Ahad, 16 Julai 2017 | 10:58pm
MUHAMMAD Zaimi Jamail Ismail bersama rakan di Tukun Perak di perairan Selat Melaka. - Foto Ihsan Pembaca

Muhammad Zaimi puas hati jinakkan GT bersaiz 15kg


MUHAMMAD Zaimi Jamail Ismail, dengan ikan jemuduk atau Giant Trevally (GT) di Tukun Perak di perairan Selat Melaka. - Foto Ihsan Pembaca

MENJINAK seekor jemuduk atau dikenali sebagai Giant Trevally (GT) seberat 15 kilogram (kg) di Tukun Perak atau Pulau Perak di perairan Selat Melaka memberikan kepuasan yang tidak dapat digambarkan oleh Muhammad Zaimi Jamail Ismail.

Muhammad Zaimi juga menganggap ia sebagai rekod peribadi sejak terbabit dalam aktiviti memancing secara aktif.

Jemuduk seberat 15 kg itu memadam rekod lama yang pernah dilakukan oleh anak muda ini apabila memperoleh tenggiri dengan berat 4 kg ketika memancing di lokasi sama.

"Kejayaan itu menjadikan saya lebih bersemangat untuk aktif dalam aktiviti memancing," katanya ketika menyertai trip memancing selama empat hari anjuran Crazy Anglers Team (CAT).

Hadapi cabaran hebat

Selain jemuduk, Muhammad Zaimi yang pertama kali mengunjungi Tukun Perak turut berjaya mendaratkan aruan tasik seberat 13 kg.

Bagaimanapun, untuk mengecapi kepuasan itu, beliau perlu menghadapi cabaran yang dirasakan amat hebat untuk dihadapinya.

"Dalam perjalanan ke Tukun Perak, kami berdepan hujan lebat dan laut bergelora serta angin kencang. Tetapi tekong bot yang berpengalaman berjaya menenangkan kami sehingga selamat pulang ke jeti.

"Pada waktu itu, saya memang kecut perut namun selepas lebih 40 minit dilambung ombak, perasaan takut mula hilang sekali gus bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Tambah kemahiran menerusi kenalan

Muhammad Zaimi meminati aktiviti memancing ketika zaman sekolah rendah tetapi ia diketepikan seketika untuk memberi tumpuan kepada bidang pendidikan dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Islam Bangi dan Kolej Universiti Insaniah.

"Ketika itu, saya hanya mempunyai peluang memancing bersama rakan-rakan pada musim cuti sekolah atau cuti umum jika tidak ada tugas pada saat akhir dan rancangan lain bersama keluarga.

"Saya selalu memancing di perairan Port Dickson (PD). Di situ ada banyak talang, ebek, tenggiri, kerapu, jenahak," katanya.

Muhammad Zaimi juga tidak berasa malu untuk mengakui pengetahuan dan kemahirannya menggunakan beberapa peralatan memancing moden masih terlalu sedikit. Setakat ini beliau mempunyai tiga batang joran dengan mesin 'spinning daiwa'.

"Baru-baru ini saya menyertai CAT untuk mencari ramai kenalan dalam kalangan kaki pancing dan menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam aktiviti ini.

"Kebanyakan anggota CAT memang berpengalaman dan sudah banyak kali menaikkan ikan bersaiz besar," katanya.

INFO

  • Nama: Muhammad Zaimi Jamail Ismail
  • Usia: 33 tahun
  • Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab
  • Asal: Kubang Pasu, Kedah
  • Jawatan: Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Muda, Kuala Lumpur.

Fakta nombor

  • 15 kg rekod ikan terberat
  • 13 kg rekod ikan kedua terberat
  • 3 batang joran dimiliki
534 dibaca
Berita Harian X