Ahad, 16 Julai 2017 | 10:51pm

Kesan coklat, hitam timbul pada wajah


FOTO hiasan.

Soalan: Saya difahamkan, melasma adalah keadaan kulit yang menyebabkan perubahan warna pada kulit wajah. Saya pernah mencuba rawatan `chemical peeling' sebanyak empat kali, tetapi warna coklat dan hitam terutama di bibir atas dan dahi, masih lagi kelihatan.

Intan Ilyana Osman,
Seksyen 25, Shah Alam.

Melasma adalah gejala hypermelanosis yang diperoleh hiperpigmentasi kulit. Melasma muncul sebagai makula hiperpigmentasi simetris, yang berupa konfluen atau kulit belang-belang.

Pipi, bibir atas, dagu dan dahi adalah lokasi yang paling umum, tetapi kadang-kadang melasma boleh terjadi pada lokasi yang terkena sinar matahari lainnya.

Kebanyakan melasma yang dialami wanita adalah dari jenis dermal (lapisan bawah) kulit atau melasma campuran (epidermal dan dermal) kulit. Melasma jenis ini sangat degil dan susah dirawat kerana kedudukannya di bawah kulit.

Untuk merawat masalah melasma jenis dermal atau campuran agak sukar. Rawatan dengan menggunakan hydroquinone dan tretinoine tidak dapat menghilangkannya. Masalah melasma jenis campuran ini hanya berkesan dengan rawatan laser Q Switched Nd:Yag.

10 hingga 12 sesi rawatan

Secara umumnya, seseorang pesakit perlu menjalani 10 hingga 12 sesi rawatan laser untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

Laser ini berkesan dengan menghancurkan pigmen hitam. Pigmen yang hancur akan diserap perlahan-lahan oleh badan. Namun, proses menghancurkan pigmen perlulah dilakukan berperingkat-peringkat agar tiada kesan sampingan ke atas kulit yang menerima rawatan laser.

Kelebihan rawatan laser juga adalah ia boleh meresap jauh ke lapisan dermis kulit. Hanya laser Q Switched sahaja yang boleh menyerap lapisan dalam kulit dan memecahkan pigmen tanpa merosakkan lapisan atas kulit.

Selain merawat melasma, rawatan yang berulang juga boleh merangsang kulit untuk menghasilkan kolagen. Peningkatan kandungan kolagen di lapisan kulit boleh menghilangkan atau mengurangkan garis halus serta mengecilkan pori-pori muka.

Rawatan terkini

Selain rawatan laser, rawatan terkini seperti Platelet Rich Plasma (PRP) juga boleh di gunakan sebagai salah satu modality rawatan untuk menangani masalah melasma.

Rawatan PRP yang kaya dengan stem sel semula jadi yang diproces daripada darah kita membantu untuk merangsang kolagen dan elastin baru dan pudarkan pigmen melasma. Namun, rawatan ini juga perlu dilakukan beberapa sesi untuk menampakkan hasilnya bergantung pada melasma individu.

Perlu diingat, rawatan yang paling berkesan adalah pencegahan. Ramai wanita terutama di Malaysia yang mengalami cuaca tropika panas tidak menggunakan krim tabir suria. Krim tabir suria sepatutnya digunakan sejak remaja.

Jika anak anda menggunakannya dari muda, ia bukan sahaja boleh mengelak masalah pigmentasi pada hari tua, malah mengekalkan kandungan kolagen daripada dirosakkan oleh ultraviolet (UV) matahari.

Kandungan kolagen yang tinggi di kulit muka boleh melambatkan proses penuaan wajah. Untuk kulit wanita Asia dan keadaan matahari yang terik di Malaysia, disarankan menggunakan krim tabir suria dengan SPF 50 dan ke atas.

Akhir sekali, anda tidak perlu malu menggunakan payung jika berjalan di tengah panas walaupun untuk seketika. Ingat pencegahan adalah rawatan terbaik untuk kekal kelihatan muda dan jelita.

INFO

Antara penyebab melasma

- Faktor keturunan (genetis)

- Ketika hamil

- Aktiviti hormon

- Pengubatan hormon

- Paparan ultra violet

- Stres.

* Pakar kecantikan

902 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »