Selasa, 27 Januari 2015 | 8:23pm
BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) melihat contoh minyak yang telah diproses ketika melawat pameran selepas menyampaikan ucapan di International Energy Week 2015 di Pusat Konvensyen Borneo hari ini. - Foto BERNAMA

Belanja lebih untuk penyelidikan memajukan tenaga alternatif dan lestari - Dr Mahathir

KUCHING: Terdapat keperluan untuk negara ini berbelanja lebih dalam penyelidikan untuk membangunkan sumber tenaga alternatif dan lestari seperti tenaga hidro, sel hidrogen, tenaga angin dan solar, kelapa sawit dan juga sisa produk.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun negara mempunyai sumber minyak, gas dan arang batu yang banyak, potensi daripada sumber-sumber lain tidak boleh diketepikan.

"....terutama sekali yang bebas daripada pencemaran, lestari dan tidak membawa banyak masalah seperti minyak dengan harga pasarannya yang turun naik," katanya dalam ucaptama pada Minggu Tenaga Antarabangsa Sarawak kali ketiga 2015, persidangan dan ekspo petroleum dan tenaga terbesar negara di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau menolak penggunaan tenaga nuklear sambil berkata "kita masih banyak tidak mengetahui berhubung lakuran nuklear dan menyatakan " sebaik kita mengaktifkan bahan-bahan bagi menyediakan radiasi, anda tidak boleh mematah balik proses itu".

"Pilihan ini juga akan menghasilkan lebih banyak sisa berbahaya yang akan terus memancar dan pusingan hidupan itu adalah hampir sejuta tahun. Tambahan pula, kita tidak ada tempat untuk menanam atau membuang sisa itu," katanya.

Katanya jika ia ditanam, ia boleh mengalami kebocoran dan mencemarkan air bawah tanah atau mengalir ke laut seperti dalam kes yang berlaku di bandar raya Fukushima pada Februari tahun lepas.

Mengenai tenaga hidro, Dr Mahathir berkata negara perlu memberi perhatian lebih bagi membangunkannya.

"Sarawak mempunyai potensi besar di negara ini. Cadangan saya kepada kerajaan adalah untuk memajukannya secara lebih mesra alam...kita sepatutnya tidak hanya membina empangan yang merentasi kawasan lembah dan kemudian membanjirinya dengan air untuk menjana turbin berkenaan," katanya sambil berkata dengan berbuat demikian negara akan kehilangan tanah untuk pertanian.

"Kita perlu belajar daripada pengalaman kerajaan Austria dalam membina 10 empangan di sepanjang sungai Danube tanpa melimpahi tebingnya, mereka telah membina dinding di sepanjang kedua-dua sungai itu pada ketinggian dan paras yang sama di setiap empangan, sehingga di kawasan relung, secara melata," katanya.

Namun, katanya, ia menelan belanja dan hanya boleh dilakukan jika sungai itu mengalir dari kawasan tinggi atau apabila negara mempunyai lebih banyak dana.

Dr Mahathir juga berkata lebih banyak penyelidikan perlu dijalankan ke atas sel solar, elektrik dan hidrogen bagi membolehkan lebih banyak penjanaan tenaga yang lebih lama.

Katanya ia telahpun ada di Proton yang mempunyai sebuah kereta yang dihidupkan menggunakan sel elektrik untuk bergerak sejauh 300 kilometer apabila dicaj sekali.

"Namun ia hanya terpakai untuk memandu di bandar dan bandar raya dan bukan antara bandar di mana dalam perjalanan anda mungkin tidak menjumpai stesen untuk mengecaj tenaga.

"Kami belum lagi melancarkannya kerana apabila anda kehabisan tenaga semasa dalam perjalanan ia akan menyebabkan orang marah dengan Proton, kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Proton Holdings Bhd. - BERNAMA

25 dibaca
Berita Harian X