Ahad, 16 Julai 2017 | 10:53pm

Fahami jadual pasang surut


MOHD Rosdi bersama empat ekor ikan talang yang dijinaknya di Kuala Sungai Baru Penarik, Setiu, Terengganu.

SETIAP kali memancing di sungai, sudah tentu ramai ingin mendaratkan seberapa banyak ikan talang, siakap putih, kurau, senangin, tenok atau kacang.

Bukan sahaja tidak berpeluang membawa pulang ikan itu malah kempunan untuk merasai sentapan dan tarikan hebat penghuni lokasi terbabit.

Kapten (B) Mohd Rosdi Abdullah, 55, yang dianggap mahir dalam 'menjinakkan' ikan sungai berkata, mereka yang bercita-cita untuk membawa pulang ikan sungai perlu tahu jadual pasang surut air laut.

Katanya, ini kerana ikan spesis itu hanya akan masuk ke dalam sungai berpandukan pasang dan surut air.

"Pada waktu air pasang besar spesis itu berenang mudik ke hulu sungai. Ini masa terbaik untuk memancing," katanya.

Guna umpan hidup

Mohd Rosdi berkata umpan terbaik untuk memancing di sungai ialah ikan hidup iaitu spesis belanak, tiram dan bulan.

Katanya, isi ikan mati boleh dijadikan umpan tetapi kebarangkalian untuk disambar ikan pada kadar 1/10.

"Umpan ikan hidup terbaik, yang diperoleh dari sekitar tempat memancing dengan menangkapnya menggunakan jala.

"Selain itu pemancing juga perlu tahu cara untuk mencangkuk umpan ikan belanak yang digunakan untuk memastikan umpan itu terus hidup dan timbul di permukaan air," katanya.

Beliau berkata, mata pancing perlu dicangkuk di belakang ikan untuk menjamin dapat hidup lebih lama.


MOHD Rosdi menggunakan umpan ikan hidup bagi mendapatkan hasil yang memuaskan.

Teknik menyediakan perambut

Umpan ikan hidup itu akan mati sekiranya arus air sungai di kawasan itu terlalu deras atau tali perambut yang digunakan terlalu kasar.

"Kita harus bijak membuat persiapan iaitu 'setting' peralatan sebelum memancing. Sekiranya umpan ikan hidup diperoleh menggunakan jala, jangan letak lebih dari sembilan ekor dalam satu bekas, bagi mengelakkan ikan itu mati.

"Jumlah yang sesuai ialah tujuh ekor satu bekas yang dipasang pam angin," katanya.

Mohd Rosdi berkata, perambut terbaik adalah tali tangsi bersaiz 50Lbs jenis florrocarbon seratus peratus.

"Potong 30 sentimeter tali tangsi kemudian ikat mata kail Lepas itu guna simpulan nombor 8 bagi menyambungkan tangsi berkenaan yang bersaiz 40lbs atau pun 30lbs.

"Panjang tangsi ini sekitar sedepa setengah, bertujuan meringankan perambut agar umpan ikan hidup tidak letih," katanya.

370 dibaca
Berita Harian X