Wan mahu dia mengandung lagi.

Pengacara rancangan Primadona yang mesra dipanggil Che Ta dan kini berusia 42 tahun juga mengakui memang ada yang tertunggu-tunggu anak seterusnya daripada dia dan suami, Zain Saidin.

"Mereka suruh saya beranak lagi. Yang suruh saya beranak itu senanglah cakap, sebab yang meneran saya. Bukan saja orang luar, suami sendiri pun suruh saya mengandung lagi. Tapi sejujurnya saya sudah terlalu berusia untuk dapat anak kecil lagi.


RAMAI pihak teruja apabila ingin melihat pengacara Primadona, Rozita Che Wan mengandung lagi.

"Dalam hal ini buat saat ini cukuplah seorang. Tapi kalau Tuhan mengizinkan saya dapat anak lagi, semua itu pasti diterima dengan hati terbuka," kata Rozita dalam pertemuan dengan BH Plus ketika pelancaran program masakan Aku Yang Masak Kau Yang Panas terbitan syarikat miliknya, Padusi Pictures baru-baru ini.

Selepas kelahiran Aaisyah pada 1 November tahun lalu, anak itu menjadi popular dan mendapat perhatian ramai, sehingga ada syarikat menaja pelbagai keperluannya.

Dek populariti dan dan wajah comelnya, ramai juga wanita mendambakan anak secomel Aaisyah dan teringin untuk mengandung.

Selepas bertudung sekembalinya mengerjakan umrah bersama Zain beberapa bulan lalu, Rozita mengakui dia menerima maklum balas positif di kalangan peminat termasuk doa yang baik-baik daripada mereka.


ROZITA Che Wan dilihat bagaikan sudah meninggalkan terus dunia seni.

Malah, Zain turut menunjukkan perubahan ketara dengan lebih mendekatkan diri kepada Tuhan yang diakui sendiri oleh Rozita.

"Saya memanjat kesyukuran kerana hadiah ulang tahun ke-31 suami untuk mengerjakan umrah Februari lalu itu membuka lembaran baru dalam hidup kami. Saya gembira dengan perubahan dia (Zain). Kalau tak ada komitmen kerja memang dia banyak habiskan masa di masjid," kata kakak kepada Ayu Raudhah ini.

Sudah lama tidak berlakon hampir dua tahun, Rozita dilihat bagaikan sudah meninggalkan terus dunia seni.

Ditambah dengan kesibukannya bergelar ahli perniagaan menerusi perniagaan jubah dan tudung serta melunaskan tanggung jawab sebagai ibu dan isteri, Rozita sebenarnya tak cukup tangan untuk kembali ke gelanggang lakonan.


TIDAK pernah timbul isu Rozita Che Wan akan meninggalkan dunia lakonan tetapi memilih untuk memperlahankan rentak seni.

Bagaimanapun itu tidak bererti, wanita kelahiran Alor Setar, Kedah itu mahu melupakan dunia lakonan begitu sahaja. Tak pernah timbul isu dia akan meninggalkan dunia lakonan tetapi memilih untuk memperlahankan rentak seni demi tuntutan cabang kerja lain. Rozita turut memberitahu setakat ini, dia selesa menerima tawaran lakonan daripada syarikat Zeel Production milik Fadzil Teh sahaja.

Ini kerana produksi berkenaan sudah dianggap seperti keluarganya sendiri selain selesa bekerja di bawah produksi miliknya sendiri iaitu Padusi Pictures Sdn Bhd.

"Saya belum nak tinggalkan dunia lakonan. Oleh kerana banyak benda nak diuruskan, jadi bidang lakonan tak dapat diberi perhatian seperti awalan kerjaya seni saya. Pada masa yang sama, karakter dan watak yang ditawarkan juga membuatkan saya fikir dua kali untuk menerimanya. Selain itu saya juga tak gemar berlakon di lokasi yang jauh dari rumah.


ALASAN watak yang klise dan lokasi antara yang membuatkan Rozita Che Wan terpaksa menolak secara baik tawaran yang datang.

"Alasan watak yang klise dan lokasi antara yang membuatkan saya terpaksa tolak secara baik tawaran yang datang. Terbaharu saya terima tawaran daripada Zeel Production kerana penggambarannya di ibu kota dan karakternya menarik. Syarikat saya pun menerbitkan produk untuk disiarkan di kaca TV," katanya yang baharu saja muncul dengan koleksi minyak wangi harga mampu milik, Precious by RCW.

Ditanya wujud andaian dan sebab dia memilih untuk menolak dunia lakonan sesuka hati kerana sudah mempunyai harta yang banyak, Rozita memberikan buah pandangannya sendiri.

"Salah kalau ada yang mengandaikan begitu. Hakikatnya saya cari duit dahulu pun dengan kerja lakonan. Apabila ada duit simpanan sedikit saya cabangkan duit itu ke arah lain termasuk menceburi dunia perniagaan.

"Apabila ada perniagaan, saya boleh memantau dari jauh atau di rumah sahaja. Masa itu boleh dilebihkan kepada keluarga termasuk dengan anak.

"Nak tinggalkan Aaisyah berat rasanya. Cepat sahaja rasa rindu. Saya tak perlu lagi fikirkan soal nak berada di set penggambaran dari pagi sampai tengah malam dan terpaksan meninggalkan anak.

"Selagi tak dapat karakter yang bagus, saya tak sedih dan ralat untuk melepaskan peluang yang datang," katanya yang turut memberitahu sedang merancang untuk mengeluarkan koleksi baju kurung kanak-kanak di bawah Zeta & Rawdah dan koleksi baju kasual untuk si cilik bersama suami tercinta dengan mengetengahkan Aaisyah sebagai penarik.


ROZITA Che Wan menyatakan dirinya belum mahu meninggalkan dunia lakonan.

Mengenai program masakan Aku Yang Masak Kau Yang Panas, ia menjadi penerbitan ketiga syarikatnya selepas program Resepi Memikat Suami dan telefilem Wak Sayang Lu. Aku Yang Masak Kau Yang Panas membabitkan sebanyak 12 selebriti antaranya Micheal Ang, Dafi, Hefny Sahad, Marsha Milan, Sharifah Sakinah, Amelina dan Ieda Moin.

Ia dihoskan Jihan Muse bersama Chef Adu serta seorang artis jemputan pada setiap minggu. Ia bersiaran setiap Khamis jam 9 malam bermula 30 April ini di Astro Ria dan Astro Maya HD.

Kesemua selebriti itu akan bertanding sepanjang 13 episod untuk memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dan trofi.

Info Rozita Che Wan

  • Pernah menjadi pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) sebelum menyertai dunia peragaan dan lakonan
  • Sebelum Zain, dia terlebih dahulu berkahwin dengan seorang juruterbang dan dikurniakan dua anak, Ammar Effendy dan Aniq Ezzra
  • Cukup sinonim dengan karakter Kiah Pekasam sebuah drama terbitan Zeel Production
  • Pernah berlakon di sisi Rosyam Nor untuk drama Sesuci Cinta Sofiya disiarkan di TV3
  • Pernah menjadi model klip video lagu dendangan Datuk M Nasir berjudul Juwita Citra Terindah
  • Bernikah dengan Zain Saidin pada 11 Disember 2013 di Shah Alam.
575 dibaca
Berita Harian X