Ahad, 16 Julai 2017 | 10:52pm

Kajian ucapan politik PM


NASKHAH Strategi Pemujukan Najib Razak dalam Komunikasi Politik yang diterbitkan oleh MPI.

KRITIKAN retorikal memang menarik untuk dikaji terutama jika ia membabitkan ucapan ahli politik. Satu daripada pendekatan untuk kajian ini adalah neo-artistotelian yang juga method kritikan retorikal yang pertama.

Diperkenalkan oleh Herbet A Wichelns pada 1925, ia memfokuskan analisis methodologi di sebalik keupayaan ucapan untuk meyakinkan khalayak.

Dalam hal ini, Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya bukan sekadar mengkaji ucapan politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahkan turut menerbitkannya dengan tajuk Strategi Pemujukan Najib Razak dalam Komunikasi Politik yang diterbitkan oleh MPI.

Menarik untuk dibaca, naskhah yang menganalisis 15 ucapan Perdana Menteri itu juga sebenarnya adalah rakaman satu-satunya pemimpin UMNO yang berpeluang berkongsi pandangan politiknya secara berperingkat, bermula sebagai Ketua Pergerakan Pemuda hingga sebagai Presiden bermula dari 1988 hingga 2013.

Misalnya, jika hari ini Najib dikenali dengan konsep 1Malaysia, sebenarnya idea hampir serupa sudah diperkatakan beliau sejak 1988 ketika bergelar Ketua Pemuda, bezanya ketika itu ia dirujuk masyarakat kebangsaan.

Penelitian karya

Chamil melakukan penelitian berdasarkan tiga langkah utama, iaitu meneliti konteks artifak dizahirkan, penelitian terhadap aplikasi lima rukun retorik terhadap artifak dan seterusnya penilaian kesan terhadap artifak kepada pengucap, khalayak dan audiens.

Sementara itu, pendekatan kritikan Neo-Aristotelian pula menganalisis lima rukun retorik klasikal yang ada dalam artifak, iaitu penciptaan atau bagaimana idea-idea dan bahan-bahan ucapan disediakan serta organisasi yang merujuk kepada struktur dan penyusunan ucapan.

Ia juga membabitkan gaya, bahasa ucapan; memori, iaitu keupayaan menguasai subjek atau topik yang dibicarakan termasuk hafalan sebenar ucapan yang diperlukan dan penyampaian, iaitu pengurusan suara dan gerak geri tubuh dalam persembahan.

Strategi Pemujukan Najib Razak dalam Komunikasi Politik

Penulis: Chamil Wariya

Penerbit: Malaysian Press Institute (MPI)

75 dibaca
Berita Harian X