Ahad, 16 Julai 2017 | 10:41pm

12 editor ASEAN kagumi pasaran buku kanak-kanak di Jerman


12 editor buku kanak-kanak ASEAN ke Jerman anjuran Frankfurter Buchmesse, pada 5 sehingga 10 Jun lalu. - Foto ihsan Pembaca

SEIRING usaha mempromosi dialog antarabangsa dalam menggalakkan jaringan profesional editor, pameran buku terbesar oleh industri penerbitan antarabangsa, Frankfurter Buchmesse, menganjurkan lawatan sambil belajar untuk editor buku kanak-kanak ASEAN di Jerman bermula 5 sehingga 10 Jun lalu.

Sejumlah 120 permohonan diterima dari tujuh negara, tetapi hanya 12 penerbit dan editor terpilih untuk menyertainya, iaitu dari Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

"Kami sentiasa berusaha mencari format dan cara baharu untuk kekal berhubung dengan wakil pelbagai negara bagi mengukuhkan kepelbagaian pasaran buku. Inilah sebab kami menganjurkan lawatan ini dengan sokongan kewangan dari Pejabat Persekutuan Jerman," kata Pengarah Projek dan Kerjasama Antarabangsa, Frankfurter Buchmesse, Barbel Becker.

Lawatan itu meliputi tiga lokasi utama terkenal dengan kekayaan sejarah dalam kesusasteraan kanak-kanak, iaitu Frankfurt, Nuremberg dan Hamburg yang membabitkan lawatan ke syarikat penerbitan, kedai buku, studio ilustrasi, syarikat startup dan sastera yang diiringi Pengurus Projek Antarabangsa di Frankfurter Buchmesse, Niki Theron.

Selain perbezaan bahasa, perjuangan kita dengan Jerman dalam bidang penerbitan sama apabila bercakap mengenai pasaran buku kanak-kanak di Jerman dan Asia Tenggara.

Berjuang dapatkan pembaca

Apa yang saya maksudkan dengan perjuangan? Perjuangan difahami sebagai usaha untuk bebas daripada halangan atau berjuang mencapai sesuatu diingini. Dalam kes ini, perjuangan kita hampir sama, iaitu mendapatkan pembaca dan sukar mendapatkan pembiayaan mencukupi bagi penerbitan serta promosi buku. Persamaan ketiga, isu kepekaan terhadap topik dibincangkan dalam buku - tidak kira betapa luasnya pasaran buku, kita berkongsi sentimen sama.

"Pasaran buku di Jerman mungkin menurun, tetapi kekal bertahan. Kami lihat kadar perolehan memberangsangkan setiap tahun dengan jumlah 9.8 bilion euro angka terkini dalam keseluruhan pasaran buku Jerman dan bahagian kanak-kanak merangkumi sebanyak 15.8 hingga 16 peratus daripada jumlah angka keseluruhan," kata Pengarah Hak Asing Penerbit Oetinger Verlagsgruppe, Renate Reichstein.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penerbit dan Penjual Buku Myanmar, Myo Aung, berkata walaupun menghadapi keadaan negatif dalam negara kerana kekurangan dana dan sokongan, masih ada sinar keyakinan dan harapan.

Satu lagi persamaan jelas dikongsi bersama adalah keadaan pasaran buku yang penuh dengan lambakan buku dari pasaran Amerika dan United Kingdom (UK).

"Harry Potter sangat terkenal di Jerman, begitu juga John Green 'sick lit' atau karya yang menampilkan watak yang menghidapi penyakit, Fault in the Stars dan Everything Everything oleh Nicola Yoon. Buku Amerika yang ada francais filem lebih terjual kepada berbanding buku Jerman," kata Reichstein.

Buku digital tidak digemari

Editor Lampara Publishing House dari Filipina, Eugene Y Evasco, yang mengakui rakyat negaranya juga terlalu bergantung kepada buku Amerika sedangkan kita perlu membangunkan bahasa kita untuk mengembangkan kesusasteraan sendiri.

Kebanyakan beranggapan negara seperti Jerman dengan kemajuan dalam komunikasi dan teknologi maklumat serta memimpin industri automotif akan mempunyai pembaca yang lebih gemarkan buku dalam bentuk digital berbanding cetak, tetapi ia adalah sebaliknya.

Seperti ditekankan Reichstein, apa yang mengejutkan adalah hanya 4 peratus hasil jualan buku elektronik berbanding perolehan keseluruhan pasaran buku Jerman.

"Kebanyakan anak muda mempunyai peranti, tetapi mereka tidak membaca buku menggunakannya. Pasaran buku elektronik sangat mahal dan pelabur yang melabur dalam digital boleh kecewa dengan reaksi pasaran," katanya.

Dalam berkongsi pengalaman, Editor dan Ketua Jabatan Pendidikan, Kanisius Media, Indonesia, Rosalia Emmy Lestari, melahirkan kekaguman pada ibu bapa dan kanak-kanak Jerman yang masih gemarkan buku bercetak.

"Walaupun bimbang dengan trend masa depan, saya memuji penerbit buku Jerman kerana menerbitkan pelbagai jenis buku bercetak yang mereka percaya, buku yang bagus akan memanggil pembaca setia mereka," katanya.

Perkara itu dicatatkan dalam saluran pengedaran Jerman, iaitu kedai buku tradisional kekal tertinggi dengan lebih 50 peratus, manakala jumlah atas talian mendapat 17 peratus dan pasar raya serta stesen kereta api masih menguasai syer sama sebanyak 10 peratus.

Sudut pandangan editor

Walaupun berbeza bahasa pertuturan, 12 editor Asia Tenggara mempunyai 'satu' bahasa sama sepanjang sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam, iaitu bahasa cinta pada buku kanak-kanak. Bagi sebahagian, ia bahasa yang digunakan sejak sekolah yang membentuk minat terhadap buku kanak-kanak sehingga mendorong mereka meneruskan pengajian dalam bidang itu.

Pertemuan kali pertama di Jerman tidak menghalang editor daripada menjalinkan hubungan erat sambil berkongsi dan bertukar idea. Bagaimanakah lawatan sambil belajar itu memberi kesan kepada editor?

Eugene berkata, lawatan itu mencabarnya untuk sentiasa sedar akan trend dan perkembangan karya sastera kanak-kanak secara global, sekali gus tidak hanya memberi tumpuan kepada produksi negaranya.

"Saya kagum dengan syarikat penerbitan Jerman dan kita perlu banyak belajar dari segi pengeluaran, pembangunan dan pemasaran. Kita perlu menerbitkan lebih banyak cerita rakyat dan mempopularkan legenda, epik serta mitos sendiri, sekali gus berbangga dengan asal-usul sebagai orang Asia," katanya.

Sementara itu, Editor Odanata Publishing Sdn Bhd, Tan Mooi Yean, berkata tiada apa yang lebih mengejutkannya daripada kisah kejayaan Tessloff Verlag, iaitu penerbit buku bukan fiksyen di Jerman.

"Kisah kejayaan buku bukan fiksyen, Was Ist Was oleh Tessloff sangat mengejutkan kerana kini, kebanyakan kanak-kanak ketagih dengan alat mudah alih sehingga menghabiskan masa lapang dengan bermain permainan atas talian atau melayari Facebook dan YouTube.

"Mereka tidak berminat untuk menerokai dunia dan mencari penjelasan untuk segala-galanya yang berlaku di sekeliling mereka. Inovasi dan kreativiti Tessloff ditunjukkan dalam buku mereka menarik kanak-kanak dan ibu bapa dengan memperlihatkan buku bukan fiksyen sebagai cara menyeronokkan untuk meneroka dan melihat dunia," katanya.

Lawat kedai buku tertua di Jerman

Antara acara penting dalam lawatan itu termasuk lawatan ke Korn und Berg di Nuremberg, iaitu kedai buku tertua negara itu yang diasaskan pada 1531; pertukaran idea dengan pelbagai syarikat penerbitan termasuklah Arena Verlag, Finken Verlag dan S Fischer Verlag di Frankfurt, Tessloff di Nuremberg serta Oetinger Publishing Group, Carlsen Verlag, Aladin Verlag dan JULIT, program untuk anak muda di bawah House of Literature di Hamburg.

Ia juga termasuk lawatan khas ke Atelier Freudenhammer, studio yang menempatkan ilustrator dan artis, sekali gus menjadi lokasi untuk editor diperkenalkan kepada ilustrator, Antje von Stemm.

Secara peribadi, saya melihat pasaran buku Asia Tenggara sebagai periuk besar yang walaupun memiliki ciri-ciri unik dan tersendiri, pembinaan, perkembangan, arah serta kandungan sendiri, semua itu apabila digabungkan bersama di dalam sebuah periuk, akan menghasilkan rasa dan aroma yang kaya dan sengit.

39 dibaca
Berita Harian X