Isnin, 16 March 2015 | 12:19am
GAMBAR fail menunjukkan salah satu bangunan Highland Towers yang runtuh pada 11 Disember 1993. - Foto NSTP

Zaman Khan teringin jumpa 'bayi' Highland Towers


GAMBAR fail menunjukkan Datuk Zaman Khan mendukung bayi, Nurhamidah Najib, yang terselamat dalam Tragedi Highland Towers.- Foto C H Loh

"Saya teringin berjumpa 'bayi' itu. Saya nak tahu apa jadi dengan dia dan saya tak akan berhenti mencari dia."

Itu luahan Tan Sri Mohamad Zaman Khan Rahim Khan kepada penulis ketika bertemunya.

Sudah lebih dua dekad, beliau 'mengenali' bayi itu, tetapi pertemuan mereka hanya sebentar dan ketika kanak-kanak itu belum mampu mengingati banyak perkara dalam hidupnya.

Sudah hampir 21 tahun tragedi kondominium Highland Towers runtuh berlalu, namun tidak ada satu detik pun kenangan itu yang lupus daripada ingatannya. Tambahan pula, beliau antara individu yang menyelamatkan 'bayi' berkenaan, Nur Hamidah Najib, 18 bulan dan ibunya, Umi Rashidah Khoruman, 22, dalam insiden malang yang mengorbankan 48 nyawa.


TAN Sri Mohamad Zaman Khan Rahim Khan

"Saya memang menyimpan impian untuk berjumpa dengan bayi yang kami selamatkan kira-kira 20 tahun lalu. Bayi berkenaan warga Indonesia. Justeru, saya berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada pihak kedutaan untuk berjumpa dengan bayi berkenaan, mungkin dia kini sudah berusia awal 20-an.

"Saya pernah terbaca, emak bayi berkenaan berada di Indonesia. Saya akan teruskan usaha mencari bayi berkenaan. Mungkin pada usianya hari ini, remaja itu sudah berkahwin. Saya hendak tahu bagaimana keadaannya sekarang." katanya.

Mungkin ramai yang sudah tahu, Zaman Khan adalah antara pegawai kanan polis terawal tiba di lokasi kejadian. Mungkin ramai juga yang mengingati 'babak' Zaman Khan berdiri di atas runtuhan dan mendukung seorang bayi, seorang daripada hanya dua mangsa yang berjaya diselamatkan dalam tragedi 11 Disember 1993, yang menyayat hati itu.


KEADAAN dimana pasukan keselamatan bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa runtuhan Tragedi Highland Towers.

Pokok jatuh atas bangunan

Mengimbau saat itu, Zaman Khan yang ketika itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), dipanggil ke lokasi kejadian. Maklumat awal yang diterima, pokok jatuh atas bangunan.

"Saya terfikir, kenapa beritahu saya perkara ini? Bagaimanapun, sebagai anggota polis, kami bertanggungjawab menyelamatkan harta benda dan nyawa.

"Ketika itu, baru saya dimaklumkan, kondominium runtuh dan ramai yang mati. Sampai di tempat kejadian, sudah ada pasukan penyelamat yang mencari mangsa yang masih hidup.


KEADAAN Tragedi Highland Towers.

"Saya pun berjalan di atas bangunan yang runtuh, terdengar suara orang minta tolong, tapi orangnya tak nampak, namun suaranya makin kuat. Apabila timbunan kayu dan batu dialihkan baru kami nampak seorang bayi bersama ibunya. Anggota bomba yang tarik keluar bayi dan ibunya," katanya.

Hari ini, apabila melalui kawasan Highlands Towers yang dipenuhi tumbuhan, beliau pasti berasa sayu.

"Sayu melihat keadaan Highlands Towers. Dua bangunan masih teguh berdiri. Penagih dadah jadikan bangunan itu untuk melepaskan gian. Bangunan itu tidak ada hantu. Ketika penggambaran Highlands Towers, saya terbabit sama.

"Saya tak pernah dengar orang kena usik dengan hantu. Hantu pun lari apabila penagih dadah menyorok di sana! Orang kita saja yang mudah percaya dengan benda mistik," tambahnya.


KERATAN akhbar Berita Minggu berhubung laporan Tragedi Highlands Towers pada 11 Disember 1993. - Foto S Sugumaran

Aktif aktiviti sosial, kemasyarakatan

Kini, sudah kira-kira 17 tahun meninggalkan tugas dalam pasukan beruniform dan usia mencecah 76 tahun, yang sepatutnya dihabiskan dengan berehat di rumah atau bermain dengan cucu, tetapi tidak bagi bekas Ketua Pengarah Penjara Malaysia ini (jawatan terakhir dipegang sebelum bersara pada 1997).

"Itu tak bagus untuk kesihatan. Apabila keluar rumah, pergi ke pejabat setiap hari, kita akan lebih sihat," katanya.


TRAGEDI Highlands Towers pada 11 Disember 1993. - Foto NSTP

Sekarang, kebanyakan harinya dihabiskan di sebuah pejabat yang membekalkan alatan komunikasi di Jalan Ampang, di ibu kota, selain aktif dalam aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Beliau pernah dilantik sebagai Presiden Majlis Aids Malaysia (MAC).

"Apa yang saya lakukan hari ini adalah kesinambungan. Ketika saya masih anggota polis, sungguhpun saya tangkap penagih dadah, saya juga terbabit memberi ceramah dan taklimat kepada muda-mudi atau persatuan di taman perumahan, mengenai bahaya penyalahgunaan dadah. Saya juga aktif bersama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).

"Apabila saya bersara, saya bertemu dengan seorang profesor dalam pertemuan bersamanya di sebuah hotel. Katanya, kenapa saya tidak terbabit dengan aktiviti kesedaran HIV/AIDS dan penyalahgunaan dadah. Tambahnya lagi, saya ada pengalaman," katanya.

Sungguhpun begitu, Zaman Khan mengakui beliau kurang yakin menggalas tugas sosial menangani persepsi negatif terhadap pesakit HIV/AIDS. Banyak lagi yang perlu dipelajarinya mengenai penyakit itu.

Jangan pinggir mereka

"Pelbagai persepsi negatif timbul, kononnya tak boleh bersalaman dengan mereka yang dijangkiti, tak boleh duduk sembang dekat-dekat, tak boleh menggunakan pinggan atau gelas penghidap HIV dan sebagainya. Persepsi itu sukar nak dihakis. Bagi saya, kita tak boleh singkirkan mereka.

"Ceramah dan kempen perlu diadakan untuk memberi kesedaran. Bagi saya, persepsi masyarakat hari ini sedikit demi sedikit sudah berubah. Penghidap atau pembawa HIV/AIDS tidak lagi dibenci atau dipulau walaupun belum 100 peratus terhakis.

"Penyakit ini boleh dicegah, tak berjangkit. Ada orang yang sudah berkahwin dengan pembawa HIV/AIDS ini, namun pasangannya tidak berjangkit, anak yang dilahirkan pun tidak berjangkit.

"Risikonya tetap ada, tapi bayi yang dilahirkan oleh ibu atau bapa yang ada HIV/AIDS sangat kurang dijangkiti. Jangkitan HIV/AIDS yang disebabkan pertukaran jarum suntikan dalam kalangan penagih juga berkurangan," jelas Zaman Khan.

275 dibaca
Berita Harian X