Jumaat, 29 Ogos 2014 | 6:05am

Khutbah Jumaat: Waspada perang intelektual jajah minda

Seluruh rakyat Malaysia bergembira dengan kemerdekaan negara yang telah dicapai 57 tahun lalu. Kita akan melaungkan ungkapan 'Merdeka!' setiap kali tiba tarikh 31 Ogos. Kemerdekaan dalam konteks kenegaraan adalah status bebas yang dikecapi sesebuah negara daripada kuasa penjajahan.

Merdeka bukan bermakna kita bebas daripada penjajah sahaja. Merdeka juga bermaksud bebas daripada segala kongkongan dan kawalan ideologi. Islam agama yang datang dari sisi Allah SWT sebagai cara hidup terbaik.

Islam juga mengiktiraf kemerdekaan sesebuah bangsa atau umat dengan maksud bebas mengabdikan diri kepada Allah SWT, bebas daripada kezaliman kepada keadilan dan bebas daripada kejahilan kepada berilmu.

Umat Islam sewajarnya tidak lupa dan leka terhadap hakikat dirinya sebagai seorang hamba Allah SWT yang ada peranan dan tanggungjawabnya.

Realitinya, kita berhadapan pelbagai bentuk penjajahan moden. Betapa hebatnya penjajahan bentuk baharu muncul seperti serangan pemikiran dan budaya. Abad ini manusia tidak lagi berperang mengangkat senjata sebaliknya peperangan intelektual mula menerjah minda masyarakat Islam.

Gerakan antihadis, pluralisme

Contohnya, pada awal tahun ini kita dikejutkan dengan gerakan antihadis dan pluralisme yang bangkit semula selepas beberapa lama menyepi daripada arus perdana. Cabaran gerakan sebegini mampu menghancurkan akhlak peribadi serta meruntuhkan fahaman agama umat Islam selama ini.

Akibatnya, berapa ramai antara kita yang malu dan rendah diri dengan cara hidup Islam, malu untuk bercakap dalam bahasa kebangsaan sebaliknya sangat berbangga dengan budaya serta cara hidup orang lain, meskipun kadangkala ada yang bertentangan dengan perintah Allah SWT dan pesanan Rasulullah SAW.

Cuba kita hayati kata-kata Rubi' bin 'Amir ketika bertemu panglima tentera Rom bernama Rustum, mengenai hakikat kemerdekaan, "Kami kaum yang diutuskan Allah untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan makhluk kepada penyembahan Allah, daripada kezaliman agama lain kepada keadilan Islam, daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat."

Ungkapan Rubi' bin 'Amir ini menunjukkan kemerdekaan yang sebenarnya ialah apabila kita berpegang teguh sepenuhnya dengan ajaran Islam.

Sedarlah, pelbagai cara dan jalan sedang dilakukan oleh musuh Islam untuk melemahkan jati diri dan pegangan umat Islam, sama ada melalui pembohongan fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun akidah melalui media massa, internet, Facebook, e-mel, Whatsapp dan lain-lain lagi.

Ada yang menggunakan aplikasi itu untuk kebaikan tanpa mengetahui sumbernya bukan yang asli daripada al-Quran dan hadis, apatah lagi jika digunakan untuk keburukan. Betapa bahayanya kedudukan umat Islam yang kelihatan bebas pada fizikal, tetapi tertipu dan terperangkap pada ideologi serta pegangan.

Musuh kelirukan umat Islam

Inilah permainan minda dan persepsi yang dilakukan musuh untuk mengelirukan umat Islam. Sedarlah, apabila umat Islam hilang pegangan akidahnya, rapuh pedoman dan hilang sensitivitinya pada agama, inilah kejayaan terbesar musuh Islam.

Sesuai dengan usia kemerdekaan negara, kita mendoakan seluruh umat Islam di negara ini memahami erti kemerdekaan menurut perspektif Islam supaya tidak terus terjajah minda oleh pemikiran dan ideologi meranapkan, atau hidup bukan dengan cara hidup Islam.

36 dibaca
Berita Harian X