;
Rabu, 22 April 2015 | 1:20pm

Jacyln Victor berbadan dua, bakal timang cahaya mata Ogos depan

KUALA LUMPUR: Masih tebal sikap segan Jaclyn Victor untuk memberitahu yang dirinya sedang hamil anak kepada anggota kumpulan R & B terkenal, AZ Yet, Shawn Rivera.

Namun, keghairahan untuk menimang cahaya mata membuatkan dia bertukar fikiran. Keseronokan untuk bergelar ibu itu tidak dapat disorokkan, lalu dia penyanyi lagu Gemilang itu memuat naik gambar pin keselamatan (safety pins), dengan kenyataan yang dirinya berbadan dua, sekitar tiga jam lalu di laman Facebook.

Jaclyn yang berkahwin dengan Rivera di sebuah gereja di Philadelphia, Amerika Syarikat tanggal 19 Julai tahun lalu, dijangka melahirkan anak sulungnya itu sekitar Ogos depan. Jaclyn memberitahu dia sedar dirinya hamil ketika usia kehamilannya sudah mencecah empat minggu.

"Macam orang mengandung yang lain, saya juga teruja dan gembira dengan fasa ini. Cuma saya buat biasa sahaja. Malahan hingga saat ini saya tidak berdepan dengan komplikasi atau alahan teruk mengandung. Semuanya okay dan terkawal,"katanya.

Sepanjang berbadan dua, Jaclyn juga bijak menyembunyikan perutnya di hadapan khalayak dengan memakai baju longgar.

"Saya memang tak pakai baju ketat. Jadi memang tak ada yang perasan," katanya.

Kata Jaclyn, beliau masih meneruskan amalan menjaga pemakanan dan bersenam.

"Biar berbadan dua, itu bukan alasan untuk saya 'bedal' makan apa sahaja yang suka," katanya yang baharu sahaja muncul dengan album Inggeris berjudul Unleashed di bawah naungan KRU Music.

1170 dibaca
Berita Harian X