Jumaat, 30 Januari 2015 | 2:52pm

Toleransi, kebebasan bersuara Barat tak adil

Isu kebebasan bersuara di Malaysia kembali menjadi hangat baru-baru ini apabila peguam hak asasi manusia yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty, Eric Paulsen mengeluarkan ungkapan 'tweet' yang menuduh JAKIM mempromosi ekstremisme dalam khutbah Jumaat di seluruh negara.

Pihak berkuasa sudah menjalankan siasatan. Sama ada tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil ataupun tidak terhadap Paulsen, secara moralnya beliau sudah mengguris perasaan umat Islam di Malaysia dan mengakibatkan prasangka buruk orang bukan Islam terhadap masyarakat Islam. Perbuatan Paulsen tidak dapat diterima sesiapapun yang berfikiran waras dan cintakan keharmonian beragama di sesebuah negara.

Dewasa ini, ramai yang menuntut hak kebebasan bersuara. Pada peringkat sejagat, hak kebebasan bersuara termaktub sebagai hak memberikan pendapat dan berekspresi - Everyone has the right to freedom of opinion and expression; this right includes freedom to hold opinions without interference and to seek, receive and impart information and ideas through any media and regardless of frontiers dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR 1948), yang adalah satu daripada dokumen utama hak asasi manusia diisytiharkan Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Disember 1948 di Palais de Chaillot, Paris.

Di Malaysia, kebebasan bersuara termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan mengenai 'hak warganegara Malaysia dalam bercakap, berhimpun dan berpersatuan'. Walaupun jelas dan nyata disebut setiap warganegara berhak kepada kebebasan bersuara dan bercakap, semua hak itu tertakluk kepada fasal lain dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara yang diperbuat di bawah fasal berkenaan.

Contohnya, kenyataan yang berunsur perkauman dan mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh menggugat keamanan negara perlu dicegah dan dihalang. Dalam isu Paulsen contohnya, hak bersuara bercanggah dengan hak untuk hidup dalam suasana aman damai. Perlu diingat bahawa Malaysia tidak bersendirian dalam hal ini. Di Eropah, United Kingdom contohnya juga mengenakan had yang agak sama.

Undang kesan buruk

Pada hakikatnya negara di Eropah sedang berdiri pada landasan toleransi dan kebebasan bersuara yang tidak adil. Kes pembunuhan 12 pekerja Charlie Hebdo di Paris 7 Januari adalah satu daripada kesan buruk eksploitasi had kebebasan bersuara, bukan sahaja dalam Islam, tetapi dalam mana-mana agama sekalipun.

Agak menyedihkan apabila Perancis mengganggap budaya satira adalah tradisi yang dibanggakan, walaupun hakikatnya tindakan menghina agama atas nama kebebasan bersuara adalah contoh nilai budaya yang tidak menghormati sensitiviti masyarakat lain. Agenda di sebalik tindakan menyalahgunakan hak kebebasan bersuara ini adalah kesan sekularisasi yang meletakkan kebebasan individu lebih tinggi daripada kemaslahatan masyarakat. Kehilangan toleransi dan sikap tidak adil negara dalam isu kebebasan bersuara ini juga mendedahkan kemelut negara Barat dalam menetapkan nilai hak asasi manusia mereka.

Jerman dikejutkan dengan sikap dan tindakan Lutz Bachmann, seorang daripada pengasas gerakan masyarakat Eropah yang menentang Islamisasi Barat atau Patriotic Europeans Against the Islamicization of the Occident (PEGIDA) memuat naik gambarnya di laman media sosial sebagai 'Hitler' yang mencetuskan kemarahan masyarakat Eropah yang sedang memperingati ulang tahun ke 70 peristiwa 'Holocaust' pada 27 Januari lalu.

Gerakan PEGIDA, idea Bachmann muncul pada musim luruh 2014 dan menganjurkan siri demonstrasi setiap minggu di Dresden. Apabila bilangan penunjuk perasaan mencapai 25,000 orang, PEGIDA menarik perhatian yang agak besar dan menjadi punca meningkatnya kebimbangan domestik dan antarabangsa terhadap masyarakat Islam.

Bagi rakyat Jerman berbangsa Yahudi, tingkah laku Bachmann adalah mengejutkan, jelas mengkhianati dan membuktikan kurangnya sensitiviti terhadap perasaan masyarakat berkenaan di negara itu. Ternyata mereka juga pada zahirnya berpandangan kebebasan bersuara atau berekspresi perlu ada hadnya.

Jika masyarakat Yahudi sendiri boleh menentang sikap menghina 'holocaust' dan menetapkan had kebebasan bersuara, bagaimana pula dengan sikap NGO Hak Asasi Manusia di Malaysia yang terpukau dengan prinsip dan fahaman kebebasan ala Barat?

Sikap seumpama ini perlu segera dihalang. Cabaran utama buat Malaysia ialah memastikan golongan yang sengaja mengekspolitasi hak kebebasan bersuara ini untuk mematuhi had yang dinyatakan dalam Perlembagaan dan undang-undang negara mengenai kebebasan bersuara dan hak asasi lain.

Halang eksploitasi hak kebebasan

Semua lapisan masyarakat perlu berusaha untuk memastikan bahawa pemuka hak asasi manusia yang menjulang fahaman liberalisasi sekular Barat tidak terus-menerus menyebarkan fahaman salah mereka yang boleh mengelirukan akidah umat Islam, melanggar batas syariah dan meruntuhkan akhlak generasi muda Malaysia.

Kerangka Perlembagaan Persekutuan, sejarah dan latar belakang sosial, agama dan budaya masyarakat Malaysia perlu diperhalusi dalam melaksanakan sebarang bentuk kebebasan di negara ini.

Bagi Kerajaan Malaysia pula, tindakan proaktif sebagai pengerusi ASEAN dan anggota bukan tetap Majlis Keselamatan PBB bermula tahun ini perlu dilakukan segera untuk menyokong usaha ke arah pembentukan satu resolusi berhubung kebebasan bersuara pada bulan Mac kelak, yang dikemukakan Duta Arab Saudi ke PBB di Geneva, Faisal Trad kepada Suruhanjaya Tinggi OHCHR, Putera Zeid Bin Ra'ad Al-Hussein.

Adalah diharapkan Malaysia dapat memimpin dan menyumbang secara berkesan terhadap wacana perbahasan resolusi itu bagi menggesa agar hak kebebasan bersuara tidak sepatutnya melanggar batasan sehingga menghina agama dan kepercayaan, serta menamatkan segala bentuk penghinaan terhadap Islam.

Usaha ini dilihat mampu menyerlahkan peranan Malaysia sebagai negara Islam yang menggunakan pendekatan wasatiyyah dalam menangani isu hak asasi manusia, khususnya hak kebebasan bersuara yang semakin hilang pedoman akibat keghairahan manusia menyanjung fahaman liberalisasi sekular tamadun Barat.

Penulis ialah Peguam dan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

152 dibaca
Berita Harian X