;
Isnin, 9 March 2015 | 10:05pm

Pasukan khas siasat laporan polis terhadap 1MDB

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan siasatan laporan polis terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pasukan khas itu yang ditubuhkan sejak empat hari lalu turut dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sudah memulakan siasatan terhadap semua laporan polis yang diterima.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

"Siasatan sudah dijalankan sejak polis menerima laporan membabitkan 1MDB. Ia prosedur biasa, setiap laporan polis yang diterima akan disiasat.

"Jika ada kesalahan, kita akan teruskan siasatan. Jika tiada, kita akan rujuk kepada Peguam Negara dan cadangkan siasatan ditutup. Namun buat masa ini, siasatan masih berjalan dan belum ada keputusan," katanya hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis memeterai memorandum perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Universiti Derby, United Kingdom bagi kerjasama latihan dan pembelajaran, di Maktab Polis Cheras, di sini.

Kerajaan diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim dan Naib Canselor Universiti Derby, Profesor John Coyne.

Terbaru, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli akan membuat satu laporan polis esok terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dua lagi individu, iaitu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Halmi.

Rafizi mendakwa Jho Low dan Shahrol perlu disiasat kerana melanggar Akta Pengubahan Wang Haram dan pecah amanah.

Beliau mendakwa Jho Low dalam satu komunikasi dengan PetroSaudi menyatakan bahawa pemindahan wang dari PetroSaudi ke 1MDB tidak memerlukan kelulusan Bank Negara seperti yang terkandung dalam emel yang didedahkan oleh Sarawak Report, pada Sabtu lalu.

Isu 1MDB mula diperkatakan selepas syarikat milik penuh kerajaan itu mempunyai hutang hampir RM42 bilion.

993 dibaca
Berita Harian X