Ahad, 16 Julai 2017 | 10:45pm

Penkek durian


CEF Farhan menunjukkan penkek durian yang dihasilkannya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

BAGI penggemar raja buah, durian selain enak dimakan begitu saja, ramai yang suka mempelbagaikan cara hidangan untuk menikmatinya mengikut cita rasa masing-masing.

Mungkin ramai yang sudah biasa dengan bubur durian, serawa, seri muka, cendol durian dan pelbagai lagi pencuci mulut yang diberikan sentuhan durian.

Pernahkah anda mencuba penkek durian? Minggu ini, Aroma Kulinari menampilkan resipi istimewa daripada Cef Farhan dari Pusat Konvensyen Sime Darby menggunakan durian.

Sesuai hidangan petang

Farhan berkata, hidangan ini bukan saja mudah dan ringkas tetapi tidak mengambil masa yang lama untuk disediakan. Ia sedap dinikmati ketika masih panas, tetapi tetap tidak akan menghampakan anda walaupun dinikmati ketika sejuk.

Sesuai sebagai hidangan petang, ia juga mampu menarik minat kanak-kanak kerana rasanya yang cukup manis dan berlemak.

Bahan


BAHAN-BAHAN untuk membuat penkek durian. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

- 400 gram (g) tepung kek

- 250 mililiter (ml) susu segar

- 46g serbuk penaik

- 2 biji telur

- 50g gula halus

- 20g isi durian

- 20g tepung kastard

- 10g gula halus

- secubit garam

- 50ml air.

Cara menyediakan

1. Masukkan tepung dan serbuk penaik yang sudah diayak ke dalam bekas. Tambahkan gula dan garam. Masukkan susu dan telur, kacau semua bahan hingga sebati.

2. Panaskan kuali, tuangkan sesenduk adunan ke dalam kuali dan masak sehingga kuning keemasan.

3. Lapiskan dengan kastad durian. Hiaskan dengan buah buah beri. Sedia untuk dihidangkan.

Info

Tip penyediaan kastad durian

- Panaskan air dan gula dalam periuk.

- Masukkan tepung kastad dan isi durian, kacau sebati.

- Tambahkan secubit garam dan biarkan sejuk.

240 dibaca
Berita Harian X