Ahad, 12 April 2015 | 12:05am
SEJUMLAH tikus yang ditangkap oleh penduduk dan pengusaha di tapak perniagaan Puchong Jaya pada kempen kawalan tikus dan kebersihan premis. - Foto Saddam Yusoff

1Tikus 1Ringgit


KUALA LUMPUR: Jaga kebersihan jika mahu memperoleh keuntungan jangka panjang! Itu peringatan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib kepada pengusaha restoran di ibu kota.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras, termasuk mengarahkan premis makanan ditutup jika peniaga ingkar mematuhi aspek kebersihan sehingga restoran menjadi sarang pembiakan tikus.

"Kami pernah mengarahkan penutupan pusat penjaja Raja Muda Abdul Aziz (TPCA) Kampung Baru kerana gagal mematuhi aspek kebersihan.


PERSEKITARAN yang kotor dan sampah sarap terbiar menyebabkan tikus berkeliaran di sekitar lorong belakang di Bandar Baru Klang. - Foto Faiz Anuar

"DBKL amat serius untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai syurga makanan pilihan pelancong asing dan berharap peniaga turut memberikan kerjasama untuk menjaga kebersihan," katanya kepada BH.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Hayati Abdullah, berkata sebanyak 54,370 ekor tikus ditangkap tahun lalu, termasuk menerusi kempen 1Tikus 1Ringgit yang dijalankan di pasar harian.


Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Hayati Abdullah. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Katanya, pembuangan sisa makanan, produk rosak dan layu yang dibuang peniaga di pasar harian secara tidak sempurna menjadi punca meningkatnya populasi tikus dalam skala membimbangkan.

Ini ditambah dengan sikap peniaga yang tidak menggunakan tong tertutup ketika membuang sisa buangan menyebabkan haiwan perosak itu mudah mendapatkan pelbagai sumber makanan sebelum membiak dan merebak ke restoran berdekatan.


PEMBUANGAN sisa makanan menjadi punca tikus membiak di sekitar lorong belakang Bandar Baru Klang. - Foto Faiz Anuar

"Kempen selama dua bulan 1Tikus 1Ringgit di Pasar Raja Bot tahun lalu merekodkan tangkapan 3,880 ekor tikus, manakala 4,968 ekor tikus ditangkap di Pasar Pudu dalam kempen sama.

"Di Pasar Selayang pula, sebanyak 1,170 ekor tikus ditangkap dalam kempen selama sebulan." katanya yang ditemui BH di pejabatnya.

Dr Hayati berkata, tahun lalu, DBKL mengarahkan penutupan 481 premis makanan dan gerai berikutan pelbagai kesalahan, antaranya keadaan premis terlalu kotor serta menjadi tempat tikus berkeliaran, selain tandas kotor.

Notis penutupan premis selama 14 hari dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 untuk memberi masa kepada pemilik premis membersihkan kedai sebelum dibenarkan beroperasi semula.

DBKL menyasarkan untuk menangkap 50,000 ekor tikus tahun ini yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu.


PROGRAM pembasmian tikus anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sekitar Bandar Puchong Utama. - Foto Halim Salleh

Masyarakat perlu ubah sikap

Sikap masyarakat yang pejam mata terhadap isu kebersihan premis makanan perlu diubah bagi mengurangkan masalah kesihatan yang berpunca daripada pemakanan kotor.

Murah, sedap dan lokasi strategik antara faktor utama mendorong orang ramai memilih tempat makanan mereka tanpa mempedulikan persekitaran yang menjijikkan dan makanan yang kotor.

Perunding Pemakanan Sihat 2u.my, Nor Indahna Main, berkata selagi masyarakat enggan mengubah sikap dan tidak peka dengan persekitaran premis makanan yang kotor, selagi itulah peniaga juga tidak akan mempedulikan isu kebersihan.

"Pengguna perlu menggunakan kuasa mereka untuk memboikot premis kotor, menjadi laluan tikus, lorong belakang yang dijadikan pusat longgokan sampah atau bersebelahan pusat ternakan binatang yang berisiko menyebarkan wabak berbahaya," katanya.

Beliau mengulas laporan BH sejak kelmarin mengenai ancaman tikus sekitar medan selera di ibu kota.


SEBAHAGIAN tikus yang dikumpul ketika program pembasmian tikus anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sekitar Bandar Puchong Utama. - Foto Halim Salleh

Nor Indahna berkata, kempen kebersihan bukan setakat memasang iklan di tepi jalan, tetapi perlu dijadikan budaya hidup.

"Masyarakat perlu dididik sejak kecil bahawa kebersihan itu adalah sihat dan kekotoran itu adalah penyakit dan Islam sendiri menitikberatkan kebersihan sebagai amalan harian.

"Agama menyarankan kita supaya mengambil makanan yang halal, dari sumber yang bersih, cara penyembelihan yang betul, cara mencuci daging yang betul, mencuci tangan sebelum makan sehinggalah dididik berhenti makan sebelum kenyang.


PETUGAS menunjukkan tikus yang ditangkap ketika program pembasmian tikus anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sekitar Bandar Puchong Utama. - Foto Halim Salleh

"Ini membuktikan kebersihan diletakkan sebagai asas utama dalam menyediakan makanan kerana tanpa tatacara yang betul, makanan boleh menjadi punca penyakit berbahaya seperti jantung, kencing manis, darah tinggi, kanser dan kencing tikus," katanya.

Nor Indahna berkata, pengusaha makanan juga perlu mengubah sikap dan bertanggungjawab dengan memastikan premis dan makanan disediakan mereka bersih.


PETUGAS Jabatan Kesihatan DBKL memasang jerat ketika operasi menangkap tikus di Pasar Raja Bot, Kuala Lumpur. - Foto Abdullah Yusof

"Sebagai contoh di Jepun, mereka mengutamakan pemakanan sihat dan bersih dalam perusahaan makanan di samping menyampaikan maklumat berhubung nutrisi makanan yang dijual kepada pelanggan mereka.

"Pihak berkuasa juga perlu bertindak tegas terhadap premis atau pengusaha makanan yang premisnya kotor dan berbau busuk," katanya.

179 dibaca
Berita Harian X