Sabtu, 28 March 2015 | 12:05am

Penyakit pelik, rawatan juga pelik

MENGIKUT rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat ini ada lebih 6,000 penyakit pelik atau jarang ditemui yang biasanya membabitkan antara 0.62 hingga satu kes bagi setiap 1,000 orang.

Daripada angka itu, China menjadi negara yang paling banyak mempunyai penyakit pelik dengan hampir 10 juta penduduknya menghidap penyakit pelik dan berdepan kesukaran menerima diagnosis dan rawatan sesuai.

Kebanyakan penyakit pelik yang dikesan di China berkait rapat dengan genetik.

Kehadiran penyakit pelik juga menyaksikan bermacam-macam rawatan pelik. Hampir setiap negara di dunia mempunyai cara rawatan atau perubatan yang pelik, sama ada ia dikategorikan sebagai rawatan alternatif atau berdasarkan kepercayaan masyarakat.

Apa yang menjadikan ia bertambah pelik apabila membabitkan bahan yang dianggap ramai sebagai najis dan disangkal dunia perubatan moden atas faktor kebersihan, keberkesanannya dan juga memudaratkan pesakit.


Lintah untuk sedut penyakit.

Lintah sedut penyakit

Jika di negara kita, rawatan yang boleh dianggap pelik adalah rawatan bekam lintah. Jika diamati ia agak menggelikan, selain persoalan sejauh mana keberkesanannya, namun rawatan bekam lintah dikatakan mampu mengubati penyakit kencing manis, darah tinggi, resdung, migrain dan terbaharu ada yang mendakwa ia berkesan merawat kanser.

Lintah akan dibiarkan di kawasan muka atau kawasan lain tubuh dalam tempoh tertentu untuk menyedut darah pesakit. Tetapi ada pertikaian dari segi kebersihan. Adakah lintah itu hanya digunakan sekali saja untuk seorang pesakit atau lintah yang sama digunakan untuk 'merawat' ramai pesakit.

Jika ia digunakan secara berulang, bukankah ia mengundang bahaya seperti berlaku pemindahan penyakit. Itu satu contoh rawatan yang boleh dianggap pelik tetapi ia belum cukup pelik berbanding pelbagai jenis rawatan yang diamalkan segelintir pihak di seluruh dunia.


Seorang penghidap kanser kitar semula dan minum air kencing sendiri hingga lima gelas sehari.

* Kitar semula air kencing

Bunyinya seperti satu kaedah penjimatan tetapi jika terpaksa minum semula air kencing, berapa ramai yang sanggup membuat rawatan ini? Bukan setitik tetapi lima gelas sehari, seolah-olah minum air kosong untuk kesihatan.

Inilah yang berlaku kepada seorang penghidap kanser dari Amerika Syarikat, yang meminum air kencingnya sendiri sejak empat tahun lalu dan menyifatkan perbuatannya itu sebagai menenangkan.

Sejak disahkan menghidap kanser peringkat ketiga beberapa tahun lalu, pesakit itu nekad mencuba pelbagai rawatan moden, alternatif dan pelik.

Namun, kaedah rawatan peliknya ini disangkal oleh pakar perubatan. Seorang pakar pemakanan dari Universiti Southampton, Britain, Dr Michael Stroud memberitahu, dakwaan sesetengah orang yang menyatakan air kencing dapat menyembuhkan penyakit adalah mengarut dan tidak boleh dipercayai.

Begitu juga laporan Persatuan Dietetik Britain, yang menyatakan tiada faedah kesihatan yang diperoleh dengan meminum air kencing sendiri, sebaliknya ia boleh mendatangkan mudarat kerana setiap kali meminum kembali air kencing, ia akan keluar lagi dan itu adalah tidak baik untuk kesihatan kerana boleh merosakkan usus.

Belum lagi mengambil kira bahan buangan yang terkandung dalam air kencing berikutan kencing adalah antara satu kaedah perkumuhan tubuh (membuang bahan kotor dalam badan).


Gigitan tuntung untuk merawat resdung dan sakit sendi.

* Digigit tuntung

Tuntung adalah sejenis haiwan yang tergolong dalam keluarga kura-kura dan haiwan ini juga adalah antara spesies yang banyak dijadikan ubat tradisional. Tetapi apa yang peliknya adalah di Wilayah Kandal, Phnom Penh Barat, ada rawatan digigit tuntung.

Rawatan ini dikatakan mampu menyembuhkan penyakit sendi, lenguh-lenguh badan, resdung dan pelbagai penyakit lain. Caranya mudah, hanya membiarkan tuntung menggigit muka atau kawasan tubuh yang lain sehingga berdarah.

Walaupun nampak agak menyakitkan, masih ramai yang datang mencuba kerana ia berkaitan dengan kepercayaan masyarakat, yang yakin dengan kuasa ghaib haiwan seperti penyu, lembu dan ular, dalam menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.


Ada juga yang minum campuran najis haiwan.

* Minum campuran najis haiwan

Penduduk Kampung Jinshicun di Wilayah Hunan China telah menemui cara yang agak pelik sekali untuk mengekalkan kesihatan dengan meminum ramuan campuran tahi lembu dan kambing. Campuran air najis itu dikatakan penawar ajaib untuk merawat kanser dan mencergaskan badan.

Penemuan 'ajaib' itu diperoleh seorang wanita tua tempatan yang menderita penyakit kanser. Beliau meminta anaknya mengumpul najis haiwan sebanyak mungkin setelah bermimpi mendengar suara ghaib menyuruhnya berbuat demikian.

Beliau mengeringkan semua tahi itu di bawah sinaran matahari dan najis kering itu dihancurkan menjadi serbuk sebelum dicampur dengan air. Beliau mendakwa berasa lebih sihat selepas mengamalkan rawatan peliknya itu walaupun hakikatnya dia tidak menjalankan pemeriksaan di hospital untuk sebarang pengesahan atau susulan sejak mula mengambil 'ubat' itu.

Selepas itu, beberapa orang lain mula mengikut cara rawatannya dan semakin hari, semakin ramai penduduk kampung yang menggunakan ramuan tahi haiwan itu.

Sekumpulan pakar perubatan China menyatakan kaedah rawatan itu telah lama dipraktikkan pada zaman purba China sebagai satu cara untuk mengepam keluar toksin dan haba, tetapi mereka yang mencuba kaedah itu menghadapi risiko jangkitan bakteria dan parasit jika tahi tidak dirawat dengan betul.

* Hidu kentut

Bau kentut mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti kanser dan sakit jantung. Jangan terkejut jika rawatan pelik ini bukan dicipta oleh masyarakat biasa tetapi ini hasil kajian sekumpulan doktor dari University of Exeter, United Kingdom.

Aroma luar biasa daripada kentut ini menghasilkan gas hidrogen sulfida iaitu gas daripada makanan yang dipecahkan oleh bakteria. Gas hidrogen sulfida jika dihidu dalam kuantiti yang banyak mampu membunuh, tetapi jika dihasilkan daripada kentut (kuantiti kecil), ia mampu menyihatkan.

Hasil kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal MedChemComm, selain dijadikan tajuk utama pada persidangan June International Conference on Hydrogen Sulfide in Biology and Medicine di Kyoto, Jepun.


Menerusi suatu teknik yoga purba, getah ke dalam hidung sebelum dikeluarkan semula melalui mulut untuk rawat selesema, batuk, dan asma

* Yoga purba

Di Chandigarh, India, ada teknik rawatan pelik yang dikatakan sebahagian daripada teknik yoga purba iaitu memasukkan getah ke dalam hidung sebelum dikeluarkan semula melalui mulut.

Teknik yang dikenali sebagai Getah Neti ini agak popular dan menjadi teknik ikutan, bukan saja kepada warga tua, malah pelajar universiti turut menggunakan kaedah ini, yang dipercayai mampu mengawal penyakit selesema, batuk, dan asma, selain menjadikan saluran hidung menjadi bersih.

* Kencing unta

Ketua Jabatan Implan Tisu di Pusat Penyelidikan Raja Fahd, Dr Fatin Khoursheed, telah menjalankan penyelidikan mengenai keberkesanan air kencing unta.

Penyelidikan bermula pada tahun 2004 itu dilaporkan berjaya memulihkan berpuluh kes penyakit kanser dengan air kencing unta yang diambil secara meminumnya, dalam bentuk kapsul, salap atau syampu.

Pesakit yang sudah menjalani rawatan itu di Arab Saudi dan negara lain menunjukkan penyembuhan 98 peratus. Terbaharu, pihak berkuasa Jepun turut memintanya berkongsi penyelidikan itu dan mahu mencuba kesan air kencing unta secara saintifik dalam merawat individu yang terdedah kepada radiasi nuklear bagi mencegah mereka daripada mendapat penyakit kanser.

* Ditoreh pisau

Beratus-ratus pesakit mendapatkan rawatan kuno di klinik terbuka di luar masjid terbesar di New Delhi, India. Klinik terbuka yang dimiliki oleh Ghyas Hakim, 80-an, mendakwa rawatannya ini mampu menyembuhkan penyakit, termasuk artritis dan peringkat awal kanser darah.

Pesakit yang rela mendapatkan rawatan di sana akan dihiris menggunakan pisau cukur dan bagi memudahkan pendarahan, pesakit mesti berdiri di kawasan panas selama setengah jam, kemudian tempat yang sakit akan dibalut dengan tali.

Darah yang keluar akibat torehan itu akan dibiarkan mengalir sehingga ia berhenti sendiri. Dipercayai juga rawatan pelik dan menyakitkan ini mampu menurunkan tekanan darah dan kolesterol.


Larva daripada jenis lalat tertentu untuk merawat luka.

* Larva lalat

Sangat menggelikan, namun ia diakui berkesan. Rawatan pelik menggunakan larva lalat ini mula dikesan kali pertama dijalankan oleh sekumpulan doktor tentera ketika zaman perang dunia pertama dulu.

Menyedari tidak mempunyai kelengkapan dan tenaga kerja yang mencukupi membuatkan mereka menjalankan eksperimen menggunakan larva lalat.

Larva lalat diletakkan pada luka untuk memakan sel kulit mati dan bakteria. Eksperimen mereka berjaya dan anggota tentera yang terbabit dalam rawatan ini sembuh lebih cepat daripada biasa.

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia juga dilaporkan membuat kajian mengenai keberkesanan terapi larva lalat (Maggot Debridement Therapy - MDT) ini. Hasilnya bagaimanapun tidak diketahui.

Dikatakan, tidak semua jenis lalat sesuai untuk kaedah rawatan ini, hanya yang akan memakan tisu reput saja digunakan. Di Malaysia, spesies lalat yang digunakan ialah Lucilia Cuprina, manakala di Barat pula adalah spesies Lucilia Sericata.

* Telan ikan ubati asma

Sebuah perkampungan di Hyderabad, selatan India bertukar wajah menjadi seperti pesta setiap bulan Jun apabila ramai penduduk India sanggup datang ke sini bagi menemui keluarga Goud yang dikatakan mampu mengubati penyakit asma.

Rawatan yang dijalankan memerlukan pesakit menelan ikan tuna hidup yang sudah disapu dengan ramuan ubat rahsia keluarga Goud. Menariknya rawatan ini ditawarkan secara percuma.

Keluarga Goud mendakwa mereka mendapatkan ramuan rahsia itu daripada orang suci Hindu, kira-kira 170 tahun yang lalu. Selepas pesakit menelan ikan itu, mereka diwajibkan untuk mengawal pemakanan selama 45 hari dan dilarang memakan 25 jenis makanan, termasuk daging kambing, gula putih, mangga kering dan bayam. Mereka juga tidak dibenarkan makan makanan yang digoreng dan perlu menjalani rawatan itu selama dua tahun.

454 dibaca
Berita Harian X