Selasa, 17 March 2015 | 11:04am
KETUA Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Madani Sahari.

Proton teroka pengeluaran di luar Malaysia - MAI

KUALA LUMPUR: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Proton Holdings Bhd dan PT Adiperkasa Citra Lestari (PT ACL) baru-baru ini, adalah usaha positif ke arah mengembangkan pengeluaran automotif Proton di luar Malaysia.

MoU itu menggariskan satu kajian daya saing akan dijalankan untuk menerokai bahagian kerjasama tertentu antara kedua-dua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Madani Sahari, berkata kajian itu juga akan meneliti kemungkinan sumbangan dan untuk memaksimumkan manfaat kedua-dua negara, ke arah pembangunan dan pengeluaran kereta di Indonesia.

Katanya, pastinya MoU itu adalah cadangan sangat menarik bersesuaian semangat Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang akan direalisasikan pada 31 Disember tahun ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya MoU itu dilaksanakan, hasilnya akan menjurus kepada perubahan ketara dalam landskap automotif ASEAN dalam masa terdekat.

"Industri automotif adalah kompleks memerlukan hubungan rapat antara pengeluar barangan asal (OEM) dan mereka dalam rantaian bekalan peralatan dan komponen.

"Pembekal membekal secara langsung kepada OEM diklasifikasikan sebagai vendor peringkat 1 dan pembekal mereka adalah vendor peringkat 2 dan berikutnya.

"Sesetengah pembekal hanya membekal kepada satu OEM manakala yang lain membekal kepada pelbagai pengguna," katanya.

Sejak penubuhan Proton pada 1983, entiti itu adalah penggerak utama ke arah pembangunan vendor tempatan membekal pelbagai peralatan dan komponen kepada syarikat pemasangan kenderaan.

Kewujudan vendor berkenaan kini memanfaatkan keseluruhan aktiviti pemasangan tempatan secara keseluruhannya.

Madani berkata, kerjasama antara Proton dan vendor selama lebih 30 tahun berhadapan semua cabaran menjurus kepada penubuhan komuniti rantaian bekalan automotif tempatan yang kebanyakannya bebas daripada dominasi OEM.

Katanya, pengeluaran berpusatkan Proton dalam kalangan vendor automotif Malaysia akan memudahkan pengeluar kereta nasional itu dan vendornya untuk bekerjasama dengan rakan niaga dari Indonesia bagi membangunkan rantaian bekalan komponen tempatan di negara itu.

"Bercanggah dengan pengeluaran integrasi menegak diguna pakai oleh kebanyakan OEM, konsep pengeluaran sedia ada Proton dan vendornya akan memanfaatkan rakan usaha sama dari kedua-dua negara apabila jangkaan skala ekonomi meningkat daripada usaha sama itu," katanya.

Beliau berkata, usaha sama itu akan mempercepatkan pembangunan kereta Indonesia. Proton dengan jumlah platform kenderaan sedia ada boleh mempercepatkan pengenalan model ke pasaran Indonesia dalam waktu singkat.

Katanya, usaha sama mereka bentuk dan membangunkan kenderaan bagi memenuhi selera pasaran Indonesia, termasuk reka bentuk bagi pengeluaran dengan mendapat sokongan input daripada rantaian pembekal Malaysia, akan mengurangkan waktu pemasangan dan memudahkan kerumitan pengeluaran.

"Ini akan membantu usaha sama itu mengurangkan perbelanjaan antara 20 peratus hingga 30 peratus, sekiranya kenderaan diperkenalkan ke dalam pasaran 50 peratus lebih cepat daripada aturan biasa.

"Beberapa pengurangan perbelanjaan ialah mengurangkan kos waranti, memendekkan waktu kejuruteraan dan memendekkan tempoh ujian kenderaan," katanya.

Madani berkata, kereta Indonesia boleh memasuki pasaran dalam waktu singkat. Sementara itu, kerja sama dalam kalangan vendor kedua-dua negara akan mengukuh manakala jumlah pengeluaran akan meningkat secara berperingkat.

"Institut Automotif Malaysia (MAI) menyambut baik cadangan kerja sama antara Proton dan PT Adiperkasa Citra Lestari, yang sejajar kerangka keseluruhan Dasar Automotif Nasional 2014 berhubung pelaburan, teknologi dan kejuruteraan, capaian pasaran serta pembangunan rantaian bekalan industri automotif kita," katanya.

Pengenalan platform kerjasama MAI Automotive i-Cloud baru-baru ini juga boleh jadi berguna untuk membantu vendor tempatan memanfaatkan maklumat industri dalam inisiatif kerjasama masing-masing pada masa depan dengan rakan niaga dari Indonesia.

Platform MAI Automotive i-Cloud akan bertindak sebagai pemangkin untuk meningkatkan pengetahuan dan skil untuk membantu industri automotif Malaysia mencapai matlamat jangka panjang.

195 dibaca
Berita Harian X