Ahad, 16 Julai 2017 | 10:39pm
ALEXANDER menunjukkan anak penyu yang disimpan di pusat perlindungan penyu sebelum dilepaskan ke laut.
RUMAH unik yang dibina menggunakan bekas botol air antara tarikan baharu di Pulau Libaran.
PULUHAN anak penyu yang sudah menetas disimpan di pusat perlindungan sebelum dilepaskan ke laut Sulu.

Melancong sambil belai penyu di Pulau Libaran


PAPAN tanda menunjukkan hospital penyu iaitu kawasan tempat pendaratan dan penyu bertelur.

PAPAN tanda 'hospital' di bawah rimbunan pokok pastinya boleh menimbulkan tanda tanya kepada mereka yang pertama kali berkunjung ke Pulau Libaran di Sandakan.

Ia bukanlah hospital merawat pesakit tetapi menunjukkan kawasan penyu bertelur.

Berhampiran 'hospital' itu, terletak galeri unik dibina menggunakan bekas botol plastik yang dipungut di sepanjang pantai Pulau Libaran sebagai dinding dan pagar.

Di kawasan itu juga terletaknya Taman Hadiah yang menjadi tempat penetasan telur penyu, manakala sebuah pondok kecil berhampiran menempatkan ratusan anak penyu kecil dan comel.

Berjalan terus ke kawasan berhampiran paya bakau pulau itu terletaknya Resort Walai Penyu yang menggunakan konsep khemah sebagai pusat penginapan.

Sambil menikmati ketenangan Laut Sulu, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti snorkeling dan melihat hidupan marin atau berkayak jika datang secara berkumpulan.

Pada sebelah petang, jika bernasib baik, pengunjung boleh membuat aktiviti sampingan dengan berjalan kaki ke Pulau Rakit, kira-kira satu batu nautika dari Pulau Libaran ketika air surut dan menikmati keindahan senja di tanjung itu.

Waktu malam biasanya saat paling ditunggu pengunjung untuk melihat penyu bertelur, selain melihat ketam bakau dan menikmati kelipan kelip-kelip yang menjadikan rimbunan bakau di kawasan itu sebagai habitatnya.

Lebih beruntung, pengunjung bakal melihat secara percuma pelbagai lagi jenis hidupan liar seperti memerang dan sejenis burung pulau, burung tambun di kawasan paya bakau.


KEADAAN mendamaikan di Pulau Libaran yang terletak berhampiran Taman Pulau Penyu yang menjadi pusat pendaratan penyu, di Sandakan.

Melepaskan anak penyu ke laut

Melihat penyu bertelur dan melepaskan anak penyu sebesar telapak tangan ke Laut Sulu adalah kelebihan ditawarkan di Pulau Libaran, antara pulau pendaratan spesies penyu sisik atau nama saintifiknya, Eretmochelys Imbricata dan penyu hijau, berhampiran Taman Pulau Penyu.

Terletak dalam kawasan seluas dua hektar, taman itu dibangunkan sebagai pusat pemuliharaan penyu pada tahun 2010 hasil ilham Presiden Persatuan Pencinta dan Pemuliharaan Hidupan Penyu negeri Sabah (FOSTER), Alexander Yee.

Ia bermula dengan pembinaan tapak penetasan telur penyu dinamakan Taman Hadiah, sebelum pusat pelancongan berkonsepkan eko sistem.

Aktiviti pembersihan, pemuliharaan

Alexander yang juga pengurus syarikat pelancongan Trekkers Lodge Sdn Bhd berkata, sebelum Taman Hadiah diwujudkan, telur penyu dipungut oleh penduduk sekitar pulau untuk dimakan.

Katanya, kebanyakan yang mendarat dan bertelur di pulau itu adalah penyu yang sudah ditanda oleh pengurusan Taman-Taman Sabah.

Justeru, satu usaha diambil menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah pada tahun 2013 bagi memberi kesedaran kepada penduduk setempat selain menjalankan projek penyelidikan mengenai kitaran hidupan penyu di kawasan itu.

"Pada 2015, kita mula melakukan pembersihan kerana hampir tiga kilometer kawasan pantai dipenuhi sampah sarap dengan paling banyak adalah beg plastik, botol plastik, lampin pakai buang dan tayar kereta," katanya.

Melepaskan anak penyu ke laut, belajar mengenai kitaran hidupan marin sambil melakukan pelbagai aktiviti air dan menikmati suasana malam yang damai.

Itu semua boleh dinikmati menerusi kunjungan ke Pulau Libaran yang mana terletaknya resort Walai Penyu, antara pusat pelancongan di Sabah yang menjadikan usaha melindungi penyu sebagai tarikan utama.

Selain menimba pengalaman mempelajari kerja pemuliharaan penyu dilakukan di pulau itu, pelbagai aktiviti boleh dilakukan dari siang hingga ke malam.

INFO

  • Pulau Libaran terletak berhampiran pelabuhan Sandakan.
  • Luas pulau ini 17 km persegi dan dilindungi di bawah Akta Taman Negara pada 1977 oleh Jabatan Perhutanan Sabah.

    Cara ke sana

    • Dari Kota Kinabalu anda boleh menggunakan jalan raya ke Sandakan tetapi jaraknya sangat jauh dan mengambil masa lama.
    • Pelancong disarankan mengambil penerbangan dari Kota Kinabalu ke Sandakan yang mengambil masa satu jam saja.
    • Dari Sandakan, anda boleh menyewa bot laju ke Pulau Libaran.
    • Banyak bot laju disediakan dengan harga sewaan berpatutan.
    • Libaran terdiri daripada tiga pulau kecil iaitu Pulau Selingan, Pulau Bakkungan Small dan Pulau Gulisan.
    • Pulau Libaran terletak kira-kara 40 km dari pantai Sandakan.

    FAKTA NOMBOR

    * 30,860 - Jumlah telur penyu dikumpulkan dari tahun 2012 hingga Jun 2016

    * 20,262 - Telur penyu hijau

    * 10,598 - Telur penyu sisik

    * 23,808 - Anak penyu dilepaskan ke laut.

Berita Harian X