Ahad, 16 Julai 2017 | 10:46pm

Jom makan pasembor ketam Kuala Perlis


PENGURUS Restoran Nelayan Kuala Perlis, Farisha Lazim menunjukkan menu makanan yang disediakan di Restoran Nelayan, Kuala Perlis. - Foto Azhar Ramli

TERASA puas menikmati pasembor ketam di Restoran Nelayan, Kuala Perlis kerana bukan saja saiz hidangannya yang besar tetapi harga yang ditawarkan juga berpatutan.

Jadi, tidak hairanlah Kuala Perlis menjadi antara destinasi tumpuan pengunjung, terutama dari luar Perlis. Menikmati makanan laut yang sedap sambil ditiup bayu laut memberikan pengalaman menyeronokkan.

Ketam segar dari laut diadun bersama timun, tauhu dan sengkuang digaul bersama kuah yang agak pekat memang menyelerakan sekali.

Tambahan pula ketam itu diambil terus dari jeti nelayan yang terletak tidak sampai 300 meter dari restoran ini.

Pelanggan sanggup bayar lebih


PASEMBOR ketam yang disediakan di Restoran Nelayan, Kuala Perlis. - Foto Azhar Ramli

Berharga RM10 untuk sepinggan pasembor ketam, ia memang boleh dianggap berpatutan. Ada juga yang menganggap masih murah kerana setiap ketam yang dihidangkan itu seberat antara 200 hingga 500 gram.

Malah, kalau sanggup bayar lebih sehingga RM15, anda boleh menikmati pasembor ketam 'double', harga yang dikira masih murah. Apa yang penting ialah kepuasan.

Faktor harga dan saiz hidangan juga antara sebab Restoran Nelayan menjadi antara tempat makan yang sentiasa penuh dikunjungi pelanggan, terutama pada hujung minggu.

Kekalkan resipi rahsia

Pengurus Restoran Nelayan Kuala Perlis, Farisha Lazim memaklumkan kepada penulis, resipi pasembor ketam istimewa dipelajari daripada ibunya, Halijah Mat Tehar. Sehingga hari ini ia kekal menjadi resipi rahsia selama 40 tahun, sama usia dengan restoran itu sendiri.

"Restoran Nelayan sudah berusia 40 tahun, namanya memang sudah dikenali di seluruh Perlis dan menjadi salah satu destinasi wajib disinggahi bagi mereka yang menggunakan Jeti Feri Kuala Perlis untuk ke Langkawi," kata Farisha.

Jenama pasembor ketam dari restoran ini turut dikenali di luar Perlis berikutan Farisah sendiri pada setiap tahun akan dijemput menyertai Karnival Usahawan Desa (KUD) anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Turut tawarkan cucur ketam


CUCUR ketam yang disediakan di Restoran Nelayan, Kuala Perlis. - Foto Azhar Ramli

Farisha berkata, keenakan pasembor ketam terbukti apabila lebih 50 kilogram ketam sehari habis dijual setiap hari.

Penulis yang berpeluang menikmati hidangan lazat itu berpuas hati dengan ketam dalam hidangan kerana kulit serta isinya yang lembut dan mudah diratah berbanding menikmati ketam dari restoran lain.

Selain pasembor ketam, Restoran Nelayan ini yang terletak berhadapan Pejabat Kastam Kuala Perlis ini turut menawarkan cucur ketam, laksa, ikan bakar serta makanan nasi berlauk.


RESTORAN Nelayan di Kuala Perlis. - Foto Azhar Ramli

INFO

Restoran Nelayan

Pekan Kuala Perlis, Perlis

  • Dibuka setiap hari bermula 9 malam-12 tengah malam.
  • Kira-kira 50 kg ketam segar diperuntukkan sehari.
  • RM10 untuk sepinggan pasembor ketam biasa.
  • RM15 untuk sepinggan pasembor ketam double.
  • Turut menjual cucur ketam, laksa, ikan bakar dan nasi berlauk.
670 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »