Isnin, 10 Julai 2017 | 7:48pm

Minyak, gas kunci tenaga dunia masa depan


Ketua eksekutif gergasi pengeluar Saudi Aramco, Amin Nasser Said.

ISTANBUL: Minyak dan gas kekal sebagai bekalan tenaga utama untuk beberapa dekad akan datang walaupun berlaku peningkatan kepentingan dalam tenaga boleh diperbaharui, kata ketua eksekutif gergasi pengeluar Saudi Aramco, Amin Nasser Said, hari ini.

Menteri Tenaga dan Ketua Minyak utama bermesyuarat di Kongres Petroleum Dunia di Istanbul, dengan berlatarkan unjuran kabur disebabkan harga minyak mentah yang rendah serta diburukkan oleh usaha ke arah tenaga boleh diperbaharui yang mendorong pelaburan mencatatkan rekod paras terendah.

Nasser menekankan keperluan meningkatkan pelaburan dalam tenaga dengan menekankan kepentingan terhadap minyak dan gas secara berterusan.

"Pelabur kewangan menjauhkan diri daripada membuat pelaburan yang diperlukan," katanya, sambil memberi amaran bahawa tanpa tahap pelaburan yang lebih tinggi "peralihan dan keselamatan tenaga boleh terjejas teruk."

Sementara itu, keputusan Volvo minggu lalu yang mahu menghentikan pengeluaran kereta hanya menggunakan petrol mulai 2019 bagi memberi tumpuan terhadap kereta elektrik, menyebabkan kebimbangan di seluruh industri.

Ketua gergasi tenaga Arab Saudi itu berkata, wujud 'perjanjian meluas' walaupun dunia beralih kepada lebih banyak menggunakan tenaga boleh diperbaharui berbanding bahan api fosil, "petroleum akan terus menjadi nadi terhadap campuran tenaga."

Beliau berkata, walaupun harapan alternatif boleh diperoleh, sejarah menunjukkan peralihan kepada sumber tenaga berbeza cenderung menjadi proses panjang dan kompleks.

"Tenaga diperbaharui masih mempunyai cabaran utama, ia tidak bersaing dengan minyak. Ia mengambil masa lama untuk bahan api baharu merebut bahagian pasaran," katanya sambil menegaskan kereta elektrik memerlukan masa untuk bermula.

Dengan ekonomi keseluruhan dijangka berkembang ketara disebabkan peningkatan populasi, beliau berkata adalah "andaian silap alternatif akan pantas dikerahkan".

"Peningkatan permintaan untuk semua sumber tenaga - dengan minyak dan gas di tengah-tengah campuran - akan menjadi realiti bagi beberapa dekad akan datang," katanya. - AFP

28 dibaca
Berita Harian X